Sunday 4 September 2016

Billings, Montana, Amerika Syarikat.

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Billings ialah bandar terbesar di negeri Montana dengan populasi penduduk yang dikira sehingga tahun 2015 seramai 110, 263 orang. Setelah menempuhi perjalanan yang panjang iaitu lebih kurang 10 jam dari Rapid City, South Dakota, kami akhirnya tiba di Billings pada lewat petang.
Artikel terdahulu boleh dibaca di sini;
http://sharery.blogspot.com.au/2016/08/pemanduan-dari-rapid-city-ke-billings_30.html

Selepas daftar masuk di hotel Fairfield Inn Suite Marriott, kami menuju ke restoran Outback Steakhouse yang terletak berdekatan hotel untuk makan malam.









Pihak hotel sentiasa memberikan air minuman dan makanan ringan secara percuma.


Selepas meletakkan bagasi, baharu kami keluar untuk makan malam.


Outback Steakhouse ialah restoran bertemakan negara Australia yang terkenal di Amerika Syarikat. Walaupun terdapat beberapa cawangan di Australia tetapi ia sebenarnya tiada kaitan secara langsung. 
Restoran pertama Outback Steakhouse dibuka pada tahun 1988 di Florida. Pemilik serta rakan kongsi perniagaan semuanya berasal dari Amerika Syarikat. Hanya penduduk dan rakyat Australia sahaja yang dapat menilai restoran ini.

Ini bukan pertama kali saya berkunjung ke Outback Steakhouse. Pada pendapat peribadi saya,  menu di Outback Steakhouse sama seperti saya menikmati makanan di mana-mana restoran lain di Amerika Syarikat. Hidangan yang besar serta harga yang berpatutan tetapi yang mencuit hati ialah apabila melihat menu yang ditawarkan kebanyakannya tidak terdapat di Australia atau lebih terperinci lagi tiada ciri-ciri makanan di Outback. Hiasan dalaman restoran boleh mengubat rindu bagi rakyat Australia termasuk saya yang lama berjauhan dari negara sendiri walaupun secara jujurnya saya melihat tema sebenar Outback Steakhouse terlalu melebih (over) dari restoran-restoran di Australia.

Gambar di dinding restoran itu dirakamkan di Dendy Street Beach, Victoria, Australia (bathing boxes).


Roti lembut sebagai hidangan pembuka selera yang sentiasa menjadi kegemaran saya.


Bloomin' Onion ialah kegemaran suami.


Udang goreng yang begitu rangup sekali.


Gambar pemandangan pada waktu pagi yang dirakamkan dari tingkap bilik hotel.






Kami memulakan perjalanan pada jam 9.47 pagi. Jam yang tertera di dalam skrin ini ialah waktu di zon berbeza (Central Daylight Time). Dalam erti kata lain ia telah ditetapkan mengikut waktu tempat kami tinggal iaitu Chicago, Illinois.  Suhu pada pagi itu ialah 54 darjah Fahrenheit iaitu bersamaan dengan 12 darjah Celcius.


Semasa singgah di stesen minyak, saya tertarik melihat 3 beradik ini. Melalui pakaian yang dikenakan saya dapat mengagak bahawa mereka ialah dari kalangan kumpulan kanak-kanak Amish.


Semasa singgah di stesen minyak, saya tertarik melihat 3 beradik ini. Melalui pakaian yang dikenakan saya dapat mengagak bahawa mereka ialah dari kalangan kumpulan kanak-kanak Amish.

Amish
ialah kumpulan penganut agama Kristian tradisional dan konservatif. Cara kehidupan Amish adalah sederhana, memakai pakaian yang sopan tetapi tidak mengikut peredaran fesyen dan masih ramai antara mereka yang enggan menerima kemudahan serta teknologi moden pada zaman sekarang. Majoriti mereka memasak menggunakan hasil  bercucuk tanam dan menternak haiwan dari rumah dan menggunakan kereta kuda sebagai pengangkutan seharian. Saya kerap melihat kumpulan ini di mana sahaja di Amerika Syarikat. Walaupun cara kehidupan mereka agak kuno, tetapi mereka tidak pernah membenci atau memandang orang lain yang berbeza warna kulit, etnik dan agama sebagai pelik. Populasi paling tinggi bagi kumpulan Amish yang tinggal di Amerika Syarikat ialah di negeri Ohio. Salah satu perancangan saya dan suami adalah untuk menjelajah Ohio dan melawat perkampungan Amish ini .

Pemaduan merentas negeri pada hari ini agak menarik dan mencabar. Ikuti artikel seterusnya yang bakal saya siarkan tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment