Tuesday, 23 October 2018

Persaraan Pemain Hoki Ais Lagenda Vancouver Canucks

Saya meminati sukan hoki ais tanpa sengaja sejak menetap di Kanada dan pasukan kegemaran ialah Vancouver Canucks. Walaupun saya pernah aktif bermain hoki padang semasa di zaman persekolahan, tetapi hoki ais memerlukan saya kembali mempelajari selok belok permainan kerana kedua sukan hoki ini berbeza sama sekali. Sewaktu awal dahulu semasa menyaksikan setiap perlawanan Vancouver Canucks, saya mengambil masa yang sama selama beberapa bulan mempelajari cara, undang-undang permainan, dan mengenal para pemain serta pasukan lain di dalam liga (National Hockey League/NHL).

Pada 3 April 2018, seluruh penduduk di Vancouver dan juga peminat sukan hoki ais di negara lain dikejutkan dengan berita bakal persaraan dua pemain Vancouver Canuck. Henrik dan Daniel Sedin ialah pasangan kembar seiras yang berasal dari Sweeden telah bermain untuk Vancouver Canucks selama 18  musim iaitu bersamaan 18 tahun. Mereka menandatangi kontrak pada tahun 1999 tetapi memulakan kerjaya pada tahun 2000. Henrik menggalas jawatan sebagai Kapten pasukan sejak dari tahun 2000 sehingga di akhir perlawanan iaitu pada bulan April 2018.

Selain bermain untuk Vancouver Canucks dan merangkul banyak anugerah, Henrik, Daniel dan keluarga mereka begitu aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan sama ada mewakili Vancouver Canucks atau secara persendirian. Oleh kerana itulah mereka sentiasa berada di setiap hati peminat dan penduduk Vancouver. Saya sebagai peminat baru terasa sedih mendengar akan berita persaraan mereka inikan pula peminat yang sudah meminati dan mengenali Henrik dan Daniel selama 18 tahun lamanya.

Pada 5 April 2018, di dalam cuaca sejuk dan hujan sepanjang hari, saya hadir di Rogers Arena dengan hasrat untuk menonton perlawanan (kedua) terakhir Henrik dan Deniel di tempat sendiri tetapi tiket telah habis dijual. Perlawanan paling akhir bagi mereka ialah di tempat lawan iaitu di Edmonton, Kanada pada 7 April 2018. Pasrah kerana tidak dapat menonton perlawanan di Rogers Arena, saya beralih ke satu sudut lain untuk menandatangi papan tanda selamat tinggal Henrik dan Daniel Sedin. Mujur saya datang awal justeru saya mencari ruang yang strategik iaitu di bahagian tengah papan bergambar kerana ia  senang untuk dilihat. Terima kasih kepada kaki tangan yang bertugas yang sudi mengambil gambar saya pada ketika itu. Saya turut singgah ke kedai Vancouver Canucks untuk membeli cenderahati edisi terhad Henrik dan Daniel di mana ia adalah kedatangan dan pembelian kali kedua saya dalam satu minggu selepas mereka menyampaikan berita persaraan.

Bulan ini bermula musim baru hoki ais bagi tahun 2018-2019. Walaupun Henrik dan Daniel tidak lagi bersama pasukan Canucks tetapi mereka masih lagi tinggal di Vancouver dan anak-anak mereka masih bersekolah di sini. Ia satu berita yang menggembirakan kerana saya dan peminat lain berharap dapat bertembung atau berjumpa dengan mereka pada bila-bila masa b di dalam bandar ini.
Video di atas juga boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN;
https://youtu.be/X4_D81kY4sk

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment