Thursday, 17 December 2020

Pemanduan Dari Thunder Bay Ke Sault Ste. Marie, Ontario

Pemanduan hari seterusnya ialah dari Thunder Bay ke Sault Ste. Marie, Ontario yang jarak antara kedua buah bandar ini ialah 704 kilometer tetapi jika dimulakan dari hotel jaraknya ialah 702 kilometer. Lokasi pertama dan paling menarik yang disinggahi pada hari itu ialah Terry Fox Monument. Ia terletak kira-kira 16.5 kilometer dari Thunder Bay. Tugu ini dibina tanda peringatan kepada lagenda, hero dan ikon negara iaitu Terrance Stanley Fox (Terry Fox) yang merupakan bekas atlit dan aktivis penyelidikan kanser Kanada. 

Pada tahun 1980, dengan sebelah kakinya dipasang kaki palsu, beliau telah memulakan larian merentas Kanada dari Timur ke Barat demi untuk mengumpul wang dan kesedaran untuk penyelidikan kanser. Larian ini diberi nama Marathon Of Hope yang bermula di St. John's, New Foundland and Labrador dan berakhir di Thunder Bay, Ontario. Setelah 143 hari bersamaan dengan 5,373 kilometer, larian terpaksa dihentikan separuh jalan sahaja kerana kanser Terry Fox telah merebak sehingga ke paru-paru. Setelah melalui pelbagai rawatan, Terry Fox yang ketika itu berumur 23 tahun, akhirnya meninggal dunia pada 28 Jun 1981 di New Westminster, British Columbia. Walaupun Terry Fox tidak berjaya menamatkan larian seperti yang dirancangkan, tetapi usaha murni beliau tetap diteruskan sehingga ke hari ini dan larian Marathon Of Hope masih diadakan setiap tahun sejak dari tahun 1981. 

Pelbagai perasaan bercampur baur apabila saya berpeluang melawat ke tugu peringatan yang dibina berdekatan dengan titik terakhir larian beliau. Saya berasa sedih serta dalam waktu yang sama kagum mengenangkan semula sejarah Terry Fox dan dalam waktu yang sama berasa bangga kerana saya dan suami mengembara menggunakan jalan raya yang sama yang digunakan oleh beliau ketika larian Marathon Of Hope. 

Cuaca pada hari itu adalah mendung dan berawan. Gambar-gambar yang dirakamkan tidak begitu memuaskan akibat dari faktor cuaca yang tidak memuaskan. Masa pemanduan juga agak panjang dari yang sepatutnya kerana terpaksa berhenti banyak kali untuk memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih jalan raya. Kami tiba di Sault Ste. Marie masih lagi pada waktu petang dan selepas daftar masuk hotel kami sempat lagi bersiar-siar di dalam bandar. 
Video yang dirakamkan boleh ditonton melalui saluran
You Tube Shery NN;https://youtu.be/wi_vNhTAYYQ










j















Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN



No comments:

Post a Comment