Monday 13 August 2018

Majlis Perkahwinan Di Malaysia Februari 2018

Saya menganggap menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya merupakan satu rezeki yang tidak disangka. Pada asalnya saya tidak mempunyai perancangan untuk ke Malaysia pada tahun ini, tetapi kedatangan saya ke Singapura secara mengejut kerana melawat bapa mertua saya yang sakit dan beliau meninggal dunia beberapa hari selepas itu telah membawa saya ke Ipoh, Perak sekaligus dapat melawat keluarga.

Akad nikah anak saudara saya, Mohammad Al Amin berlangsung pada bulan Disember 2017 di mana pada ketika itu saya yang berada di Kanada dapat melihat majlis secara langsung melalui panggilan video manakala majlis persandingan bagi pihak lelaki berlangsung di Ipoh, Perak pada 3 Februari 2018. Ini merupakan majlis perkahwinan yang pertama saya hadiri setelah 9 tahun tidak menghadiri mana-mana majlis perkahwinan di Malaysia. Majlis terakhir yang dihadiri ialah semasa perkahwinan saya sendiri iaitu pada tahun 2009 dan sebelum saya berhijrah ke Australia.

Segala persiapan pengantin diuruskan di rumah ibu saya kerana lokasi dewan persandingan dengan rumah ibu saya jaraknya sangat dekat. Kemeriahan begitu dirasai apabila dapat berkumpul bersama keluarga dan bertemu dengan saudara mara. Ada di antara dari mereka tidak saya temui lebih dari 9 tahun lamanya. Antara tetamu yang hadir ialah kartunis terkenal Malaysia, Datuk Lat dan isteri. Beliau dan keluarga termasuk pengarah Mamat Khalid bersahabat dengan keluarga saya sejak dari dahulu lagi. Saya turut melepaskan rindu apabila dapat berjumpa dengan dua orang bekas rakan sekolah yang datang dari Kuala Lumpur. Keluarga saya mengenali mereka dan mereka juga pernah melihat anak-anak saudara saya sejak dari mereka kecil lagi.

Selesai majlis pada siang hari, kami sekeluarga berkumpul sekali lagi dengan menghadiri makan malam beramai-ramai di sebuah restoran di Ipoh. Gambar pertama di bawah ini ialah pada hari pernikahan di kediaman pengantin perempuan dan gambar-gambar lain (ihsan dari pelbagai pihak) dirakamkan pada 3 Februari. Amin ialah anak saudara pertama di dalam keluarga yang telah mendirikan rumah tangga. Semoga jodoh bersama Fasiha kekal bahagia hingga akhir hayat.

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment