Thursday 12 April 2018

Ottawa - Ibu Negara Kanada

Ottawa ialah ibu negara Kanada. Ia terletak bersebelahan dengan sungai Ottawa dan bersempadan dengan Gatineau, Quebec. Banyak tempat-tempat menarik dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Ottawa tetapi antara yang wajib dikunjungi ialah Parliament Hill (bangunan parlimen dan pejabat Perdana Menteri), National Gallery Of Canada, National War Memorial, Rideau Canal dan ByWard Market.

Selepas daftar masuk hotel, kami keluar semula dan memandu selama 10 minit ke pusat bandar Ottawa. Berkesempatan juga melihat keindahan bandar pada waktu malam sambil berjalan kaki ke Major's Hill Park dan Parliament Hill dapat dilihat dari jarak jauh. Berdekatan dengan taman ini terletaknya hotel mewah Fairmont Chateau Laurier. Seni bina hotel dan bangunan parlimen begitu indah seakan seperti istana lama. Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania dari Jordan pernah menginap di hotel ini .
Keesokan harinya kami melawat ke National Gallery of Canada (artikel akan disiarkan berasingan). Di hadapan simpang jalan galeri terdapat totem pole (tiang ukiran) yang diberi nama The Three Watchmen, juga berhadapan dengannya ialah menempatkan sebuah tugu perdamaian, Reconciliation : The Peacekeeping Monument.
Ulang semula ke tempat yang dilawati pada malam semalam iaitu Major's Hill Park dan hotel Fairmont Chateau Laurier.
Rideau Canal ialah terusan yang menghubungkan Ottawa, Tasik Ottawa dan Sungai Saint Lawrence di Kingston, Ontario yang panjangnya ialah 202 kilometer. Pada tahun 2007 ia telah didaftarkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Terusan ini yang beku pada musim sejuk iaitu sekitar bulan Januari hingga Mac dijadikan sebagai gelanggang untuk meluncur ais. Sehingga kini, Rideau Canal masih memegang rekod sebagai gelanggang luncur ais beku semulajadi terbesar di dunia dengan kepanjangan 7.8 kilometer dan bersamaan saiz 90 buah gelanggang luncur ais Olimpik.
ByWard Market ialah pasar yang menempatkan lebih kurang 600 premis perniagaan. Restoran, kafe, jualan kraftangan, makanan kesihatan, pakaian, hiasan rumah dan banyak lagi boleh didapati di sini. Salah sebuah gerai manisan yang terkenal ialah BeaverTails http://beavertails.com/en/.
Hari Kesyukuran (Thanksgiving) di Kanada disambut pada bulan Oktober, justeru  penjualan labu begitu laris sekali. Maklumat lanjut mengenai ByWard Market boleh dirujuk melalui laman sesawang di bawah;
https://byward-market.com/en/home/
Video ini juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ;
https://youtu.be/d5hPKvbgJz4

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment