Sunday, 15 January 2017

Pemanduan Dari Kanada Ke Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Dua tahun lalu saya dan suami pernah merancang untuk mengembara memandu dari Michigan, Amerika Syarikat ke Toronto, Kanada tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Pada kali ini kami begitu teruja kerana pertama kali memandu dari arah bertentangan daripada perancangan sebelum ini iaitu dari Vancouver ke Seattle.

Terdapat tiga belas sempadan antarabangsa yang menghubungkan daerah British Columbia dengan negeri Washington dan empat daripadanya ialah sempadan yang sibuk sepanjang hari. Pada awalnya kami ingin memilih sempadan yang jauh dari Vancouver tetapi memikirkan kedatangan ke Seattle adalah singkat dengan peranacangan yang hanya dibuat malam semalamnya, maka kami menukar fikiran dengan memilih untuk melalui sempadan yang paling dekat.

Jarak kedua buah bandar ini ialah 229 kilometer.

Pemanduan kami bermula dari Vancouver pada jam 10:00 pagi, tiba di sempadan 45 minit kemudian dan berakhir di Seattle pada sebelah malam. Jumlah pemanduan ini dikira termasuk semasa kami berada di dalam kesesakan lalu lintas di sempadan kedua buah negara, singgah di kilang Boeing di Everett, pusat membeli belah dan makan malam. Kelewatan ini juga berlaku kerana masalah hujan sepanjang hari. Jika pemanduan ini dilakukan tanpa henti (tidak mengira kesesakan di sempadan), ia hanya mengambil masa lebih kurang dua jam dan tiga puluh minit sahaja.

Agak sukar untuk mendapatkan kualiti gambar yang baik semasa merakamkannya di dalam perjalanan kerana hujan lebat sepanjang hari. Faktor cuaca juga menyebabkan kali ini saya lebih banyak merakamkan video berbanding gambar. Walau bagaimanapun saya tetap memilih beberapa gambar yang terbaik untuk dikongsikan di sini. Saya berharap anda dapat menonton video khas sepanjang perjalanan yang dimuat naik kerana video yang dirakamkan berbeza dengan gambar-gambar di bawah. Selain itu saya rasakan video ini berbaloi dengan usaha yang dilakukan kerana
saya mengambil risiko merakamkan video dengan mengeluarkan tangan dari kereta (sesekali apabila hujan renyai).


Menggunakan lebuhraya BC - 99 S dari Vancouver.


Dua sempadan antarabangsa yang berdekatan dengan Vancouver.  


Kami memilih untuk melalui USA Border Peace Arch.


Cuti hari Natal dan Tahun Baharu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sempadan. Kami juga turut merujuk satu laman sesawang yang memberikan perkembangan terkini tentang kesesakan di sempadan dan anggaran masa yang perlu diambil untuk melepasinya. 


Batu penanda sempadan antarabangsa.


Papan tanda selamat datang ke Amerika Syarikat.


Telah bersiap sedia memegang pasport.


Peace Arch merupakan sempadan paling sibuk antara daerah British Columbia dan negeri Washington serta nombor tiga paling sibuk di dalam negara kerana ia adalah laluan paling dekat dengan Vancouver.  Dibuka untuk laluan kenderaan keluar masuk (kecuali kenderaan perdagangan) 24 jam sehari sepanjang tahun.


Kesemua lorong dibuka untuk kenderaan yang ingin memasuki Amerika Syarikat.


Lorong-lorong ini mern  pemeriksaan pasport dan dokumen perjalanan berserta soalan rutin yang biasa akan ditanya oleh pegawai US Customs and Border Protection. Selepas dari itu, pemeriksaan kali kedua dilakukan di dalam bangunan di bahagian hadapan.  Kedua pemeriksaan ini adalah prosedur biasa.


Arca unik yang menampakkan seperti sebuah pintu gerbang.


Bergambar di hadapan bangunan US Customs and Border Protection selepas selesai segala urusan. 


Blaine terletak paling utara di negeri Washington selepas sempadan Kanada dan Amerika Syarikat.


Kedai berlesen yang menjual dadah Marijuana di Blaine.


Sebaik sahaja memasuki Amerika Syarikat, setiap kenderaan yang tiba dari Kanada perlu menukar sistem metrik kepada unit pengukuran rasmi di Amerika Syarikat iaitu sistem imperial. Contohnya ialah kilometer ke batu dan Celsius ke Fahrenheit. 44 darjah Fahrenheit bersamaan dengan 6.6 darjah Celsius.





Video : Di dalam video ini anda dapat melihat kenderaan kami melalui sebuah terowong di bawah sungai sepanjang 629 meter.


Tanda merah ini menandakan terowong George Massey.

Kami akan mencuba menggunakan sempadan yang lain pula sekiranya ingin lagi ke Seattle pada masa hadapan.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment