Thursday, 17 April 2014

New Delhi, India (2005)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sudah bertahun-tahun lamanya saya memendam niat ini cuma baru sekarang saya rasakan ianya tidak perlu ditangguhkan lagi.
Mulai hari ini, saya akan berkongsi gambar serta cerita tentang pengalaman semasa saya bekerja sebagai pramugari. Saya akan fokuskan mengenai tempat-tempat menarik yang pernah saya lawati sepanjang berkhidmat selama lima tahun dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Saya mempunyai ribuan keping gambar dan adalah mustahil untuk saya letakkan semuanya di sini. Itupun tidak semua album berada di dalam simpanan kerana separuh daripadanya masih berada di rumah ibu saya di Malaysia.

NEW DELHI, INDIA

India merupakan destinasi antarabangsa saya yang pertama (bermalam) sebaik sahaja bertugas dengan MAS. Penerbangan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa selama lima jam setengah tetapi ia ibarat seperti sepuluh jam lamanya. Hanya anak-anak kapal yang memahami situasi begini. Walaupun penat tetapi ianya amat berbaloi sekali kerana India banyak memberikan pengalaman menarik untuk diri saya.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, saya sudah dapat rasa kejutannya. Saya seakan berada di dalam lapangan terbang pada zaman 70 atau 80an kerana serba serbinya nampak lama dan uzur. Selepas mengambil bagasi dan ingin keluar dari bangunan terminal, bau hancing sudah menusuk ke dalam hidung dan beberapa ekor lembu berkeliaran di luar pintu. Kami anak-anak kapal perlu menarik bagasi di atas jalan yang berpasir dan berbatu selama beberapa minit untuk sampai ke tempat bas.

Semasa menaiki bas untuk ke hotel pula, sekali lagi saya merasakan seperti menaiki pengangkutan awam pada tahun 80an kerana di dalam bas tersebut (walaupun mempunyai penghawa dingin) terdapat beberapa kipas kecil yang diletakkan di tepi tingkap. Ia mengingatkan saya semasa kecil dahulu apabila menaiki teksi di bandar Ipoh di mana ianya turut terdapat kipas kecil seperti itu.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi ke Hotel Le Méridien mengambil masa lebih kurang 30 minit. Ia bergantung kepada keadaan lalu lintas kerana adakalanya masa yang diambil lebih lama dari biasa. New Delhi tidak pernah sunyi dengan kenderaan mahupun aktiviti penduduk tempatan. 30 minit berada di dalam bas tidak membosankan kerana banyak yang boleh dilihat dan diambil pengajaran serta iktibar. Apakah pengajaran dan ikitbar yang dimaksudkan? Saya akan berkongsi cerita dan gambar pada artikel keluaran akan datang.

Apa yang memeranjatkan saya tentang India ialah, walaupun keadaan sekitarnya begitu daif dan kotor, tetapi negara ini mempunyai banyak hotel bertaraf empat dan lima bintang di mana di sinilah kami anak-anak kapal MAS bermalam. Saya menganggap diri ini beruntung kerana setiap kali datang ke New Delhi, saya dapat bermalam di hotel-hotel yang berbeza.

Pemandangan New Delhi dari bilik hotel Le Méridien.
Bunyi hon kenderaan di bawah tetap jelas kedengaran walaupun bilik saya terletak di tingkat yang tinggi.
Palikar Bazar - Tempat membeli belah bawah tanah yang terletak di Connaught Place, New Delhi. Majoriti kedai di sini menjual pakaian dan barangan elektronik.

Menaiki pengangkutan awam yang popular di India, iaitu auto rickshaws/mototaxi atau biasa dipanggil tuktuk di Thailand.

Janpath Market - Ia terletak berhampiran dengan Connaught Place. Janpath Market merupakan tempat kegemaran saya untuk membeli belah. Antara barangan yang dijual di sini ialah pakaian, kasut, aksesori wanita, perhiasan rumah, permaidani, kain langsir, kain sari dan bermacam-macam lagi. Di sini juga peluang untuk para pembeli melakukan tawar menawar harga serendah yang anda suka.

India Gate - Tugu Peringatan Perang setinggi 42 meter.

Pemuda ini dengan baik hati membawa kami berempat melawat ke India Gate. Beliau ialah pemilik kedai hiasan rumah yang terletak di dalam Hotel Le Méridien.

The Canopy - Terletak lebih kurang 150 meter dari India Gate.
Ini merupakan trip New Delhi paling lama yang saya dapat rasai iaitu selama empat hari dua malam. Selepas dari itu kami hanya dapat merasai trip tiga hari satu malam sahaja.
Entri mengenai pengalaman kerja saya ini tidak disiarkan secara berturut-turut. Oleh itu anda perlu mengikuti perkembangan blog saya dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment