Sunday, 7 October 2018

Motel 6 Redding, California

Kebiasaanya motel hanya menyediakan perkhidmatan yang asas dan ia sangat sesuai untuk pengembara yang hanya mahu tidur beberapa jam sebelum menyambung pemanduan. Bagi saya dan suami yang kerap mengembara merentasi negara yang mengambil masa berminggu-minggu dan berbulan lamanya, motel agak tidak sesuai untuk kami. Setiap hari memandu dalam jangka masa yang lama, kami memerlukan hotel yang selesa dan cukup dalam setiap perkhidmatan.

Sepanjang pengalaman saya dan suami melakukan kembara di Amerika Syarikat, kami tidak pernah lagi bermalam di motel. Kami pernah bercadang untuk menempah bilik untuk satu malam sekadar ingin mencuba perkhidmatannya tetapi belum kesampaian sehinggalah pada bulan Mac yang lalu di mana kami singgah di Redding, California semasa pemanduan pulang dari Los Angeles ke Vancouver, Kanada. Mengikut perancangan, kami akan tiba di Redding pada lewat malam dan akan meneruskan pemanduan pada awal pagi keesokkan harinya. Oleh kerana kami hanya memerlukan rehat dan tidur yang cukup, maka kami telah menempah bilik di Motel 6.

Motel 6 begitu terkenal di kalangan pengembara kerana terdapat begitu banyak cawangan di serata negara serta harga yang agak murah. Sekiranya anda berminat untuk bermalam di Motel 6, perlu saya ingatkan sekali lagi bahawa perkhidmatan yang sedia ada agak terhad. Kami mendapat bilik di tingkat dua dan agak terkejut kerana saiz bilik tidaklah terlalu kecil. Tilam dan bantal agak tidak selesa tetapi oleh kerana terlalu letih kami tetap tidur nyenyak. Tuala mandi disediakan untuk dua orang tetapi bilik tidak mempunyai seterika dan papannya. Mujurlah pakaian yang akan dipakai pada keesokkan hari tidak perlu digosok. Walaupun lantai bilik disapu bersih tetapi kakitangan motel tidak mengelapnya. Saya perlu mengelap lantai dengan tisu basah sebelum membentangkan sejadah. Motel 6 tidak menyediakan wifi di dalam bilik walau bagaimanapun banyak saluran rancangan disediakan di televisyen dan ia tidak mengecewakan.

Saya pasti tidak semua motel mempunyai kekurangan seperti motel yang telah saya menginap.Yang penting sekali anda perlu melihat gambar-gambar, ulasan hotel dan maklum balas dari tetamu terdahulu melalui laman sesawang sebelum menempah bilik seperti yang biasa kami lakukan. Kemungkinan pada masa akan datang kami akan menginap lagi di motel sekiranya di kawasan tersebut tidak mempunyai hotel.
Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment