Wednesday 12 March 2014

Memandu Seiring Dengan Kereta Google Tanpa Pemandu Di San Francisco

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Semasa saya dan suami bersiar-siar mengelilingi bandar San Francisco, kami berpeluang melihat dengan lebih dekat kereta milik Google yang bergerak tanpa pemandu atau lebih dikenali sebagai autonomous vehicle.

Suami saya memang tajam penglihatannya. Beliau sudah menyedari kereta Google tersebut sejak dari awal lagi kerana di bumbungnya terdapat velodyne yang tinggi dan besar. Dalam jarak yang masih jauh dengan kereta Google tersebut, saya sempat juga mengeluarkan kamera lalu mengambil gambar.
Sedang kami mahu menghampirinya, kereta Google tersebut memberi isyarat sebelah kanan (tanda mahu masuk ke lorong kanan). Dengan pantas saya cuba sedaya upaya untuk mengambil gambar secara lebih dekat lagi. Hasil dari bantuan zoom/fokus, akhirnya saya dapat merakamkan gambar bahagian belakang kereta Google dan jelas kelihatan pelekat yang bertulis "Self- Driving Car".

Faktor kurang pencahayaan dan mengambil gambar dalam keadaan bergerak serta bergoyang, maka kualiti gambar adalah tidak memuaskan. Walau bagaimanapun, lima keping gambar di bawah sudah cukup membuktikan segalanya.

Suami sudah dapat mengesan kereta Google ini dari jarak yang jauh. Oleh itu saya pun sempat mengambil kamera dan cuba memfokus dengan lebih dekat lagi.

Kereta Google ini memberi isyarat serta memperlahankan kelajuan lalu masuk ke lorong sebelah kanan.

Walaupun waktu malam, pelekat di belakang kereta ini jelas dapat dibaca. "Self- Driving Car".

Perasaan saya pada masa itu dan juga sehingga ke hari ini tentulah gembira kerana bukan senang dan jarang sekali orang ramai berpeluang melihat kereta Google tanpa pemandu. Apatah lagi mungkin masih ramai yang masih tidak menyedari yang kereta itu 'kosong' tanpa manusia di dalamnya.

Dari segi teknologi pula (kereta tanpa pemandu), tiada apa yang mengejutkan. Sebelum ini pun saya sudah mendengar tentang kewujudan kenderaan seperti itu. Suami saya sendiri merupakan antara tulang belakang yang bekerja di dalam teknologi (Unmanned, Autonomous Aerial & Ground Vehicle System) ini baik di Australia mahupun di Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment