Sunday 17 June 2012

Salt Lake City, UTAH (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Di sini saya sertakan beberapa lagi gambar yang dirakamkan di Salt Lake City.
Bertarikh 22hb Mac 2012,City Creek Center yang terletak di tengah pusat bandar dibuka untuk orang awam.
Yang menarik tentang City Creek Center ialah ia menempatkan pusat membeli belah,butik mewah,pejabat dan perumahan yang kesemuanya di dalam satu kawasan serta dikelilingi dengan aliran anak sungai (buatan manusia)dan tidak cukup dari itu,air terjun mini juga terdapat sini.

Anak sungai yang mengalir di tengah-tengah pusat membeli belah di City Creek Center dapat dilihat dari gambar di atas
City Creek Center
Air pancut juga menghiasi City Creek Cente
Kami berpeluang menyaksikan persembahan tarian air pancut (air pancut bermelodi) yang diadakan di City Creek Center. Pereka tarian air pancut bermelodi di sini merupakan pereka yang sama mereka tarian air pancut bermelodi di hotel dan kasino terkenal di Las Vegas iaitu Bellagio. (http://www.sharery.blogspot.com/2012/06/las-vegas-nevada.html)

Pergerakan air yang bergerak dan beralun mengikut melodi lagu
Persembahan berakhir dengan julangan api kecil
Pusat membeli belah dan premis perniagaan (kecuali restoran dan panggung wayang) tidak dibuka pada hari Ahad sekaligus menjadikan pusat bandar seperti pekan mati.Yang meramaikan pusat bandar ialah mereka yang beribadat di gereja dan pelancong seperti kami.


Bangunan yang tersergam indah dibelakang kami ialah pusat pentadbiran kerajaan negeri (Utah State Capitol)
Negeri Utah juga terkenal dengan penduduknya yang majoriti penganut agama kristian Mormons.Di dalam pusat bandar terdapat sebuah kawasan besar yang bernama Temple Square.Temple yang dimaksudkan bukanlah tokong atau kuil sebaliknya kawasan bersaiz lebih kurang 10ekar itu  menempatkan di dalamnya pusat penerangan pelancongan,taman bunga,beberapa gereja besar,muzium dan perpustakaan(berkenaan agama tersebut).

Salt Lake Temple
Temple Square dicatit sebagai salah satu tempat tarikan pelancong
Joseph Smith Memorial Building.Di dalam bangunan ini terdapat beberapa buah restoran dan tempat untuk mengadakan pertemuan perniagaan atau majlis perkahwinan
Jangan salah sangka.Mesin ini bukan untuk membayar parkir kenderaan sebaliknya ia satu cara unik untuk mengutip derma.Masukkan sahaja wang dan ia akan disalurkan kepada badan kebajikan yang memerlukan
Sebelum ini,(http://www.sharery.blogspot.com/2012/05/phoenix-arizona.html)
saya pernah bercerita mengenai tempat memakir kereta khas di lapangan terbang di Phoenix,Arizona khusus untuk mereka yang mahu mengambil penumpang dan disertakan juga skrin besar mencatat jadual penerbangan yang bakal mendarat.Lebih menarik lagi,jika penumpang tersebut sudah mengambil bagasi,skrin di tempat meletak kereta khas itu akan dicatitkan "pickup".
Lapangan Terbang Antarabangsa Salt Lake City ialah lapangan terbang kedua di Amerika Syarikat yang saya nampak melakukan sistem sebegini.

Kawasan menunggu di lapangan terbang berserta skrin jadual penerbangan

Walaupun minoriti,tetapi umat Islam masih ada di negeri ini.Kebanyakan dari mereka berasal dari negara peperangan dan datang ke Amerika Syarikat untuk membina kehidupan baru.Madina Masjid di Salt Lake City ialah salah satu masjid yang terdapat di negeri Utah
Untuk pulang,kami mengambil laluan yang sama seperti mahu datang ke sini di mana kami menempuh beberapa daerah di dalam negeri Utah seperti Provo,Price dan beberapa taman negara yang semestinya tarikan utama pelancong.Tidak kira musim panas atau sejuk bersalji,pelbagai aktiviti luaran,riadah,lasak dapat dilakukan di sini.

Arches National Park - Salah satu daripada ribuan batu pasir semulajadi pelbagai bentuk yang terdapat di sini.Di dalam gambar kelihatan dua orang pelancong sempat bergambar di "tingkap semulajadi" ini.Walaupun nampak terang,hakikatnya hari sudah malam dan oleh kerana itulah,kami tidak berhenti untuk naik ke atas untuk bergambar (musim panas matahari terbenam jam 8-10malam)
Meskipun tidak lama di negeri Utah,tetapi saya tetap berpuas hati kerana dapat belajar serba sedikit mengenai sejarah negeri,cara hidup penduduk tempatan dan yang paling berharga sekali ialah melihat keindahan semulajadi dari ciptaan Yang Maha Besar.

No comments:

Post a Comment