Thursday 18 May 2017

Calgary Marriott Downtown Hotel Kanada (Telefon Tangan Pengganti Kunci Bilik)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sepanjang menjadi tetamu kerap hotel Marriott, saya melihat perkhidmatan yang diberikan dari pihak pengurusan tidak pernah menghampakan apatah lagi suami saya merupakan ahli Marriott Rewards pemegang kad Elite Platinum di mana terdapat banyak keistimewaan yang diterima berbanding tetamu biasa.

Pada awal tahun 2016, hotel Calgary Marriott Downtown merupakan hotel Marriott pertama di Kanada yang memperkenalkan kemudahan baharu iaitu Mobile Key kepada tetamu kerap yang juga ahli Marriott Rewards untuk kegunaan masuk ke bilik, serta hotel Marriott pertama di dunia yang boleh menggunakan Mobile Key untuk naik ke lif.
Dalam erti kata lain, teknologi canggih ini membuatkan tetamu kerap tidak perlu lagi berjumpa penyambut tetamu untuk mengambil kunci sebaliknya terus ke bilik dengan menggunakan telefon tangan sebagai pengganti. Mobile Key boleh dimuat turun melalui aplikasi Marriott Mobile. Tentunya ia merupakan satu pengalaman yang menarik dan menerujakan kerana kami menggunakan Mobile Key hanya beberapa minggu selepas ia dilancarkan. Selain daripada itu, hotel Marriott juga adalah yang pertama menawarkan perkhidmatan daftar masuk/keluar dan pemberitahuan bilik siap (Mobile Room Ready Alerts) dengan menggunakan aplikasi di telefon tangan pada tahun 2014.

Tidak cukup dari itu, Calgary Marriott Downtown merupakan hotel Marriott pertama di Kanada yang mempunyai M Club Lounge yang dikhaskan hanya untuk ahli Marriott Rewards pemegang kad Elite (Silver/Gold/Platinum). Ruang rehat bersaiz besar ini sangat sesuai untuk melakukan sebarang urusan kerja atau perniagaan di samping boleh menikmati hidangan dan minuman ringan.

Lokasi hotel di tengah pusat bandar ini begitu strategik kerana salah satu tempat tarikan pelancong dan mercu tanda Calgary iaitu Menara Calgary (Calgary Tower) terletak hanya berhadapan dengannya. Pemandangan Menara Calgary pada waktu siang dan malam dapat dilihat jelas dari kolam renang dan pusat kecergasan yang anda dapat lihat melalui gambar-gambar di bawah.

Dua tahun lalu, Tesla Motors telah menyediakan pusat mengecas kenderaan di hadapan hotel. Secara kebetulan terdapat sebuah kereta Tesla yang sedang dalam proses mengecas semasa gambar dirakamkan.
Calgary Marriott Downtown Hotel
110 9 Ave SE, 
Calgary, AB T2G 5A6, 
Canada

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment