Tuesday 1 April 2014

Pencipta Kotak Hitam Diiktiraf Atas Pengaruh Anak Kecil

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Seawal umur 10 tahun (tahun 2012), anak muda bernama Eve Cogan sudah berani mengeluarkan petisyen dan mencadangkan kepada kerajaan Australia agar Lapangan Terbang Canberra (ibu negara Australia) ditukar kepada nama David Warren.

Siapa David Warren?
Beliau adalah pencipta kotak hitam untuk kapal terbang (black box). Sila klik di sini http://sharery.blogspot.com.au/2014/03/pencipta-kotak-hitam-berasal-dari.html  untuk mengetahui cerita lanjut mengenai Dr David Warren.

 Pencipta kotak hitam (black box) rakyat Australia iaitu mendiang Dr David Warren berdiri di hadapan kapal terbang Malaysia Airlines B747.

Sepanjang dua tahun, semenjak Eve Cogan membuat petisyen, beliau telah mendapat lebih kurang 4000 tandatangan (saya turut menandatangani petisyen pada tahun 2012). Beliau menggunakan medium seperti Facebook, Twitter, Blog dan YouTube untuk mendapatkan sokongan dan tandatangan tersebut. Usaha Eve Cogan turut mendapat perhatian daripada tokoh-tokoh penerbangan terkenal termasuk Kapten Richard De Crespigny yang berjaya mendaratkan pesawat Qantas Airways A380 di Lapangan Terbang Changi Singapura setelah kebakaran enjin serta Kapten Chesley "Sully" Sullenberger yang mendaratkan pesawat di Sungai Hudson di New York.


Dua orang tokoh penerbangan yang telah memberi sokongan padu terhadap Eve Cogan di dalam laman Twitter masing-masing.

Saya tidak menafikan yang negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Rusia adalah antara negara yang mempunyai ramai pakar dalam bidang penerbangan dan pembuatan kapal terbang tetapi siapa  menyangka bahawa kotak hitam dicipta oleh rakyat Australia iaitu Dr David Warren.


Memetik dari ungkapan Eve Cogan, “It seemed strange to me that many Australians know so many sports stars and yet don't know many inventors and scientists.” "Saya berasa pelik kerana ramai rakyat Australia mengenali bintang sukan tetapi tidak bagi pencipta dan saintis".
Pada pendapat saya, bukan sahaja rakyat Australia tetapi penduduk di negara lain juga ada yang sebegitu.

Meskipun impian anak muda ini untuk menukar nama Lapangan Terbang Canberra tidak kesampaian (ditolak atas sebab-sebab tertentu), tetapi sedikit sebanyak usaha beliau selama dua tahun ini menampakkan hasil. Pada tanggal 25 Mac 2014, bangunan Lapangan Terbang Canberra dengan rasminya telah diberi nama kepada David Warren Building.

Gambar atas : Eve Cogan menerima pingat tanda penghargaan di atas usaha beliau selama ini.

Gambar bawah : Semasa majlis perasmian David Warren Building.

Eve Cogan turut dijemput untuk sama-sama meraikan hari bersejarah itu. Di sebelah kiri Eve Cogan ialah Jenny Warren (anak kepada David Warren) serta anak Jenny (berbaju hijau).

Tiada apa lagi yang boleh saya katakan melainkan tumpang gembira dengan usaha Eve Cogan apatah lagi Australia khususnya kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mendengar pendapat, cadangan serta keluhan serta masalah rakyat.

Walaupun sepanjang hayat Dr David Warren beliau sudah menerima banyak anugerah, pingat dan gelaran, tetapi ini merupakan pengiktirafan kali kedua terhadap beliau yang 'nampak' dengan jelasnya (David Warren Building). Sebelum ini Qantas Airways telah menamakan salah satu kapal terbang komersial dunia A380 di atas nama beliau.

Jauh di lubuk hati, saya sangat berbangga dengan Dr David Warren dan Eve Cogan. Syabas!



2 comments:

  1. saya harap perjuangan Eve Cogan berjaya!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Consider berjaya juga. Walaupun tak dapat tukar nama airport, tapi nama bangunan pun dah kira ok. Bukan satu kerja senang jugak kan. Dua tahun punya usaha, :)

      Delete