Monday, 11 June 2012

Salt Lake City, UTAH (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Kali ni saya berkongsi pengalaman melawat ke salah sebuah negeri di Barat Amerika Syarikat iaitu UTAH atau nama samarannya Beehive State (negeri sarang lebah).
Perjalanan menaiki kereta yang mengambil masa hampir lapan jam ini bermula dari negeri New Mexico, seterusnya memasuki negeri Colorado dan berakhir di ibu negeri Utah iaitu Salt Lake City.
Pemandangan sepanjang perjalanan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Gambar yang bakal saya kongsikan di bawah tidak secantik jika hendak dibandingkan dengan mata kasar sendiri yang melihat dengan lebih dekat. Mata terpaku dengan keindahan semulajadi lantas beberapa kali saya berbisik di dalam hati, "Cantiknya ciptaan Allah ini"!

Semasa di dalam Perjalanan

Memasuki sempadan negeri Utah dari Colorado.
Menempuh dan memandu ditengah-tengah gunung berbatu-batuan di Moab, Utah.
Ketika di Price Canyon, saya tertarik untuk mengambil gambar bermacam-macam bentuk batu yang unik yang semulajadi (Rock Formation). Selepas pulang dari Utah, saya mendapat maklumat dari sebuah laman sesawang yang memberi maklumat tentangnya. Bentuk batu di atas telah diberi nama Castle Gate.
Gambar kegemaran saya. Terowong untuk laluan keretapi yang terletak ditengah-tengah antara sungai dan gunung ganang mengingatkan saya akan pemandangan di dalam filem. Sejuk dan sedap mata memandang.
Langit yang pada mulanya diselaputi awan sudah mula bertukar warna.
Walaupun sudah memasuki musim panas,puncak gunung masih diselaputi saki baki salji yang masih belum cair.

Di Salt Lake City
Sesudah berehat seketika di hotel, kami memulakan perjalanan berjalan kaki. Suhu yang panas tidak membataskan kami untuk bersiar-siar di sekitar pusat bandar.

Pertama kali melihat langkah keselamatan tambahan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk penduduk di sini. Syabas!
Bergambar di hadapan Main Media Center di mana di sinilah berkampungnya para media antarabangsa membuat liputan semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk 2002.
Papan tanda yang membuktikan kami telah berada di Salt Lake City, UTAH.
Menaiki TRAX (trem) percuma untuk mengelilingi pusat bandar.
Ikon simbolik kepada Olimpik Musim Sejuk 2002 yang diadakan di Salt Lake City.
Rumah besar pertama di negeri Utah yang diberi nama Devereaux Mansion berusia lebih satu ratus tahun.

Bangunan Union Pacific satu masa dahulu ialah stesen keretapi tetapi sekarang bangunan yang dibina pada tahun 1909 ini telah dijadikan restoran, pusat muzik tempatan serta laluan utama (jalan masuk) ke Gateway District.

Gateway District ialah sebuah kawasan luas yang merangkumi gedung membeli belah,restoran, panggung wayang, apartment, kondominium dan pejabat.

Di satu ceruk di dalam kawasan Gateway District terdapat Wall Of Honor. Ia di dedikasikan kepada mereka yang menjayakan Olimpik Musim Sejuk 2002 malah nama 28,000 orang sukarelawan juga terpahat di dinding Wall Of Honor ini.
Salt Lake City mengingatkan saya akan bandar Adelaide di Australia Selatan. Sukar untuk saya jelaskan di sini akan persamaan tersebut tetapi apa yang pasti suami saya pun berpendapat yang sama.Cuma dari segi kebersihan,Adelaide tidak boleh dibandingkan di sini kerana pusat bandar Salt Lake City jauh lebih bersih dari bandar-bandar di negeri atau negara yang pernah saya lawati.

*Akan bersambung.*

4 comments:

  1. Minat nya tengok tshirt Route 66 tu... nak selai!

    ReplyDelete
  2. sazsaz : Cik Yan,aiseymennn kita pun ada selai je..hehehe

    ReplyDelete
  3. Bytecode : Tunggu sambungan dan cerita2 seterusnya ye :)

    ReplyDelete