Saturday 24 November 2018

My Place Hotels - North Las Vegas, Nevada

My Place Hotels North Las Vegas merupakan hotel pilihan sepanjang penginapan saya di Las Vegas. Sama juga seperti My Place Hotels Twin Falls, Idaho,
http://sharery.blogspot.com/2018/11/my-place-hotels-twin-falls-idaho.html?m=1
hotel ini baharu sahaja dibuka kurang satu bulan sebelum kedatangan saya. Di hadapan hotel masih banyak lagi tanah lapang yang belum ada pembangunan. Masih belum ramai tetamu tambahan pula semasa itu bukan pada musim cuti.

Terdapat empat jenis bilik dengan kadar harga berbeza dan kami memilih bilik yang paling murah iaitu 'single queen room'. Walaupun My Place Hotels ialah hotel bajet, tetapi banyak juga kelebihan yang ada untuk tetamu termasuk mempunyai dapur di setiap bilik, seterika serta papannya, bakul baju dan internet tanpa wayar percuma (wifi). Di dapur terdapat peti sejuk, ketuhar gelombang, mesin membuat minuman kopi, pembakar roti serta papan pemotong yang ada di dalam bilik masih dibalut dengan plastik kerana belum pernah digunakan. Di bahagian lobi, tetamu boleh menyediakan minuman panas dan biskut disediakan secara percuma. Lebih menarik lagi My Place Hotels menyediakan kawasan yang diberi nama 'Grilling Pavilion' untuk tetamu mengadakan barbeku/bbq.

Antara perkhidmatan yang perlu dibayar ialah perkhidmatan mencuci bilik, penggunaan menggunakan mesin basuh serta pengering di bilik cucian dan makanan ringan di lobi hotel. Selain itu, hotel ini tidak menyediakan sarapan pagi percuma tetapi tetamu boleh memesan sarapan pagi dengan bayaran yang boleh dihantar terus ke bilik. Menunya diletakkan di papan notis di dalam bilik. Perkhidmatan mencuci bilik juga dikenakan bayaran justeru adalah diingatkan supaya tidak terlalu mengotorkan bilik atau tuala. Satu perkara yang memeranjatkan ialah, tidak ada sebarang peralatan memasak seperti kuali, periuk, pinggan, mangkuk, sudu, garfu dan pisau.

Oleh kerana saya menginap beberapa hari di sini, maka saya terpaksa membeli pinggan di pasar raya untuk memudahkan proses memanaskan makanan yang telah dibeli di luar. Selama pengalaman mengembara, saya tidak ada masa untuk memasak tetapi yang penting biarlah ada ketuhar gelombang. Secara keseluruhan, saya masih berpuas hati dengan perkhidmatan serta layanan dari kakitangan hotel yang begitu peramah dan sangat membantu terutama ketika saya ingin membuat salinan dokumen peribadi. Jika berminat untuk menginap di sini, sila layari laman sesawang My Place Hotels; https://www.myplacehotels.com/
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment