Tuesday 6 June 2017

Winslow, Arizona (Route 66)

Winslow ialah bandar yang terletak di antara Flagstaff dan Holbrook malah tidak jauh dari sempadan negeri New Mexico. Peninggalan sejarah Route 66 masih boleh dilihat di Holbrook dan logo 'Route 66' yang dicat di pertengahan simpang empat merupakan yang terbesar yang pernah saya lihat sepanjang pengalaman saya melawat ke bandar-bandar Route 66 sebelum ini.

Seperkara lagi yang membuatkan Winslow mencuri tumpuan pengunjung ialah kerana mereka ingin bergambar di Standin' On The Corner Park. Taman awam ini dibuka pada tahun 1999 sempena memperingati lagu dari kumpulan Eagles yang bertajuk Take It Easy.
Bait lirik lagu yang terkenal sekitar tahun 70an ini ialah,
'..Well, I'm a-standin' on a corner in Winslow, Arizona
Such a fine sight to see
It's a girl, my Lord, in a flat-bed Ford
Slowin' down to take a look at me
Come on, baby, don't say maybe
...'.

Standin' On The Corner Park merangkumi patung gangsa seorang pemuda bersama dengan gitar,
sebuah trak Ford lama dan bangunan yang mempunyai mural seorang wanita memandu trak, pasangan kekasih dan seekor burung helang yang berkait dengan lirik lagu tersebut. Klip video berserta latar belakang lagu Take It Easy yang dimuat naik di bawah ini memberi gambaran jelas di mana saya sedang berdiri di Standin' On The Corner Park dengan lirik yang dimaksudkan.

Saya rasa terkesan apabila membaca sejarah bagaimana dan mengapa taman ini dibina, pernah musnah terbakar dan kemudian kembali pulih demi untuk menaikkan semula nama Winslow. Mungkin kekerapan menggunakan lebuh raya I-40 dan sudah banyak kali melawat ke bandar-bandar Route 66 yang sudah lama berakhir zaman kegemilangannya membuatkan saya seolah dapat merasai perasaan penduduk tempatan di situ.

Sebelum meninggalkan Winslow dan menyambung perjalanan ke Holbrook, kami memandu di hadapan La Posada Hotel yang diiktiraf dan disenaraikan oleh kerajaan sebagai tempat bersejarah. Tidak dinafikan bangunan kolonial Sepanyol ini mempunyai banyak sejarahnya sehingga pernah suatu ketika ia hampir dirobohkan. Terminal bagi stesyen keretapi Amtrak dan muzium turut berkongsi di dalam bangunan yang sama. Gambar yang saya dirakamkan dari simpang masuk boleh dijadikan rujukan sekiranya ada yang ingin menginap atau melawat ke hotel ini.
Video Standin' On The Rock Park boleh juga ditontoni di saluran You Tube, 
https://youtu.be/ouhzzNaGb9o?list=UUOS-0jgw64BDh2QtFrV6Hkg

Ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010 dan langgani (subscribe) saluran You Tube, Shery NN.

No comments:

Post a Comment