Thursday 6 December 2018

My Place Hotels Meridian, Idaho

Jika para pembaca masih ingat, pada bulan April lalu semasa kembara ke Las Vegas, saya dan suami menginap di dua buah hotel baharu Tru by Hilton. Kembara kali ini, iaitu bulan Mei kami sekali lagi memilih untuk menginap di tiga buah hotel baharu rangkaian My Place Hotels.

My Place Hotels Twin Falls, Idaho ialah hotel penginapan pada hari pertama semasa pemanduan dari Vancouver, Kanada ke Las Vegas.
http://sharery.blogspot.com/2018/11/my-place-hotels-twin-falls-idaho.html?m=1
Hotel ini baharu juga beroperasi dan masih belum ramai tetamu tambahan pula semasa itu bukan pada musim cuti. Terdapat tiga jenis bilik dengan kadar harga berbeza dan kami memilih bilik yang paling murah iaitu 'single queen room'. Walaupun My Place Hotels ialah hotel bajet, tetapi banyak juga kelebihan yang ada untuk tetamu termasuk mempunyai dapur di setiap bilik, seterika serta papannya, bakul baju dan internet tanpa wayar percuma (wifi).
Di dapur terdapat peti sejuk, ketuhar gelombang, mesin membuat minuman kopi, pembakar roti serta papan pemotong yang terdapat di dalam bilik masih dibalut dengan plastik kerana belum pernah digunakan. Di bahagian lobi tetamu boleh menyediakan minuman panas dan biskut disediakan secara percuma. Lebih menarik lagi My Place Hotels menyediakan kawasan yang diberi nama 'Grilling Pavilion' untuk tetamu mengadakan barbeku/bbq.

Antara perkhidmatan yang perlu dibayar ialah perkhidmatan mencuci bilik, penggunaan menggunakan mesin basuh serta pengering di bilik cucian dan makanan ringan di lobi hotel. Selain itu, hotel ini tidak menyediakan sarapan pagi percuma tetapi tetamu boleh memesan sarapan pagi dengan bayaran yang boleh dihantar terus ke bilik. Menunya diletakkan di papan notis di dalam bilik. Perkhidmatan mencuci bilik juga dikenakan bayaran justeru adalah diingatkan supaya tidak terlalu mengotorkan bilik atau tuala. Satu perkara yang memeranjatkan ialah, tidak ada sebarang peralatan memasak seperti kuali, periuk, pinggan, mangkuk, sudu, garfu dan pisau.

Semasa menginap beberapa malam di My Place Hotels North Las Vegas,
http://sharery.blogspot.com/2018/11/my-place-hotels-north-las-vegas-nevada.html?m=1
saya membeli pinggan di pasar raya untuk memudahkan proses memanaskan makanan yang telah dibeli di luar.  Selama pengalaman mengembara, saya tidak ada masa untuk memasak tetapi yang penting biarlah ada ketuhar gelombang.

My Place Hotels sekali lagi menjadi pilihan untuk penginapan satu malam semasa di dalam pemanduan pulang dari Las Vegas ke Vancouver, Kanada. Hotel yang baharu beroperasi ini terletak di Meredian, Idaho. Dari segi kebersihan bilik serta layanan pekerja hotel, ia begitu memuaskan. Oleh kerana terlalu letih, keutamaan kami hanya untuk tidur dengan selesa. Saya tidak menggunakan dapur kerana makan dan minuman telah dibeli lebih awal sebelum daftar masuk.

Setelah menginap di tiga buah cawangan My Place Hotels yang berbeza selama beberapa malam pada bulan Mei lalu, apa yang dapat saya simpulkan ialah hotel ini tidak begitu sesuai bagi saya dan suami.
Tujuan kami menginap di My Place Hotels ialah sekadar untuk mencuba sesuatu yang baharu dan tidak ada istilah menyesal.
Hotel bajet ini mungkin menjadi pilihan terakhir bagi kami pada masa akan datang itupun sekiranya kami hanya ingin menempah untuk satu malam.

Di masa akan datang kami tetap ingin mencuba hotel-hotel yang belum pernah kami menginap atau yang baharu dibuka tetapi jika penginapan memerlukan jangka masa yang lama, suami pasti akan memilih rangkaian hotel Marriott. Beliau sebagai pemegang kad keahlian Marriott Rewards tahap Platinum Elite, mendapat banyak kelebihan dan keistimewaan terutama dari segi layanan dan keutamaan.

Walaupun saya nyatakan yang My Place Hotels tidak begitu sesuai bagi saya dan suami, tetapi ia tidak bermaksud saya melarang dari sesiapa untuk mencubanya. Mungkin hotel ini sesuai untuk anda.  Sebarang maklumat lanjut mengenai My Place Hotels, sila layari laman sesawang di bawah;
https://www.myplacehotels.com/
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment