Thursday 19 December 2013

Jemputan Ke Parlimen Australia Barat Sebanyak Dua Kali

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Salah satu kenangan manis yang saya catatkan di dalam diari kehidupan saya sejak berhijrah ke Australia ialah apabila menerima jemputan oleh ahli Parlimen Parti Buruh Australia Barat sebanyak dua kali untuk hadir ke Parlimen Australia Barat di Perth sambil melakukan lawatan di dalam bangunan Parlimen.

Edmund Rupert Joseph "Ed" Dermer (Ed Dermer) merupakan Ahli Parlimen sejak dari tahun 1996. Beliau juga merupakan sahabat baik suami serta ibu dan bapa mertua saya. Setiap tahun Ed Dermer pasti tidak lupa untuk menghantar kad ucapan Hari Raya Aidilfitri, malah saya turut menerima kad ucapan yang beliau hantar terus dari Perth ke Ipoh (rumah ibu saya) semasa saya dan suami bakal melangsungkan perkahwinan empat tahun yang lalu.

Dengan rasa bangga, saya telah mengenakan pakaian tradisional baju kurung semasa kedua-dua kunjungan saya tersebut.

2010
Pada bulan April 2010, saya ditemani suami, ibu dan bapa mertua serta sahabat baik mertua hadir ke Parlimen atas jemputan oleh Ed Dermer. Mungkin jemputan pada kali ini lebih istimewa untuk saya kerana ini merupakan kunjungan saya yang pertama. Berbeza dengan suami, mertua dan sahabat mertua, mereka sudah banyak kali datang ke Parlimen atas urusan rasmi mahupun tidak rasmi.

Kami dibawa oleh Ed Dermer ke serata pelusuk di dalam bangunan termasuklah di dewan persidangan. Penggunaan kamera adalah dilarang sama sekali semasa lawatan dijalankan. Gambar yang dapat saya kongsikan bersama anda di sini ialah gambar semasa kami minum pagi di kafe dan di luar bangunan.

Di bahagian hadapan bangunan Parlimen Australia Barat.

Bergambar bersama Ed Dermer di hadapan pintu masuk.

Minum pagi bersama Ed Dermer di kafe yang di khaskan untuk tetamu serta kakitangan dan ahli-ahli Parlimen (di dalam bangunan). Hanya di sini sahaja kami dibenarkan menggunakan kamera.

Bergambar sebelum pulang.

2011
Semasa anak saudara saya datang bercuti ke Australia pada penghujung tahun 2011, kami telah membawa beliau berjumpa dengan Ed Dermer sekaligus memberi peluang beliau melihat dengan lebih dekat bagaimana sistem pentadbiran kerajaan dijalankan.
Rancangan untuk membawa anak saudara ke Parlimen adalah di dalam minit-minit terakhir. Suami menghubungi Ed Dermer secara terus tanpa perlu melalui pembantu peribadi atau setiausaha beliau. Perbualan antara mereka berdua akhirnya membuahkan hasil dengan hanya kurang 24 jam perancangan.


Ed Dermer menjemput kami untuk hadir ke Parlimen pada sebelah tengah hari. Seperti kunjungan saya yang terdahulu (2010), Ed Dermer membawa kami sekali lagi untuk minum di kafe serta membawa mengelilingi bangunan Parlimen dan menceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah dan sistem pentadbiran kerajaan negeri.


Wajib untuk bergambar di hadapan pintu masuk utama bangunan Parlimen ini.

Kenangan manis anak saudara saya, Ashraff yang bergambar bersama ahli Parlimen, Ed Dermer.


Bahagian depan bangunan atau pintu masuk utama yang menghadap bandar Perth.
Pemandangan persekitaran di luar bangunan Parlimen Australia Barat.

Hanya sebelum pulang baru kami ketahui yang Ed Dermer mempunyai urusan penting selepas itu dan beliau telah mengorbankan waktu makan tengah hari semata-mata untuk berjumpa dengan kami bertiga.
Beginilah salah satu sifat baik hati beliau sebagai ahli politik yang sangat kami kagumi. Adakah ahli politik/wakil rakyat atau menteri di negara/negeri anda mempunyai ciri-ciri seperti Ed Dermer? Tepuk dada tanya selera.

Ed Dermer telah menarik diri dari bertanding sekali lagi semasa pilihanraya pada tahun ini sekaligus beliau mengundurkan diri di dalam bidang politik.
Semoga Ed sekeluarga akan sentiasa sihat sejahtera dan berbahagia selalu.


No comments:

Post a Comment