Monday 11 January 2021

Melawat Ke Rumah Pencipta Telefon Alexander Graham Bell

Pencipta telefon, Alexander Graham Bell telah berhijrah dari Scotland dan England ke Kanada pada tahun 1870 bersama kedua ibu bapa dan kakak ipar beliau. Mereka menetap di sebuah ladang di Brantford, Ontario. Alexander yang pada waktu itu berumur 23 tahun mengalami masalah kesihatan yang membimbangkan kedua ibu bapa beliau. Mereka bimbang Alexander mengalami jangkitan paru-paru sama seperti yang dialami oleh abang beliau sehingga meninggal dunia. Oleh kerana itulah isterinya (kakak ipar Alexander) turut sama berhijrah ke Kanada.

Setelah lapan bulan tinggal di ladang, kesihatan Alexander kembali pulih dan ditawarkan menjadi cikgu di Amerika Syarikat. Beliau kembali ke Brantford setiap kali musim panas atau cuti untuk meluangkan masa bersama keluarga. Pada 27 Julai 1874, di sinilah Alexander telah mencipta telefon. Pada musim panas tahun berikutnya beliau telah menulis salinan pertama rancangan rekaan telefonnya. Pada Ogos 1876, Alexander telah membuat panggilan jarak jauh pertama di dunia iaitu dari Brantford ke Paris, Ontario. Oleh kerana sejarah tercipta di sini, maka Brantford telah diberi nama "The Telephone City".

Setelah Alexander Graham Bell mencipta telefon, ayahnya, Melville, dan seorang teman rapatnya, Henderson, memulakan Syarikat Telefon Bell di Brantford pada tahun 1877. Pejabat telefon pertama adalah di rumah Henderson. Mereka berdua mengendalikan syarikat itu sehingga tahun 1880. Rumah Henderson yang pada asalnya terletak di pusat bandar Brantford telah dipindahkan dan diletakkan bersebelahan dengan rumah Bell (Bell Homestead) pada tahun 1969. Di rumah Henderson ini mempunyai pejabat telefon asal berserta telefon lain yang dipamerkan untuk para pengunjung.

Pada tahun 1881, Bell menjual ladang tersebut dan berpindah ke Washington D.C, Amerika Syarikat. Sejak dari itu hingga tahun 1909, rumah ini mempunyai enam pemilik lain. Bell Homestead didermakan pada tahun 1909 kepada Brantford Parks Department sehingga dapat dibuka untuk orang awam sebagai taman dan muzium. Hari ini, keadaan dalam rumah Bell Homestead sangat mirip seperti ketika mereka sekeluarga tinggal di sini, dengan perabot, barang-barang dan model telefon bimbit Alexander Graham Bell yang asli masih dipamerkan. Ratu Elizabeth II mengisytiharkan Bell Homestead sebagai Tapak Bersejarah Nasional Kanada pada 28 Jun 1997.

Untuk maklumat anda, syarikat telekomunikasi Bell masih beroperasi sehingga ke hari ini. 
Begitulah sedikit sebanyak sejarah Alexander Graham Bell yang dapat saya huraikan. Melawat ke rumah beliau pada Julai tahun lalu merupakan antara kenangan manis saya pada tahun 2020 walaupun tidak kesampaian untuk melihat dekorasi di dalam rumah. Bell Homestead ditutup kepada pengunjung kerana pandemik COVID-19. Gambar lapan dari bawah anda dapat lihat saya berdiri di hadapan tingkap bilik Alexander. Selain gambar-gambar yang dimuat naik, anda boleh menonton video di saluran You Tube Shery NN ; https://youtu.be/kHk-DIK0Hsw



























Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

No comments:

Post a Comment