Wednesday 31 December 2014

Imbasan Tahun 2014

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Imbasan tahun 2014 saya amat ringkas sekali.

Hanya beberapa sahaja kenangan manis yang dapat saya kongsikan bersama anda dan selebihnya adalah amat peribadi untuk diceritakan. Antaranya ialah ;

Pada bulan Mac yang lalu saya ditemuramah oleh wartawan Malaysia untuk topik tentang insiden MH370. Sebagai bekas pramugari Syarikat Penerbangan Malaysia dan isteri kepada juruterbang untuk syarikat penerbangan di Australia dan Amerika Syarikat. Saya rasa amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menceritakan beberapa perkara tentang keselamatan dalam bidang penerbangan. Justeru itu,  sekali lagi pada tahun ini artikel mengenai saya telah disiarkan di dalam surat khabar Harian Metro.


Memori terindah pada bulan April ialah saya dijemput menghadiri majlis tertutup di pejabat rasmi Datuk Bandar Perth yang terletak di pusat bandar Perth, Australia Barat. Rasa sungguh bertuah kerana bukan calang-calang orang yang dapat menghadiri dan melawat ke pejabat dan dewan keramaian tersebut.


Saya menggunakan Instagram sebagai medium bagi menyenangkan rakan-rakan pembaca untuk mengetahui perkembagan mengenai entri terbaru yang saya siarkan. Anda semua sudah sedia maklum bahawa Blog Terjemahan Hati menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dan sudah tentulah pengikut Instagram yang saya harapkan pula adalah mereka yang boleh memahami bahasa Melayu. Saya tidak pernah menyangka bahawa pengikut akaun Instagram saya yang berlainan bangsa serta tidak mengetahui sedikit pun bahasa Melayu adalah yang paling setia mengikuti perkembangan saya sejak lebih dari satu tahun lalu. Mereka sebenarnya suka serta sering memuji gambar-gambar yang saya dan sekaligus mereka cepat memahami maksud gambar yang dikongsikan dengan hanya bantuan #hashtag. Mereka yang berasal dari pelbagai negara ini bukan seperti pengikut biasa tetapi sudah dianggap sebagai kawan. Selain dari itu saya berbangga kerana pemilik akaun Instagram rasmi pelancongan Amerika Syarikat turut mengikuti saya.

Dalam akaun Instagram saya yang lain (berbahasa Inggeris) saya mendapat pengikut yang merupakan kegemaran saya sejak dari dahulu lagi. Antaranya ialah selebriti, pelakon komedi dan pengacara popular di Australia. Sungguh tidak disangka-sangka mereka berminat dengan gambar-gambar dan blog mengenai Australia Barat. Jika dahulu saya biasa melihat mereka di kaca televisyen ataupun majalah, sekarang kami lebih senang berbual melalui Instagram sahaja.

Mengenai kenangan pahit pula saya tidak mahu berkongsi di sini dan biarlah ianya berlalu pergi. Cuma satu yang saya ingin pesan kepada para pembaca semua, hati-hatilah dalam berkawan dan bersahabat kerana tidak mustahil sahabat kita yang baik dan dipercayai sebenarnya akan menikam kita dari belakang. Bukan sahaja ditikam, malah si penikam akan membuka aib dan menabur fitnah kepada yang lain.

Terima kasih kerana sudi dan masih setia bersama blog Terjemahan Hati dan sudi meluangkan masa membaca coretan mengenai Imbasan Tahun 2014. Kita berjumpa pada tahun hadapan, InsyaAllah.
Jaga diri semua.






No comments:

Post a Comment