Wednesday 3 June 2015

Amaran : Penyalahgunaan Visa Pelancong Ke Australia

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya terpanggil untuk membuat entri mengenai penyalahgunaan visa kerana saya pernah menerima berita yang disampaikan kepada saya dari Malaysia dan Singapura. Selama ini saya pekakkan sahaja telinga dan mengendahkanya kerana saya tidak punya masa dalam hal sebegini. Saya dan suami sebagai rakyat Australia rasa bertanggungjawab ke atas negara kami dan hari ini saya meluahkan rasa tidak puas hati dan kesal terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara.

Penyalahgunaan visa yang saya maksudkan ialah mereka yang datang ke Australia menggunakan visa melancong yang tempohnya untuk tiga bulan tetapi datang bekerja sebagai pemetik buah di ladang tempatan.


Sekadar hiasan : Gambar ini saya rakamkan di ladang anggur di Swan Valley, Australia Barat pada November 2011.

Kes penyalahgunaan visa bukan berita baru yang saya dengar kerana setiap tahun berita mengenai pihak imgresen berjaya melumpuhkan sindiket haram ini biasa saya ketahui melalui akhbar tempatan. Cuma sebelum ini ia terjadi kepada pelancong asing contohnya dari China, Vietnam, Indonesia dan New Zealand (hanya senarai pendek). 'Trend' ini kembali menular dan 'berjangkit' pula kepada rakyat Malaysia dan Singapura.

Saya tidak mahu menghuraikan lebih panjang mengenai 'pakej' memetik buah ini kerana jujur saya katakan saya amat marah apabila mengingatkan semula beberapa keratan yang saya baca.


Sekadar hiasan : Gambar ini saya rakamkan di ladang anggur di Swan Valley, Australia barat pada bulan November 2011.

- Saya nasihatkan kepada sesiapa sahaja yang membaca entri ini supaya jangan terpedaya dan terpengaruh dengan 'pakej' untuk bekerja di Australia sebagai pemetik buah. Jangan sesekali memasang angan-angan untuk mencuba. Pelancong yang datang ke Australia dengan menggunakan visa melancong tidak dibenarkan bekerja di mana-mana tempat di Australia.


- Saya turut mengetahui mereka yang tergolong di dalam sindiket ini pernah berjaya melepaskan diri dari pihak imigresen malah ada antara mereka yang pulang ke negara masing-masing dengan bangga menghebahkan berita 'kejayaan' mereka bersama keluarga dan sahabat. Ingatlah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Mungkin nasib mereka baik pada kali pertama tetapi  ia mungkin tidak menyebelahi buat kali kedua.


- Selepas sindiket ini berjaya ditumpaskan, mereka bukan sahaja dilarang memasuki Australia dalam tempoh beberapa tahun malah nama mereka akan disenarai hitamkan di dalam sistem pihak imigresen Australia dan negara-negara lain.


- Pihak imigresen sentiasa memantau mana-mana pergerakan sindiket ini terutama sekali di dalam internet. Perlu saya terangkan di sini, kakitangan imigresen Australia yang menjalankan pemantauan secara rawak di laman sosial dan internet bukan sahaja boleh memahami Bahasa Inggeris malah mereka mempunyai kakitangan yang fasih dalam pelbagai bahasa lain contohnya Bahasa Indonesia, Bahasa Melayu, Mandarin, Kantonis dan banyak lagi.


- Malaysia sudah lama terkenal di mata kalangan negara asing termasuk Australia kerana rakyatnya yang suka melanggar undang-undang terutama sekali kes tinggal di luar negara lebih dari tempoh visa yang dibenarkan. Tidak cukup dengan itu, kini rakyat Malaysia (bukan semua) sudah 'ketagih' untuk bekerja memetik buah menggunakan visa melancong. Sekali lagi saya nasihatkan, cuba elakkan dari memalukan nama negara anda.


- Manusia tidak pernah mengenal erti puas dan jika diturutkan juga nafsu, tamak akan menguasai diri. Melanggar undang-undang negara dengan memasuki negara secara haram (penyalahgunaan visa) serta bekerja secara haram maka adakah berkat gajinya? Tepuk dada tanya selera.


- Jika berminat untuk bekerja dan menyambung pelajaran di Australia, anda boleh dapatkan maklumat lanjut di laman sesawang dari  Department Of Immigration and Citizenship. Jujur saya katakan di sini, bukan senang sebenarnya untuk datang bekerja di Australia melainkan peluang pekerjaan itu ditawarkan oleh kerajaan Australia atau syarikat-syarikat besar. Memetik buah adalah untuk penduduk tempatan sahaja dan tidak ada visa khusus untuknya.


Sekadar hiasan : Gambar ini dirakamkan di ladang buah Persimmon (pisang kaki) di Bedfordale, Australia Barat pada tahun 2010.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.






No comments:

Post a Comment