Monday 24 March 2014

Terima Kasih New Mexico (Amerika Syarikat)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kepada anda yang pernah membaca catatan perjalanan saya apabila berada di Amerika Syarikat, mungkin anda masih ingat akan negeri New Mexico yang biasa saya sebutkan sebelum ini. Negeri New Mexico dikenali dengan peratusan tertinggi penduduk Hispanik Amerika dan juga merekodkan peratusan kedua paling tinggi penduduk etnik orang Asli Amerika (Native American/American Indians) di negara Amerika Syarikat. Entri pada kali ini saya rasakan begitu istimewa kerana ianya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada negeri New Mexico yang memberikan peluang kepada saya dan suami melihat 'warna' sebenar penduduk Amerika Syarikat.

Walaupun rumah kami terletak di Chicago, Illinois tetapi kami jarang berada lama di sana. Lebih dari separuh negara Amerika Syarikat sudah kami jelajahi ditambah pula atas atas urusan kerja suami, kami berpeluang tinggal di negeri New Mexico selama beberapa bulan. Negeri ini terlalu istimewa kerana ia banyak mengajar kami tentang sejarah, geografi, gaya kehidupan penduduk tempatan terutama sekali mereka dari etnik orang Asli Amerika (Native American/American Indians) dalam mengekalkan adat, tradisi dan budaya yang diamalkan sejak beratus tahun dahulu. Melalui pemerhatian itu juga kami dapat melihat mereka sebenarnya hidup dalam serba kekurangan dan sering ditindas oleh kerajaan persekutuan.

Oleh kerana itulah seperti yang saya katakan tadi, negeri ini membuatkan kami lebih menghargai kehidupan yang sedia ada apatah lagi tinggal di negara yang bertuah iaitu di Australia.
Berikut saya berikan sedikit fakta mengenai negeri yang nama samarannya ialah Land Of Enchantment.


Negeri New Mexico di dalam peta negara Amerika Syarikat.
Negeri : New Mexico
Ibu Negeri : Santa Fe (Ibu negeri tertua di Amerika Syarikat dan ibu negeri paling tinggi di Amerika Syarikat)
Bandar Paling Besar : Albuquerque
Keluasan : Negeri kelima terbesar di Amerika Syarikat
Bilangan Daerah : 33
Industri Utama : Perlombongan tembaga, perak, kalium, uranium, minyak, gas asli dan pelancongan.


Bendera New Mexico

Papan tanda selamat datang yang diletakkan di setiap sempadan negeri yang melibatkan negeri New Mexico.

Gambar atas ialah New Mexico State Capitol (bangunan pentadbiran kerajaan negeri) di Santa Fe. Santa Fe ialah ibu negeri New Mexico yang tertua di Amerika Syarikat. Ia terletak pada ketinggian 7,199 kaki (2135 m) di atas paras laut sekaligus menjadikan Santa Fe ibu negeri paling tinggi di dalam negara. Cerita lanjut sila klik di sini, http://sharery.blogspot.com.au/2012/04/santa-fe-new-mexico.html
 
Gereja San Miguel di Santa Fe merupakan yang tertua di Amerika Syarikat. Gambar- gambar lain ada di siarkan di, http://sharery.blogspot.com.au/2013/09/gereja-tertua-di-amerika-syarikat.html

Saya sungguh tidak menyangka negeri yang penduduknya majoriti dari etnik Asli Amerika ini mempunyai ramai juga penganut beragama Islam. Semasa pertama kali suami saya solat di sini, beliau terkejut melihat kaum Asli Amerika turut menjadi para jemaah masjid. Cerita penuh dan gambar-gambar lain sila ke http://sharery.blogspot.com.au/2012/05/albuquerque-new-mexico.html dan http://sharery.blogspot.com.au/2013/09/the-islamic-center-of-new-mexico.html

Negeri Land Of Enchantment ini bukan sahaja mempunyai banyak tempat-tempat sejarah yang masih terpelihara dan dijaga dengan baik oleh pihak Taman Negara, malah ia memberikan satu lagi bonus kepada para pelancong iaitu pemandangan yang amat menakjubkan. Secara peribadi, apabila saya melihat keindahan alam semulajadi ini, hati pasti berdetik, 'indahnya ciptaan Allah ini'. Saya juga amat bersyukur dan bertuah kerana dapat melawat ke tempat-tempat sejarah di New Mexico yang rata-rata masih ramai rakyat Amerika Syarikat yang belum pernah ke tempat tersebut. Saya pernah mendengar ada yang mengatakan 'anda perlu melawat ke tempat bersejarah di New Mexico sekurang-kurangnya sekali dalam hidup'.

Four Corners merupakan tempat simbolik menandakan titik pemisah antara empat buah negeri (New Mexico, Colorado, Arizona, Utah). Untuk cerita penuh sila klik di sini, http://sharery.blogspot.com.au/2012/06/berdiri-dalam-4negeri-pada-satu-masa.html

Penempatan terawal manusia atau bangunan paling tua di Amerika Syarikat. Cerita penuh sila klik di sini, http://sharery.blogspot.com.au/2012/06/mese-verde-national-park-penempatan.html


Berikut pula ialah fakta negeri New Mexico yang bersangkut paut dengan selebriti terkenal antarabangsa. Saya hanya senaraikan beberapa sahaja daripada jumlah sebenar.

- Jeff Bezos, Pengasas Amazon.Com - Lahir di Albuquerque.
- Conrad Hilton, Pengasas rangkaian hotel terkenal Hilton - Lahir di San Antonio.
- Tom Ford, Pereka Fesyen - Dibesarkan beberapa tahun dan bersekolah menengah di Santa Fe.
- Freddie Prinze Jr, Pelakon (I Know What You Did Last Summer) - Dibesarkan di Albuquerque.
- Demi Moore, Pelakon (Bekas isteri Bruce Willis) - Dilahirkan di Roswell.

Daerah Roswell terkenal selepas kejadian kapal UFO (unidentified flying object) yang terhempas pada tahun 1947. Walaupun ianya terhempas pada kedudukan asal di Corona (kira-kira 170km dari Roswell), tetapi segala siri penyiasatan dilakukan di Roswell sehinggalah pada hari ini bandar Roswell menjadi terkenal dengan nama samarannya iaitu Alien City. Di sini juga terletaknya Pusat Penyelidikan Dan Muzium Antarabangsa UFO.

Saya bergambar di hadapan Pusat Penyelidikan Dan Muzium Antarabangsa UFO. Cerita lanjut sila klik di sini, http://sharery.blogspot.com.au/2012/05/roswell-new-mexico.html

Begitulah sedikit sebanyak saya huraikan mengapa negeri New Mexico begitu istimewa dan terpahat di hati. Cerita mengenai New Mexico tidak habis di sini sahaja. Nantikan entri akan datang di mana saya akan berkongsi sedikit sejarah mengenai etnik orang Asli Amerika dan suku kaumnya serta saya akan berkongsi pengalaman tinggal beberapa bulan di New Mexico.


No comments:

Post a Comment