Saturday 8 December 2018

Hari Raya Puasa 2018 Di Kanada

Saya akui artikel mengenai sambutan Hari Raya Puasa lewat beberapa bulan dari jadual. Ini kerana saya perlu menyiarkan artikel lain mengikut tarikh dan turutan yang betul. Walaupun sudah tiga tahun menetap di Vancouver, Kanada tetapi ini pertama kali saya ingin berkongsi pengalaman berhari raya di sini.

Suasana pagi 1 Syawal yang saya rasai di rumah agak sunyi kerana suami bekerja beberapa minggu di luar negara. Juadah sederhana yang saya sediakan ialah nasi himpit, kuah kacang dan rendang ayam yang dimasak di pagi hari. Kuih raya yang saya buat ialah kulit popiah goreng bersalut milo manakala selebihnya saya beli di kedai berhampiran. Mujur kedai itu menjual pelbagai kuih raya yang diimport dari Malaysia.

Pada sebelah tengah hari saya sempat merakamkan video ucapan yang dikhaskan kepada keluarga dan sahabat handai sebelum saya pergi berhari raya di rumah salah seorang rakan. Bukan semua tetamu yang hadir menetap di Vancouver tetapi sebaliknya mereka datang dari bandar dan daerah luar. Masing-masing turut membawa makanan dan kuih sendiri membuatkan hidangan bertambah banyak dan makin berselera untuk mencuba kesemuanya.

Seminggu kemudian iaitu pada 8 Syawal, saya dan suami berhari raya pula di rumah seorang sahabat baik yang kami anggap seperti keluarga sendiri. Jarak pemanduan antara rumah kami ialah lebih kurang 10 minit tetapi saya tetap menganggap kami tinggal berjiran.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman menyambut Syawal secara sederhana di Kanada. Terima kasih diucapkan kepada pembaca setia yang pernah membaca artikel terdahulu mengenai Hari Raya yang saya sambut di Australia dan Amerika Syarikat.
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment