Tuesday 13 November 2018

Jalan Raya Tersunyi Di Amerika Syarikat

US 50 ialah jalan raya tersunyi di Amerika Syarikat. Ia menghubungkan antara Sacramento Barat, California dan Ocean City, Maryland dengan kepanjangan 4828 kilometer. Walaupun saya tidak melalui keseluruhan jalan raya US 50, tetapi saya sudah melawat ke dua buah bandar yang terletak di persimpangan di bahagian jalan raya ini iaitu Carson City pada tahun 2012 dan Ely beberapa bulan lalu. Carson City ialah ibu negeri Nevada manakala Ely ialah sebuah bandar terpencil di pergunungan Nevada yang suatu masa dahulu terkenal dengan industri perlombongan.

Ely ialah persinggahan wajib bagi saya dan suami untuk mengisi minyak kereta
semasa melakukan kembara memandu dari Vancouver, Kanada ke Las Vegas ulang alik sebanyak empat kali iaitu pada bulan April dan Mei yang lalu. Jumlah penduduk di Ely dikira sehingga tahun 2017 ialah 3969 orang dan jumlah ini merosot dari tahun-tahun sebelumnya.

Apa yang saya suka apabila melakukan kembara berkereta di Amerika Syarikat ialah dapat menjejakkan kaki di kawasan pendalaman, perkampungan dan bandar kecil yang masih mempunyai penduduk atau pun sudah terbiar. Jauh beribu batu dari bandar besar, tempat-tempat ini membawa saya kembali kepada zaman atau era kegemilangan puluhan tahun yang lalu seperti juga di Ely. Ia adalah pengalaman yang berharga berbanding melawat ke bandar-bandar besar yang sudah moden.

Gambar-gambar yang saya muat naik di bawah di bawah ini dirakamkan di Ely semasa perjalanan pulang dari Las Vegas ke Vancouver pada 26 April. Anda boleh lihat keadaan bandar yang sunyi dan kedai-kedai serta motel yang masih beroperasi dan yang sudah tidak menjalankan perniagaan di jalan raya tersunyi di Amerika Syarikat (Lincoln Highway). Sebahagian lagi dari bandar Ely yang sibuk dan masih ramai penduduk terletak diluar dari Lincoln Highway.

Anda juga boleh melihat gambar-gambar di Ely yang berbeza di dalam artikel 'Pemanduan dari Vancouver ke Las Vegas'.
Bahagian 2
http://sharery.blogspot.com/2018/10/april-2018-pemanduan-dari-vancouver-ke_30.html?m=1
Bahagian 3
http://sharery.blogspot.com/2018/11/april-2018-pemanduan-dari-vancouver-ke.html?m=1

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment