Tuesday 23 December 2014

Cerita Disebalik Hashtag #illridewithyou

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera.

Entri kali ini masih berkait rapat dengan yang sebelumnya; http://sharery.blogspot.com.au/2014/12/memperingati-mangsa-insiden-tebusan-di.html tetapi kali ini saya ingin menyentuh mengenai hashtag #illridewithyou yang popular dan berleluasa penggunaannya di mana-mana laman sosial sejak kejadian tebusan yang berlaku di Martin Place, Sydney pada hari Isnin yang lalu. 

Selepas kejadian tebusan baru sahaja berlaku, sudah ada kata-kata nista di laman sosial yang mula mengutuk tentang agama Islam. Pada kebiasaanya, wanita bertudung yang sering menjadi mangsa cacian dari mereka yang cetek ilmu pengetahuan tentang agama lain. Oleh kerana itulah seorang wanita Muslim yang berada di dalam keretapi sanggup menanggalkan tudungnya semata-mata untuk keselamatan diri kerana takut perkara yang tidak diingini menimpa beliau. Selepas itu seorang penumpang lain (Rachael Jacobs) menyuruh beliau memakai semula tudung dan beliau menghulurkan bantuan untuk menemani wanita bertudung itu meneruskan perjalanan di dalam keretapi itu. Maka dari situ bermulanya #illridewithyou.


Status di dalam akaun Facebook ini yang menjadikan hashtag #illridewithyou popular di serata dunia. Ia berlaku di Sydney, New South Wales. Gambar ini saya ambil sumber dari internet.

Antara komuniti Islam di Australia yang tersentuh dengan hashtag #illridewithyou.
Gambar saya ambil dari sumber internet.

Wanita berbangsa Inggeris ini menawarkan diri untuk menemani wanita Muslim yang takut jika hendak menaiki pengangkutan awam seorang diri. Cik Terri turut membawa bersama selendang dan diikat di pergelangan tangannya. Untuk pengetahuan anda, Mandurah terletak di negeri Australia Barat.
Gambar saya ambil dari sumber internet.

Sarah Hay turut memuji hashtag #illridewithyou.
Gambar saya ambil dari sumber internet.

Sekali lagi saya rasa tersentuh dengan satus ini walaupun di penghabisan ayatnya agak kasar tetapi ia tetap membawa mesej ke arah kebaikan. Gambar saya ambil dari sumber Instagram.

Saya sebagai wanita Muslim yang tinggal di negara yang majoriti penduduknya ialah bukan Islam, (Australia dan Amerika Syarikat) rasa begitu tersentuh dengan sifat keprihatinan Rachael Jacobs dan mereka yang lain yang turut sudi menawarkan diri menemani wanita Muslim yang takut untuk menggunakan pengangkutan awam. Apabila saya membaca berita mengenai wanita itu menangis dan memeluk Rachael Jacobs, saya cuba menahan dari air mata saya jatuh di hadapan orang ramai di tempat awam. Saya pasti apa yang saya rasai pada ketika itu turut dirasai oleh wanita-wanita Muslim Australia yang lain. Tawaran ikhlas ini bukan terhad di Sydney sahaja tetapi melibatkan seluruh Australia. Melalui huraian di bawah anda boleh lebih memahami apa yang saya ingin luahkan tentang isu tudung yang membuatkan wanita Muslim kadang-kadang takut untuk keluar bertudung.

Mengapa wanita itu sanggup menanggalkan tudungnya?
Ini kerana mereka takut dicaci, dihina dan diserang oleh orang bukan Islam. Perkara sebegini memang pernah terjadi beberapa bulan lalu di Australia selepas isu ISIS. Akibat trauma, beberapa orang sahabat saya di Melbourne pernah keluar dengan menanggalkan tudung dan hanya memakai anak tudung. Keselamatan menjadi keutamaan pada waktu itu. Walau apa pun yang terjadi, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.


Mengapa wanita menjadi sasaran berbanding lelaki?
Kerana dengan hanya sehelai kain yang menutupi kepala, wanita yang bertudung lebih senang dikenali atau di 'label' sebagai umat Islam.

Mengapa mereka menghina dan mencaci umat dan agama Islam? 
Ini kerana perbuatan songsang dan ajaran sesat umat Islam sendiri sehingga berperang dan membunuh umat seagama ataupun orang bukan Islam malah dengan sewenang-wenangnya membunuh kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa. Contoh seperti Taliban dan ISIS.

Agama Islam yang suci ini adalah sempurna. Yang membuatkan ianya tidak dihormati (bukan semua tetapi hanya segelintir) adalah kerana umat Islam sendiri yang seringkali membuat perkara keji tetapi berselindung di atas nama Islam.

Akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Kita tidak boleh menyalahkan 100% mereka (bukan Islam) yang cetek ilmu tentang Islam ini. Apa yang buruk di hadapan mata, itulah yang mereka hukum.Tidak dinafikan sudah menjadi lumrah semua manusia pun akan ada sifat berprasangka.

Ada cara atau usaha untuk selesaikan isu ini ?
Sebelum bermulanya hashtag #illridewithyou lagi, atau senang saya katakan selepas dari kejadian September 11, terdapat banyak aktiviti kebajikan dan keagamaan yang menggabungkan komuniti pelbagai agama contohnya umat Islam, penganut agama Kristian,Yahudi, Hindu dan lain lain diadakan di pelbagai negara contohnya Australia, Amerika Syarikat dan Kanada. Tujuan utama pelbagai aktiviti ini dijalankan adalah untuk  memberi pendedahan mengenai agama masing-masing. Melalui cara ini juga ia akan memupuk rasa hormat menghormati antara satu sama lain. Apa yang lebih penting sekali ialah mereka semua (termasuk saya) inginkan kedamaian, keharmonian dan perpaduan negara.



Syukur Alhamdulilah sepanjang lima tahun saya tinggal di Australia dan Amerika Syarikat, belum pernah kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap saya. Malah di Amerika Syarikat sudah beberapa kali saya ditegur oleh wanita berbangsa Inggeris lantas memuji kecantikan corak tudung saya. Begitu juga di Australia, bukan sahaja tudung malah turban yang saya sarungkan turut mendapat perhatian. Mereka tanpa segan silu memuji saya di tempat awam seperti di pusat membeli belah dan di dalam bas.

Menyentuh sedikit lagi mengenai Man Haron Monis (dalang di dalam kes tebusan yang ditembak mati di Martin Place, Sydney), beliau adalah antara pelarian yang tidak tahu bersyukur apabila Australia memberi peluang kehidupan kali kedua untuk beliau. Dengan pelbagai rekod jenayah yang pernah dilakukanya sebelum ini, nampak jelas beliau sememangnya tidak pernah menghormati undang-undang negara. Melalui pemerhatian, pengamatan dan pengalaman saya, rata-rata mereka lah (pelarian dari negara Islam) yang sering membuat pelbagai jenayah ataupun bersikap kurang ajar terhadap penduduk lain di dalam Australia. Ia membuatkan umat Islam lain rasa kesal dan sedih.

Australia mempunyai undang-undang anti diskriminasi dan anti perkauman, justeru seluruh rakyat dan penduduk tetap di negara ini masih lagi selamat di bawah undang-undang yang ketat ini. Doa saya supaya kehidupan kita semua (tidak kira di negara mana pun kita tinggal) akan sentiasa dilindungi oleh Allah s.w.t dan dijauhkan dari anasir-anasir jahat. InsyaAllah.

#illridewithyou #oneaustralia #proudaussie #australianspirit

No comments:

Post a Comment