Thursday 17 January 2019

Melawat Ke Tempat Kelahiran Dan Taman Peringatan Kurt Cobain

Pada hari ketiga kembara di negeri Oregon, pemanduan diteruskan dari Tigard menuju ke SeaTac, Washington. Bandar persinggahan yang sudah ada di dalam pelan perancangan ialah Astoria kerana ia merupakan bandar bersejarah yang mempunyai beberapa tempat tarikan pelancong. Selepas membuat lawatan dan makan tengah hari di Astoria, pemanduan disambung semula. Seperti biasa, sepanjang perjalanan tangan saya tidak berpisah dengan kamera kerana setiap apa yang saya lihat, pasti akan saya rakamkan gambar dan video. Boleh dikatakan selalu juga semasa kembara berkereta, saya dan suami berhenti di tempat-tempat menarik dan bersejarah yang kami tidak tahu kewujudannya hanya selepas ternampak papan tanda di tepi jalan atau di lebuh raya.

Begitulah juga yang terjadi semasa memandu di Aberdeen, Washington. Lebih kurang dua jam sebelum sampai SeaTac, saya ternampak papan tanda 'Kurt Cobain Memorial Park' di tepi jalan raya. Dengan pantas saya melihat peta di Google Map bagi memastikan tempat itu masih ada dan boleh dilawati. Maklumat lain yang saya perolehi melalui Google pada ketika itu ialah, Kurt Cobain lahir dan dibesarkan di Aberdeen. Siapa yang tidak kenal akan penyanyi dan pemain gitar dari kumpulan lagenda Nirvana iaitu Kurt Cobain. Walaupun saya bukan peminat setia kumpulan Nirvana tetapi di zaman persekolah saya kenal akan lagu-lagu popular kumpulan itu. Saya juga mengetahui tentang kematian mengejut Kurt Cobain pada tahun 1994.

Saya mencadangkan kepada suami supaya membuat persinggahan dan akhirnya kami mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk berpatah balik. Sebaik sahaja kembali ke Aberdeen, jelas kelihatan papan tanda selamat datang berserta tajuk lagu popular dari kumpulan Nirvana yang bertulis 'Welcome To Aberdeen - Come As You Are'. Kami tiba di Kurt Cobain Memorial Park/Kurt Cobain Landing pada jam 3:15 petang. Suasana pada waktu itu agak sunyi dan tiada pengunjung lain yang datang bersama.

Taman Peringatan ini terletak di tepi Sungai Wishkah dan berhampiran dengan jambatan yang menyimpan banyak sejarah Kurt Cobain. Young Street Bridge lebih dikenali dengan nama samaran 'Kurt Cobain Unter The Bridge Memorial'. Semasa remaja dan tidak berumah (homeless) Kurt Cobain tinggal di bawah jambatan ini sehingga mendapat ilham sebuah lagu yang bertajuk 'Something In The Way'. Selepas kematian Kurt Cobain, keluarga beliau telah menaburkan abu mayat yang ketiga di Sungai Wishkah. Dua tahun kemudian, Nirvana telah mengeluarkan album terakhir yang diberi nama 'From The Muddy Banks of the Wishkah'. Selain itu, Taman Peringatan di sini diletakkan sebuah tugu berbentuk gitar dan gambar Kurt Cobain.

Setelah melawat ke Taman Peringatan, kami memandu pula di hadapan rumah Kurt Cobain yang beliau pernah tinggal bersama keluarganya pada waktu kecil dahulu. Di hadapan rumah yang berwarna kuning itu telah diletakkan papan tanda 'Kawasan Persendirian'. Oleh itu untuk menghormati penghuninya, saya hanya mengambil gambar dari dalam kereta sahaja. Kawasan perumahan di sini bukanlah mesra pengunjung. Semasa di Taman Peringatan, kami melihat seorang pemuda yang gerak gerinya agak mencurigakan. Justeru kami membatalkan hasrat untuk berada lebih lama dan tidak berkesempatan untuk merakamkan gambar di bawah jambatan tersebut. Kepada anda yang berminat untuk datang ke sini, saya nasihatkan lebih berhati-hati dan jangan luangkan masa begitu lama. Cukuplah sekadar untuk mengambil gambar sahaja.

Semasa menyambung pemanduan ke SeaTac, saya kembali membaca sejarah kehidupan Kurt Cobain. Dunia sudah sedia maklum bahawa kematian tragis Kurt Cobain disebabkan beliau meragut nyawanya sendiri tetapi tiada sesiapa mengetahui mengapa langkah itu yang diambil. Saya berasa sedih apabila mengetahui beliau melalui zaman kanak-kanak dan remaja dalam keadaan yang suram, sulit sehingga menyebabkan sifat keperibadian beliau bertukar seperti yang tidak diinginkan. Menurut pelbagai sumber, punca awal yang menjadikan Kurt Cobain bertukar sebegitu ialah selepas perceraian kedua ibu bapanya.

Kurt Cobain bergelut dengan pelbagai masalah peribadi pada zaman remaja sehingga menyebabkan beliau tinggal di bawah jambatan seperti yang saya ceritakan di atas tadi. Tidak dinafikan beliau berbakat dalam bidang seni dan muzik sejak dari kecil lagi. Selepas berpindah dari Aberdeen, beliau tinggal di beberapa buah bandar di Washington dan bertukar pekerjaan. Bukan senang sebenarnya untuk berjaya sehingga di tahap beliau dikenali di seluruh dunia.

Kembara atau melancong bagi saya bukan sekadar 'asal jejak kaki' atau sekadar mengambil gambar pemandangan indah atau sekadar membeli cenderamata. Saya mengkehendaki kembara yang mengajar tentang sejarah atau kehidupan seseorang sama ada positif atau negatif yang boleh diambil teladan. Saya juga inginkan kembara yang boleh membuatkan saya ketawa, menangis gembira atau sedih yang boleh dijadikan kenangan yang tidak boleh dilupakan.

Apabila saya melihat kembali gambar-gambar yang dirakamkan di Taman Peringatan Kurt Cobain untuk dimuat naik di laman blog, datang kembali rasa sedih dan sayu. Aberdeen ialah sebuah bandar kecil yang terletak di daerah pendalaman. Setelah menjejakkan kaki di bandar kelahiran beliau, melihat dari dekat rumah yang memberikan banyak kesedihan kepada beliau (termasuk menonton video di saluran You Tube semasa rumah ini hendak dijual), melihat bawah jambatan tempat perteduhan semasa beliau tidak berumah (homeless) dan sungai yang menerima abu mayatnya, maka kesemua tempat ini dapat saya hubung kaitkan dengan sejarah silam pahit Kurt Cobain yang membuatkan saya rasa terkesan sehingga kini.
Video ini boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN ; https://youtu.be/BdItF0QLOHo

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN