30 June 2015

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Perkara yang paling tidak diambil kisah oleh pelancong semasa berada di luar negara ialah mengetahui pejabat kedutaan atau konsulat negara masing-masing. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya anda telah menjimatkan masa kerana sudah mempunyai maklumat tentang kedutaan negara anda sekaligus lebih cepat menghubungi mereka.

Semasa membuat persediaan sebelum berlepas, jangan lupa untuk mencatatkan alamat pejabat kedutaan, nombor telefon serta hari dan masa untuk berurusan.

Jika tidak ada pejabat kedutaan di tempat atau bandar tersebut, anda boleh dapatkan bantuan dari segi maklumat dan pendapat dari pihak hotel.

Australian Consulate General Di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat.


Adalah penting bagi saya dan suami untuk mengetahui lokasi ke semua pejabat konsulat Australia di Amerika Syarikat sementelah kami sering mempunyai urusan di dalam negara ini.
Manakala tempat tinggal kami dengan pejabat konsulat Australia di Chicago pula tidak jauh dan boleh berjalan kaki sahaja. Suami pernah menghadapi sedikit masalah dengan paspot semasa berada di San Francisco dan perkhidmatan yang diterima sungguh pantas walaupun urusan dilakukan pada luar waktu yang ditetapkan (waktu malam).

Australia mempunyai 8 pejabat konsulat (Chicago, Denver, Honolulu, Houston, Los Angeles, New York, San Francisco) dan kedutaan besar terletak di Washington DC.

Jika bukan untuk memperbaharui paspot mungkin kami akan datang ke sini bagi membuang undi pada pilihanraya Australia yang akan datang.


Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan terus siarkan secara berperingkat.
Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-cara-menjaga-keselamatan.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.




24 June 2015

Acara Unik Membaling Ikan Di Pasar - Seattle, Washington

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera


Salah satu keunikan Pike Place Fish Market ialah para pengunjung berpeluang menyaksikan penjual ikan melambungkan ikan (sambil menyanyi) yang telah dipesan oleh pelanggan untuk dibungkus. Selain itu penjual akan melambungkan ikan khusus untuk acara istimewa pelanggan seperti contoh hari lahir mereka.  Ia merupakan satu hiburan percuma yang boleh menghiburkan pengunjung. Tradisi ini telah dijalankan selama lebih 30 tahun yang lalu.



video


Lokasi : Pike Place Fish Market -Seattle, Washington, USA.

Video di atas dirakamkan sendiri melalui telefon tangan saya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


22 June 2015

Mount Rushmore, South Dakota - Mercu Tanda Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Keistimewaan yang terdapat di Mount Rushmore National Memorial yang membuatkan pelancong serata dunia datang mengunjunginya ialah ukiran patung kepala empat bekas Presiden Amerika Syarikat. Mereka ialah George Washington, Thomas Jefferson, Theodore Roosevelt and Abraham Lincoln.

Saya dan suami datang ke Mount Rushmore pada pertengahan bulan April yang lalu. Jika dilihat pada gambar-gambar di bawah cuaca sangat baik. Walaupun langit cerah tetapi suhu masih rendah dianggarkan lebih kurang bawah dari 10 darjah Celcius.

Saya tidak perlu bercerita panjang lebar di sini tetapi cukup dengan gambar-gambar di bawah yang boleh menyampaikan maksudnya.

Di dalam pemanduan ke Mount Rushmore. Pekan kecil ini begitu suram sekali dan banyak perniagaan ditutup kerana bukan musim puncak. 

Gambar atas : Tempat menarik untuk berhenti mengambil gambar  ukiran tetapi papan tanda telah memberi amaran bahawa pemandu mesti berada di dalam kenderaan. Jika tidak ada kereta kelabu di hadapan ini pasti pemandangan dari kamera saya akan lebih cantik.
Gutzon Borglum (seperti yang tertera di papan tanda) ialah pengukir kepala-kepala patung tersebut.

Gambar bawah : Pintu gerbang yang memerlukan pengunjung membuat bayaran masuk.

Bayaran yang dikenakan sungguh berbaloi sekali. Tiket atau pas masuk ini boleh digunakan selama satu tahun. Saya masih menyimpan pas ini kerana kemungkinan kami akan kembali lagi.

Pemandangan di sekitar tempat meletak kenderaan.



Untuk kemudahan pengunjung - Sebelah kiri ialah tandas awam dan sebelah kanan ialah pusat pertanyaan.

Banyak papan tanda diletakkan di kawasan sekitar bagi memudahkan pergerakan pengunjung.



Gambar kiri : Sebelum tiba ke Grand View Terrace pengunjung akan berjalan di bawah kibaran bendera bagi 56 negeri serta wilayah di Amerika Syarikat.

Gambar kanana : Grand View Terrace - Tempat utama bagi para pengunjung untuk merakamkan gambar ikon terkenal Amerika Syarikat ini.

Di setiap tiang di bawah bendera terpahat kesemua nama negeri dan wilayah Amerika Syarikat. Turut dicatatkan ialah tarikh di mana negeri itu dimasukkan di dalam kesatuan.

Gambar kiri : Gutzon Borglum pengukir yang bertanggungjawab mengukir empat kepala patung bekas Presiden Amerika Syarikat yang sehingga ke hari ini, Mount Rushmore merupakan salah satu ikon terkenal negara.

Gambar kanan : Senarai pekerja di bawah Gutzon Borglum. Ia dianggarkan sekitar 400 orang.
 

Ukiran patung ini mengikut turutan dari kiri ke kanan ialah George Washington, Thomas Jefferson, Theodore Roosevelt and Abraham Lincoln.


Setiap malam bermula pada bulan Mei hingga September akan diadakan acara istimewa di sini. Ia termasuk tayangan video, majlis menurunkan bendera serta memberi penghormatan kepada veteran perang.














Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



19 June 2015

Pizza Terkenal Di Chicago

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejatera

Terlebih dahulu masih belum lewat lagi untuk saya mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat Berpuasa kepada pembaca yang beragama Islam.

Deep dish pizza (pai pizza) merupakan ikon makanan bagi Chicago. Kunjungan para pelancong tidak akan lengkap jika tidak mencubanya.
Biasanya jika ada kelapangan saya dan suami gemar mencuba pelbagai restoran yang menghidangkan deep dish pizza. Antara restoran popular di Chicago yang pernah kami kunjungi ialah Giordano's, Pizano's dan Gino's.

Beberapa tahun lalu kami pernah menikmati deep dish pizza di Gino's di mana ia pernah dikunjungi puluhan selebriti terkenal termasuk Oprah Winfrey, Katie Holmes dan Usher. Malangnya cawangan itu telah ditutup dan berpindah ke kawasan baru.


Deep dish pizza Super Veggie (pizza sayuran) yang saya dan suami nikmati di salah sebuah cawangan Giordano's di Chicago.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

14 June 2015

Tips Melancong - Cara Menjaga Keselamatan Pasport Semasa Berada Di Luar Negara

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Apabila hendak melancong atau bertugas ke luar negara, pasport merupakan dokumen perjalanan dan pengenalan diri rasmi yang wajib dibawa bersama. Jika berlakunya kecurian atau kehilangan pasport ia akan merumitkan keadaan, membazir masa serta membebankan kewangan. Di bawah ini saya sertakan tips supaya anda dapat menjaga pasport seperti anda menjaga diri sendiri.


Sentiasa berhati-hati sebelum terjadi perkara yang tidak diingini. Penjagaan pasport adalah penting dan tanggungjawab bagi setiap individu yang memilikinya.


Persediaan Sebelum Berlepas
- Sebelum membuat sebarang urusan tempahan tiket kapal terbang atau hotel, pastikan pasport belum lagi tamat tempoh.

- Sediakan salinan fotokopi muka hadapan pasport yang mengandungi butir diri serta gambar. Jika terjadinya kehilangan pasport, salinan ini dapat membantu anda dalam meringankan urusan pembaharuan pasport. Salinan tersebut perlu diletakkan berasingan dari tempat penyimpan pasport. Untuk langkah lebih baik, anda boleh bawakan bersama tambahan dua keping gambar berukuran pasport.


Semasa Berada Di Lapangan Terbang Atau Pelabuhan



- Kos untuk membuat pasport agak mahal oleh itu simpan dan jaga dokumen antarabangsa ini sebaik mungkin. Anda digalakkan membeli sekeping perlindungan pasport (passport cover) yang banyak dijual di pusat membeli belah.

- Sebagai langkah tambahan bagi mereka yang melancong dengan menaiki kapal atau feri, anda boleh menyimpan pasport di dalam beg plastik yang berzip.

- Jika perjalanan percutian menuntut anda bertukar-tukar lapangan terbang atau transit beberapa kali, letakkan pasport di tempat yang senang untuk diambil contohnya di poket luar beg tangan atau di poket jaket, baju, dan seluar yang berbutang atau berzip.



Di Dalam Pengangkutan Awam

Pengangkutan awam yang saya maksudkan merangkumi kapal terbang, kapal, feri, keretapi dan bas.
Sekiranya perjalanan percutian anda ditemani keluarga atau sahabat, ia tidak menjadi masalah sekiranya anda mahu ke tandas kerana dokumen perjalanan boleh ditinggalkan sebentar di bawah jagaan mereka. Bagi perjalanan seorang diri, beg yang mempunyai barangan peribadi perlu diambil langkah berhati-hati.

- Sebolehnya elakkan meletak bagasi dan beg kecil di tempat penyimpanan (overhead compartment) di bahagian kepala anda. Cuba letakkan di arah bertentangan dengan tempat duduk anda kerana ia memudahkan pandangan sepanjang masa penerbangan sekiranya ada penumpang lain yang cuba membuka bagasi milik anda.


Jika anda meletakkan pasport atau dokumen penting di dalam bagasi di tempat penyimpanan (overhead compartment), pastikan bagasi tersebut senang dilihat oleh anda. 

- Bawa beg tangan anda bersama ke tandas. Buang rasa malas atau tanggapan 'hanya sekejap sahaja'.

- Bagi mereka yang menyimpan dokumen perjalanan di dalam beg galas belakang, pastikan anda mengunci beg tersebut.

 - Bagi mereka yang menyimpan dokumen perjalanan di dalam beg galas belakang yang tidak berkunci, satu cara lain yang memudahkan anda ialah dengan cara 'beg dalam beg'. Simpan dokumen perjalanan di dalam beg pinggang, beg mini atau beg genggam kemudian masukkan di dalam beg galas belakang. Apabila sudah berada di dalam kabin. beg tersebut boleh dikeluarkan dan simpan di hadapan anda (poket tempat duduk). Beg bersaiz kecil itu senang untuk dibawa ke tandas.



Berada Di Luar Negara 

- Jika anda tidak mahu membawa pasport semasa keluar bersiar-siar, ia boleh disimpan di dalam peti keselamatan yang terdapat di dalam bilik hotel. Saya tidak pernah menyimpan pasport di dalam peti keselamatan tersebut dan lebih senang dibawa bersama. Sebagai pelancong asing di sesebuah negara adalah satu tanggungjawab saya untuk membawa dokumen perjalanan dan pengenalan diri pada setiap masa.

Peti keselamatan yang disediakan di setiap bilik hotel memudahkan tetamu untuk menyimpan barangan peribadi yang berharga. Gambar dirakamkan di hotel Courtyard Marriott Hong Kong.


- Jenis beg yang digunakan semasa melancong memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan dan diri anda. Jika anda mengikuti lawatan satu hari yang panjang adalah tidak sesuai menggunakan tas tangan bertali pendek (yang hanya boleh digenggam atau disangkut di lengan). Beg tangan seperti ini senang ditarik atau diragut.

- Semasa lawatan dan bersiar-siar, pastikan zip di setiap poket beg tangan tersebut ditutup.

- Beg galas belakang atau beg sekolah dari jenis kain nipis merupakan salah satu beg yang senang dikoyakkan dengan menggunakan alatan yang tajam seperti gunting. Jika anda berada di dalam bas atau keretapi dalam bandar, pastikan anda menggalas beg ke hadapan (seperti memeluk).
Paris contohnya merupakan bandar yang terkenal dengan peragut dan lebih terperinci lagi di dalam pengangkutan awam. Mereka boleh meragut, mengonyakkan beg sepantas kilat dan hilang tanpa dapat dikesan.

- Bagi diri saya sendiri, saya gemar menggalas beg bertali panjang yang boleh disilang ke hadapan badan. Jika saya menggalas beg tangan di bahu sekalipun, saya akan pastikan tangan tetap menggengam tali beg dan diarahkan ke bahagian hadapan badan.

- Semasa menjamu selera di restoran atau kafe, saya akan memastikan beg tangan masih bersilang di badan atau tali beg dililitkan di lengan. Mengikut keadaan dan persekitaran restoran ada waktunya saya letakkan di kerusi sebelah, Saya belum pernah dan tidak sekali-kali akan meletakkan beg tangan di atas meja atau di lantai.


Apabila berada restoran atau kafe, beg tangan pasti berada di atas riba saya dan sekaligus beg berselindung di sebalik meja dan ia sukar untuk dilihat oleh orang lain.


Pengenalan Diri
- Berhati-hati dalam memberi dan berkongsi butiran pasport. Selain pegawai imigresen, kakitangan hotel, agensi pelancongan dan sewa kereta yang biasa meminta pengenalan diri iaitu pasport. Di kebanyakan negara pula, apabila kita membeli belah dan membuat pembayaran dengan kad kredit, mereka akan meminta pasport sebagai pengenalan diri bagi memastikan pemilik kad adalah orang yang sama dan bukan pemegang kad kredit palsu.


Jangan mendedahkan butiran passport kepada orang lain khususnya di mana-mana laman sosial media.


- Tidak mendedahkan butiran pasport di dalam sosial media seperti contoh Facebook, Instagram, atau Twitter. Walaupun mungkin niat anda mahu berkongsi niat baik, tetapi perlu di ingat, dunia siber dan internet ini bukan milik kita seorang diri. Penggodam internet dan sindiket membuat pasport palsu sangat berleluasa dan mempunyai pelbagai cara dalam mendapatkan maklumat peribadi seseorang.


Saya berharap tips yang saya kongsikan di atas dapat membantu anda dalam merancang perjalanan dan percutian ke luar negara. Mungkin anda rasakan tips ini agak rumit atau remeh, tetapi percayalah jika diamalkan selalu ia tidak menjadi masalah malah senang untuk diuruskan. Sekali lagi saya ulangi, sayangi dan jaga pasport anda seperti anda menjaga diri sendiri.

Tips Melancong yang saya kongsikan di sini adalah bersiri dan saya akan terus siarkan secara berperingkat.
Entri yang lain boleh anda baca di sini;

Tips Melancong - Perancangan Percutian Ke Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/01/tips-melancong-perancangan-percutian-ke.html

Tips Melancong - Pengurusan Pakaian Dan Bagasi 
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Tatacara Dan Adab Semasa Berada Di Lapangan Terbang;
http://sharery.blogspot.com.au/2015/03/tips-melancong-tata-cara-dan-adab.html

Tips Melancong - Cara Mengatasi Jet Lag
http://www.sharery.blogspot.com.au/2015/05/tips-melancong-bagaimana-cara-mengatasi.html

Tips Melancong - Mengetahui Lokasi Pejabat Kedutaan Dan Konsulat Di Luar Negara
http://sharery.blogspot.com.au/2015/06/tips-melancong-mengetahui-lokasi.html

Tips Melancong - Adab Dan Displin Sebelum Memasuki Pesawat
http://sharery.blogspot.com.au/2015/07/tips-melancong-adab-dan-displin-sebelum.html



Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


11 June 2015

Kota Cinta Seattle

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya sering menganggap Seattle adalah sebuah kota cinta. Bukan semalam atau kelmarin tetapi sejak saya meminati filem Sleepless In Seattle lakonan Tom Hanks dan Meg Ryan pada tahun 1993. Selepas dari itu saya menyukai apa sahaja drama dan filem romantik yang menjalankan pengambaran di Seattle termasuklah Grey's Anatomy dan yang terbaru Fifty Shades Of Grey.

Walaupun sejak dari dahulu lagi saya meminati bandar Seattle tetapi saya tidak pernah membayangkan untuk datang ke sini. Pertama kali menjejakkan kaki ke Seattle pada tiga tahun lalu membuatkan saya benar-benar jatuh hati dengannya.

Saya rasa gembira kerana dapat mengambil gambar pemandangan Seattle dari kamera sendiri. Pemandangan yang saya kagumi sejak dari saya kecil lagi. Ini adalah gambar terbaru yang saya rakamkan beberapa minggu lalu. Ia dirakamkan pada berlainan waktu. Saya tidak membawa kaki kamera (tripod) tetapi hanya bergantung kepada tembok yang senget dan tidak sekata. Mujurlah saya mengetahui sedikit sebanyak cara untuk mengambil gambar panorama pada sebelah malam dan inilah hasilnya.

Sudah beberapa kali saya datang berkunjung ke Seattle tetapi saya tidak pernah jemu malah makin kerap datang, makin banyak lagi gambar yang saya rakamkan.


Pemandangan yang dirakamkan pada waktu senja. Gambar seperti ini boleh dilihat di mana-mana poskad yang dijual di kedai cenderamata.


Pemandangan pada sebelah malam sekaligus mengingatkan saya dengan drama bersiri Grey's Anatomy.


Cuaca yang baik dengan langit yang tidak berawan membuatkan pemandangan bandar Seattle lebih cantik. Menuntut masa yang agak lama untuk mencari posisi yang sesuai di tambah dengan kedinginan malam, ia tetap berbaloi dan merupakan satu kepuasan bagi saya.


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


10 June 2015

Yuna Sebagai Idola Dan Sumber Inspirasi

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hari ini merupakan hari yang begitu bermakna bagi saya kerana penyanyi Yuna telah mengikuti akaun Instagram saya.



Yuna satu-satunya artis yang paling kerap saya ceritakan di dalam blog dan Instagram saya sejak beberapa tahun lalu. Saya cukup teruja dan berbangga setiap kali mendengar lagu beliau diputarkan di mana-mana tempat awam di Australia termasuk beberapa kali di dalam pesawat Qantas Airways serta di dalam drama di stesen televisyen di Amerika Syarikat.


Pernah berjumpa dengan beliau tiga tahun lalu di Denver, Colorado ternyata sifat peramah dan rendah diri membuatkan beliau berjaya dan diminati sehingga ke hari ini. Pada tahun pertama saya mengenakan tudung, saya hilang arah bagaimana untuk berfesyen dalam waktu yang sama berpakaian sopan. Yuna merupakan rujukan saya dan sehingga ke hari ini beliau saya anggap idola.


Pada tahun 2012 saya pernah menegur segelintir peminat Yuna yang memberi komen negatif dan bersikap kurang ajar terhadap beliau. Tanpa di sangka Yuna melawat laman blog saya lantas memujinya. 

Kepada anda yang mempunyai akaun Instagram, anda boleh mengikuti perkembangan saya di sana (blog_th2010). Saya kerap berkongsi gambar dan cerita pendek yang tidak saya siarkan di dalam laman blog ini tetapi hanya untuk pengikut Instagram sahaja.

09 June 2015

Kesenian Gula-Gula Getah Di Gum Wall Seattle

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Gum Wall terletak berdekatan dengan Pike Place Market di Seattle, Washington merupakan salah satu lokasi tarikan pelancong. Gum Wall mengingatkan saya akan Hosier Lane di Melbourne, Australia cuma perbezaannya ialah Hosier Lane terkenal dengan graffiti (lukisan yang disembur dengan cat) manakala Gum Wall pula terkenal kerana gula-gula getah. Bagi pendapat saya dinding ini bukan kotor tidak bermakna, sebaliknya ia penuh dengan kesenian dan itulah persamaan yang terdapat di Hosier Lane dan juga Gum Wall.

Sebaik tiba di Gum Wall saya rasa lucu melihat gelagat para pengunjung kerana majoriti dari mereka datang sambil mengunyah gula-gula getah. Mereka teruja untuk meletakkannya di dinding ini sebagai tanda kenangan.

Gum Wall yang terletak di lorong kecil di antara dua buah bangunan lama mengingatkan saya akan persamaannya dengan Hosier Lane di Melbourne.


Kesenian gula-gula getah.


Gambar kiri : Saya tidak menyentuh gula-gula getah ini dan gambar tangan hanya sekadar isyarat.

Gambar kanan : "Can't Touch This" hasil dari gula-gula getah.


Gambar kiri : Tidak ada sudut yang tidak diletakkan gula-gula getah. Batang paip juga menjadi 'mangsa'.


Gambar kiri : Pelbagai kad perniagaaan turut dilekatkan di sini.

Gambar kanan : Salah satu bahagian di Gum Wall yang menjadi kegemaran saya.








Seperti gambar di atas anda boleh lihat gula-gula getah dilekatkan dari lantai sehingga ke atas bangunan.


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.



08 June 2015

Gempa Bumi Di Sabah, Malaysia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sehingga ke hari ada kalanya saya masih tidak percaya yang saya sudah menawan Gunung Kinabalu. Saya tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang pendakian tetapi setiap kali melihat semula gambar-gambar dari simpanan, saya rasa gerun kerana sememangnya laluan pendakian sangat mencabar fizikal dan mental.

Mendapat berita tentang kejadian gempa bumi dan kematian para pendaki dan malim gunung membuatkan saya rasa sedih apatah lagi saya sendiri pernah berada di laluan pendakian yang sama seperti mereka. Salam Takziah kepada keluarga mangsa.

Gambar ini saya rakamkan di Low's Peak atau puncak Gunung Kinabalu yang tingginya ialah 4095.2 meter.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


05 June 2015

Restoran Island Malaysian Cuisine Las Vegas

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya biasa mendengar ada yang mengatakan susah untuk mendapat makanan halal di Las Vegas dan pernah saya ternampak di akaun Instagram selebriti Malaysia yang datang bercuti merungut rindukan nasi di Las Vegas.

Melihat dan mendengar komen-komen sebegini membuatkan saya ketawa kerana jelas sekali mereka tidak membuat penyelidikan sebelum datang bercuti.

Selain mempunyai keluarga angkat di Las Vegas, salah satu sebab lain saya dan suami suka datang ke sini ialah terdapat banyak restoran halal malah terdapat juga masjid di mana suami pernah solat di situ.

Keluarga angkat saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan stok daging halal kerana di sini juga terdapat kedai runcit yang menjualnya.

Entri mengenai restoran halal di Las Vegas akan disiarkan secara berperingkat dan saya mulakan dengan Malaysian Island Cuisine. Kepada yang rindu dengan makanan dari Malaysia, restoran ini adalah sesuai untuk anda.


Di hadapan pintu masuk restoran.

Gambar kiri : Sijil halal dipaparkan di tepi pintu masuk.

Gambar kanan : Dinding yang dilukis dan dicat menggambarkan tepi pantai sesuai dengan nama restoran ini.

Gambar kiri : Risalah pelancongan Malaysia.

Gambar kanan : Kaunter di bahagian tepi pintu masuk
.

Gambar atas : Pemandangan di dalam restoran.

Gambar bawah : Di satu sudut lain terdapat meja permainan snuker.

Gambar atas : Campuran satay ayam dan daging.

Gambar bawah : Pasembur.

Gambar kiri : Karipap.

Gambar kanan : Telur dadar dan tiram.

Bersama keluarga angkat saya yang sudah menetap di Las Vegas lebih dari 10 tahun yang lalu. Mereka merupakan pelanggan tetap restoran ini dan bersahabat baik dengan pemilik restoran.

Di belakang saya ialah pentas untuk karaoke.

Bergmabar di salah satu sudut restoran yang saya rasakan agak menarik di mana diletakkan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat serta wau bulan. Pelanggan juga boleh bermain snuker di sini.


Island Malaysian Cuisine

5115 Spring Mountain Road
Las Vegas, Nevada
89146

http://islandmalaysian.com/

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.