Sunday 3 January 2021

Kesedaran Kesihatan Mental

Selamat datang ke artikel kedua Terjemahan Hati tahun 2021. 

Melalui artikel pertama mengenai tahun baru 2021 http://sharery.blogspot.com/2021/01/selamat-datang-tahun-2021.html, saya ada menyentuh mengenai azam tahun baru saya dalam usaha meneruskan memberi kesedaran kesihatan mental. Jika ada di antara dari para pembaca di sini yang mengikuti perkembangan harian saya melalui Instagram, pasti anda mengetahuinya melalui gambar-gambar yang dimuat naik. Jika anda masih kurang pasti atau langsung belum mengetahuinya, ingin saya mengambil kesempatan untuk menerangkannya dari awal.

Sejak dari tahun 2019, saya kerap berkongsi mengenai kesedaran kesihatan mental di Instagram kerana saya mahu mengubah stigma atau tanggapan masyarakat terutamanya bagi mereka yang tinggal di negara Asia yang tidak mahu mengaku yang diri mereka mempunyai masalah kesihatan mental dan malu untuk meminta pertolongan sama ada dari ahli keluarga atau pakar perubatan professional. Untuk mengambil contoh yang lebih dekat, saya akui bangsa Melayu antara yang begitu malu untuk menyentuh mengenai masalah ini. Setiap manusia mempunyai kesihatan mental sama juga seperti kesihatan fizikal. Jika seseorang itu jatuh patah kaki, demam atau batuk pasti dia akan pergi berjumpa dengan doktor. Tetapi jika seseorang itu mengalami masalah kerisauan atau kemurungan yang terjadi disebabkan oleh banyak faktor, adakah dia akan pergi berjumpa dengan pakar kaunseling dan doktor psikiatri? Psikiatri atau lebih dikenali dengan nama yang mungkin ramai yang gerun mendengarnya, iaitu doktor pakar sakit jiwa.

Usaha saya dalam memberi kesedaran kesihatan mental bukan kerana ingin mengikut 'trend' semasa. Saya lakukan semua ini kerana saya juga antara pesakit yang masih mendapatkan rawatan. Saya tidak mahu mereka menjadi seperti saya dan sebolehnya saya mahu memberi galakan untuk mereka supaya memulakan langkah untuk menerima rawatan. Saya mempunyai kondisi Obsessive Compulsive Disorder (OCD) sejak beberapa tahun lalu dan pada tahun 2017 saya mula menyedari perubahan di dalam kehidupan seharian. Akibat dari merahsiakan masalah ini dari semua orang selama bertahun-tahun, akhirnya keadaan saya sudah tidak terkawal. Pada April dan Mei 2019, saya mengalami gangguan kerisauan yang serius (anxiety) seterusnya ke tahap kemurungan (depression). 



Bermula dari saya berjalan kaki pada jam 10:30 malam ke hospital dan melangkah masuk ke wad kecemasan seorang diri dan memaksa jururawat serta doktor supaya saya dapat tidur di hospital, kehidupan saya sudah berubah. Kerana dari situ saya mula mendapatkan rawatan dari doktor psikiatri sehinggalah ke hari ini. Saya juga pernah mendapatkan rawatan dan khidmat dari doktor psikologi dan menghadiri kaunseling. Terlalu panjang untuk diceritakan tentang perjalanan untuk sembuh. Ia bukannya jalan yang lurus. Jalan yang banyak halangan ini menyebabkan tidak terkira berapa banyak kali saya jatuh, bangun dan menangis dan ia sangat mencabar emosi saya. Saya juga pernah tertekan kerana berat badan yang naik mendadak akibat dari kesan sampingan ubat-ubatan.

Saya bersyukur kerana masih dikira di peringkat awal dalam menerima rawatan dari pakar. Saya bernasib baik kerana kemurungan (depression) yang pernah saya alami hanya terjadi pada bulan Mei 2019 sahaja manakala kerisauan (anxiety) pula telah surut sedikit demi sedikit di sepanjang satu tahun lebih proses penyembuhan. Pendek kata saya tidak lagi mengalaminya sekarang. OCD saya juga boleh dikatakan di tahap minimum. Walaupun sudah mempunyai banyak perubahan positif dan kondisi tidak lagi seperti dahulu, tetapi saya masih berjumpa dengan doktor setiap bulan dan mengambil ubat seperti yang beliau arahkan. Ubat yang sebelum ini pernah diambil sebanyak dua jenis dalam dos yang tinggi, kini (Oktober 2020) telah dikurangkan kepada satu jenis dengan dos yang rendah. Sejak pandemik COVID-19, saya dan doktor psikiatri berhubung melalui 'zoom meeting'.


Reben hijau yang kerap saya letakkan di pakaian adalah simbol kesedaran kesihatan mental. 
Sekali lagi di sini saya ingin menekankan betapa pentingnya untuk orang ramai dalam mendapatkan pendedahan dan menjaga kesihatan mental kerana setiap seorang tidak kira umur mempunyai tahap kesihatan mental yang berbeza-beza. Tubuh badan tidak akan sihat dan cergas sekiranya kesihatan mental tidak dijaga dan diabaikan. Dari masa ke semasa, di antara artikel kembara, saya turut akan menyiarkan lagi artikel mengenai kesihatan mental. Sekiranya sesiapa yang ingin meluahkan perasaan atau mempunyai sebarang soalah mengenai kesihatan mental, saya cuba sedaya upaya untuk membantu. Tinggalkan soalan di ruangan komen di bawah atau saya boleh dihubungi melalui Instagram dan Facebook. Alamatnya boleh di klik di bawah ini. 

Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN


No comments:

Post a Comment