Friday 23 December 2016

Ulangtahun Ke-10 Mendaki Gunung Kinabalu (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Untuk mendapatkan cerita yang penuh, sila ikuti bahagian pertama melalui alamat di sini;
http://sharery.blogspot.com.au/2016/12/ulangtahun-ke-10-mendaki-gunung.html?m=1


20 SEPTEMBER 2006
Saya tidak ingat jam berapa saya bangun dari tidur tetapi apa yang jelas ialah saya mendengar suara-suara para pendaki di luar tempat penginapan yang sedang bersiap sedia dan ada di anatara mereka yang sudah memulakan pendakian sebelum jam 2:30 pagi.

Walaupun hanya mendapat tidur lebih kurang tiga atau empat jam sahaja tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk pendakian hari kedua. Sue tidak dapat turut serta dan beliau akan menunggu saya di Laban Rata selepas saya selesai mendaki ke puncak. Pada jam 2:30 pagi saya memulakan pendakian bersama Pakcik Jomius dan dua pendaki dari Australia. Suhu di luar begitu rendah tetapi saya dapat menyesuaikannya kerana saya telah berpakaian tebal sebelum saya tidur dari malam semalam.

Oleh kerana begitu teruja dan ceria serta dengan keramahan saya terhadap malim gunung yang lain, kumpulan kami berpecah. Atas pengetahuan Pakcik Jomius sendiri, beliau meneruskan pendakian bersama dua pendaki Australia manakala saya ditemani oleh dua orang malim gunung yang lain iaitu Fadzli dan seorang lagi pemuda yang saya lupa namanya.

*sila abaikan kesilapan tarikh pada semua gambar di bawah*


Berada di kilometer 8. Walaupun cuaca sejuk tetapi saya sudah berpeluh-peluh.


Dari Laban Rata sehingga ke puncak, kami perlu mengharungi permukaan berbatu-batu. Melihat dari gambar di atas terpancar kegembiraan di wajah saya. Tidak ada rasa penat tambahan pula di sepanjang pendakian saya sibuk berbual-bual dengan dua orang malim gunung yang saya ceritakan tadi.


Wajah gembira dan sangat berpuas hati sebaik tiba di puncak


Syukur kepada Allah kerana dengan izinNya, saya berjaya berada di puncak Gunung Kinabalu pada 20 September 2006 dan dengan cuaca yang begitu baik saya dapat menyaksikan keindahan matahari naik sekitar jam 6:00 pagi.


Saya berjaya menakluki puncak Gunung Kinabalu.


Pemandangan indah.


Bergambar bersama salah seorang malim gunung yang menemani saya mendaki sehingga ke puncak pada hari kedua.


Aktiviti yang terbaik semasa berada di atas puncak ialah merakamkan gambar sebanyak yang boleh.




Inilah dua orang pendaki dari Australia yang bersama dengan saya dari semalam bermula dari menaiki van di Kota Kinabalu dan kebetulan pula mereka didaftarkan untuk mendaki bersama dengan kumpulan yang dijaga oleh Pakcik Jomius.




Para pendaki yang lain juga sibuk mengambil gambar kenangan. Lelaki yang berdiri paling kiri ialah salah seorang malim gunung.




Tidak lengkap jika menakluki puncak Gunung Kinabalu tanpa bergambar dengan papan tanda ini. 


Gambar yang paling menjadi kegemaran dan begitu berharga bagi saya.


Gambar kedua yang mejadi kegemaran saya. Inilah 'bapa' saya sepanjang dua hari pendakian. Sifat kebapaan beliau sungguh menyerlah apabila menjalankan tugas menjaga pendaki di bawahnya jagaannya. Andai boleh diputarkan waktu, ingin rasanya saya berjumpa sekali lagi dengan Pakcik Jomius untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan berkongsi gambar ini kepadanya.


Kami tidak boleh berada lama di atas puncak, masing-masing sudah mula bergerak untuk turun.









Puncak Gunung Kinabalu (Low's Peak) di belakang saya.


Berlatar belakangkan puncak yang diberi nama South Peak.


Di sebelah kanan gambar kelihatan bandar Kota Kinabalu. Sungguh menakjubkan.


Papan tanda kilometer 8 yang saya rakamkan gambar pada awal pagi ketika hari masih gelap. Kini baharu jelas menampakkan pemandangan South Peak.


Pakcik Jomius mengajar saya supaya turun di sini dengan gaya bersilang atau 'zig zag' supaya kaki tidak letih.




South Peak.


Pakcik Jomius sedang turun dengan gaya 'zig zag'.


Saya merakamkan gambar ini hanya kerana pemandangannya tetapi apabila hendak memuat naik di sini baharu  fikiran saya terlintas mengenai penduduk tempatan yang tinggal di kaki gunung. Oleh kerana tidak boleh membayangkan, maka saya teringin untuk berada di tempat mereka sekadar hendak merasai cara kehidupan seharian yang pastinya kurang serba serbi dari penduduk bandar. Mungkin satu minggu sudah cukup untuk memperolehi pengalaman tersebut.



Sayat-Sayat Check Point ialah pusat untuk memeriksa senarai nama pendaki.






Cuaca yang amat baik dilihat dari Sayat-Sayat Check Point.


Amat memeranjatkan melihat puncak gunung sudah hilang dari pandangan. Pakcik Jomius sedang memimpin tangan rakan pendaki kami yang baru melepasi Sayat-Sayat Check Point.



Tiba di kilometer 7.


Saya menunjukkan Laban Rata yang nampak terang disinari oleh cahaya matahari.


Satu lagi gambar saya dirakamkan sebelum tiba di Laban Rata iaitu berlatar belakangkan gunung yang hanya separuh kelihatan.


Setiap kali melihat gambar ini, saya berasa sungguh gayat dan menakutkan. Saya tidak tahu bagaimana saya dan semua pendaki mengharungi laluan ini pada awal pagi yang masih gelap gelita. Apabila sudah siang baharu saya sedar ini merupakan laluan paling mencabar. Cuba anda bayangkan sekiranya pendaki tergelincir dan jatuh ke tepi? 


Air gunung yang sungguh sejuk sekali.





Panar Laban Hut - Pondok kecil tempat saya dan Sue bermalam.



Rumusan Mendaki Hari Kedua
Bagi pendaki yang bermalam di Laban Rata, mereka perlu berjalan kaki selama sepuluh minit sebelum melintas lalu di Panar Laban Hut dan seterusnya menyambung pendakian ke puncak. 
Pendakian dari tempat penginapan saya iaitu Panar Laban Hut bermula pada jam 2:30 pagi dan tiba di puncak tepat pada waktu yang diinginkan kerana para pendaki ingin melihat pemandangan matahari naik. Jumlah masa yang diambil untuk sampai ke puncak ialah kira-kira tiga jam tiga puluh minit (merujuk masa melalui kamera dan berdasarkan tahap kelajuan saya sendiri).

Saya tidak mempunyai sebarang masalah semasa naik ke puncak dan sehingga turun ke Laban Rata. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan dari segi cabaran mental serta fizikal. Semasa mendaki ke puncak, kami hanya memberi tumpuan terhadap setiap langkah kaki yang diambil tanpa perlu memikirkan tentang persekitaran yang gelap. Jauh berbeza apabila menuruni dari puncak kerana hari siang membuatkan para pendaki akan gerun melihat laluan yang telah dilalui sebelum ini kerana ia sangat mencabar dan merbahaya.

Benar kata Pakcik Jomius, mendaki lebih senang berbanding menuruni kerana kaki memerlukan lebih tenaga untuk turun dari gunung. Lutut akan cepat terasa lemah seperti jeli berbanding pada hari pertama ketika mendaki. Masa yang saya ambil untuk turun dari puncak hingga ke Panar Laban Hut ialah lebih kurang dua jam.

Nantikan entri bahagian tiga di mana saya akan berkongsi beberapa tips untuk mereka yang bakal mendaki Gunung Kinabalu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment