Friday 4 March 2016

Laksa Telur Goreng Bersarang

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Walaupun kafe ini diberi nama Kafe Setinggan, namun warga Ipoh khususnya sudah biasa dengan panggilan Laksa Telur Goreng Bersarang dan ia merupakan salah satu kafe yang terkenal di bandar Ipoh. Secara ringkasnya ingin saya ulaskan di sini bahawa laksanya memang sedap apatah lagi dengan kuah yang pekat serta dihidangkan dengan telur goreng bersarang. Selain daripada itu, yang menarik perhatian saya tentunya hiasan dalaman kafe ini. Tidak kira di mana-mana kafe atau restoran yang mempamerkan barangan antik dan lama, saya pasti teruja untuk merakamkan gambarnya. Apabila melihat barangan antik sebegini, saya terasa seperti sudah kembali semula ke zaman kanak-kanak.


Kaunter memesan makanan dan membuat bayaran.


Gambar kiri : Laksa Telur Goreng Bersarang tidak mempunyai cawangan lain.

Gambar kanan : Cawan lama yang digantung sebagai hiasan.


Gambar kiri : Tin susu bersaiz besar yang memang sukar untuk saya lihat di tempat lain.

Gambar kanan : Poster filem Pendekar Bujang Lapok turut ditampal di dinding.


Ini merupakan salah satu sudut kegemaran saya. Dapur minyak tanah ini pernah dimiliki oleh ibu saya pada waktu dahulu. Pihak kafe begitu kreatif menukar dapur ini kepada tempat mencuci tangan.  Talam makanan diletakkan di atas mesin jahit lama. 


Gambar kiri : Kenangan semasa saya kecil terimbau apabila melihat almari lauk dan ketuhar lama yang dihiaskan di tepi pintu masuk.

Gambar kanan : Laksa Telur Goreng Bersarang. Cuma sekali, pasti hendak lagi.


Terima kasih kepada sahabat sekalian kerana sudi meluangkan masa bersama saya walaupun temujanji hanya dibuat beberapa jam sebelum bertemu. InsyaAllah kita berjumpa lagi di lain masa.

Kepada yang belum pernah mengunjungi Kafe Setinggan, saya memberi jaminan bahawa anda pasti tidak menyesal selepas mencuba laksa telur goreng bersarang. Bagi yang mempunyai anak kecil, saya galakkan anda menunjukkan kepada mereka barangan antik yang dihiaskan di dalam kafe. Pihak kafe tidak mensia-siakan barangan antik yang sudah hampir telan dek zaman dengan mengambil langkah yang bijak menghiaskannya. Generasi muda perlu tahu, jika tiada barangan lama, sudah tentu tiada barangan baharu seperti hari ini.


Laksa Telur Sarang
No 1, Jalan Margosa D/8,
Seri Margosa,
Bandar Seri Botani,
31350, Ipoh

Perak.

Telefon : 018-5772955 / 013- 5867881


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


2 comments:

  1. hari ni di Ipoh.. esk boleh try.. 🍽

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sima : Jangan beli semangkuk, kena beli lebih tau

      Delete