Sunday 12 August 2018

Singapura Januari 2018

Sebenarnya saya dan suami tidak mempunyai perancangan untuk ke Singapura pada penghujung bulan Januari yang lalu. Setelah hampir sebulan bapa mertua saya menerima rawatan di hospital dan dalam waktu yang sama kami di Kanada juga berasa tidak tenteram mendengar keadaan kesihatan beliau yang semakin hari semakin semakin merosot, maka tanpa berlengah kami mengambil penerbangan All Nippon Airways dari Vancouver pada 23 Januari dan tiba di Singapura pada 24 Januari. Sepanjang pengalaman saya menaiki kapal terbang termasuklah semasa bekerja sebagai pramugari waktu ketika dahulu, ini merupakan satu-satunya penerbangan yang paling membuatkan hati saya gelisah setiap minit bermula dari Vancouver sehingga tiba di Singapura. Semasa transit di Tokyo, perkara pertama yang saya lihat ialah telefon bimbit. Apabila tidak menerima sebarang berita dari keluarga mertua bermakna keadaan bapa mertua masih stabil.

Kedatangan kami pada kali berbeza dengan yang sebelumnya kerana ia bukan satu percutian atau untuk bergembira. Tiada tempat lain yang saya pergi kecuali setiap hari saya dan keluarga mertua berkampung di hospital dari pagi hingga ke malam malah ada waktunya suami saya juga bermalam di hospital. Pertarungan bapa mertua saya berakhir pada waktu tengah hari bersamaan 29 Januari 2018. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi suami saya sahaja manakala pada ketika itu saya, ibu mertua dan ibu saudara berada di luar bilik wad.

Oleh kerana keluarga mertua saya adalah kecil, maka setiap ahli keluarga dewasa telah menjalankan tanggungjawab dan tugasan dengan cepat dan lancar. Tidak pernah terlintas sebelum ini yang saya akan menaiki van jenazah. Semasa bapa saya meninggal dunia 10 tahun yang lalu, ada ahli keluarga lelaki yang menaiki van tersebut. Di Singapura saya dan kakak ipar menaiki van jenazah dari hospital menuju ke tanah perkuburan. Ia merupakan satu pengalaman baru dan pertama kali bagi kami berdua. Bapa mertua saya selamat dikebumikan selepas solat Asar di Pusara Aman.

Saya dan suami bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama bapa mertua selama 5 hari setengah. Beliau masih di dalam keadaan sedar pada 4 hari pertama kami berada di sana. Setiap yang hidup tentunya pasti akan kembali semula kepada penciptaNya. Tiada lagi kesakitan serta penderitaan yang ditanggung oleh bapa mertua dan semoga beliau tenang di sana. Sekali lagi saya di sini mewakili keluarga mertua ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kenalan, sahabat, keluarga dan saudara mara kerana sudi membuat kunjungan di hospital dan di rumah, menghulurkan bantuan, menyampaikan doa dan ingatan.

Selepas satu minggu berada di Singapura, saya mengambil keputusan untuk melawat keluarga di Malaysia dan kebetulan anak saudara saya bakal melangsungkan majlis perkahwinan. Ia ibarat 'sambil menyelam minum air' yang tidak dirancang. Sekiranya bapa mertua saya masih di hospital, saya tidak akan ke Malaysia semata-mata menghadiri majlis perkahwinan. Saya perlu mendahulukan kepentingan keluarga mertua pada ketika itu. Suami tidak dapat ikut bersama kerana beliau masih perlu menyelesaikan banyak urusan keluarga.

Di sini saya kongsikan beberapa gambar yang dirakamkan di Lapangan Terbang Changi Singapura sebelum saya menaiki penerbangan ke Ipoh, Perak.
Video ini boleh ditonton melalui saluran You Tube Shery NN;
https://youtu.be/J9Pf1lIA6xU

Instagram : blog_th2010
You Tube : Shery NN


No comments:

Post a Comment