Thursday 3 March 2016

Malindo Executive Lounge KLIA 2

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya berkesempatan berkunjung ke Malindo Executive Lounge di KLIA 2 pada dua bulan lalu semasa mengambil penerbangan antarabangsa bersama Malindo Air.

Tidak ada mana-mana syarikat penerbangan premium antarabangsa yang membenarkan penumpang kelas ekonomi masuk ke ruang rehat (lounge) kerana tujuan ruang rehat ini disediakan adalah untuk keselesaan penumpang kelas pertama, perniagaan, pemegang kad keahlian penumpang kerap Platinum dan Emas sahaja.

Berbeza dengan Malindo Air, syarikat ini bukan sahaja menyediakan ruang rehat
untuk penumpang kelas perniagaan (percuma) tetapi juga kepada penumpang kelas ekonomi. Bayaran dikenakan adalah sebanyak RM 65.00 seorang dewasa, dan kanak-kanak RM30.00 seorang bagi tempoh tiga jam sahaja. Pada pendapat saya bayaran tersebut mungkin agak mahal bagi rakyat Malaysia, tetapi bagi saya RM 65.00 yang bersamaan dengan USD15.60 adalah sungguh murah sekali. Oleh itu saya berminat untuk masuk dan meninjau sejauh mana tahap, kualiti serta perkhidmatan yang diberikan.
Gambar kiri : Pintu masuk ke Malindo Executive Lounge.

Gambar kanan : Kaunter menyambut tetamu dan tempat membuat pembayaran.

Tempat duduk dan meja yang banyak disediakan untuk penumpang.

Talian internet tanpa wayar (wifi) diberikan percuma.

Pengguna boleh menggunakan komputer sambil melihat pemandangan lapangan terbang. Ia jelas dapat dilikat pada sebelah siang.

Majalah diletakkan di atas meja yang sebaris dengan meja komputer.

Pelbagai hidangan ringan disediakan antaranya salad, roti sandwic, kek, kuih, roti canai dan mee goreng.

Salad.

Gambar kanan : Biskut, kacang dan bijirin.

Gambar  kanan : Saya memilih kopi panas, jus oren, roti sandwic berinti keju, semangkuk buah dan kuih tradisional cucur badak.

Kaunter minuman diletakkan bersebelahan dengan kaunter makanan. Penggemar kopi tentunya gembira dengan adanya mesin ini kerana boleh memilih pelbagai jenis kopi.

Gambar kiri : Surau.

Gambar kanan : Berhadapan dengan surau ialah tandas lelaki dan wanita.

Apa yang dapat diulaskan sepanjang saya berada di dalam Malindo Executive Lounge selama 1 jam 30 minit ialah memuaskan. Pertama sekali saya begitu menitik beratkan tandas kerana saya tidak gemar untuk masuk ke tandas awam di Malaysia yang lantainya basah, kotor dan berbau. Tandas di sini kering dan bersih. Kedua, saya gembira kerana terdapat surau untuk digunakan kepada penumpang beragama Islam. Ketiga, kepantasan talian internet.

Kekurangannya pula ialah tidak ada bilik mandi. Kebiasaannya ruang rehat syarikat penerbangan premium ada menyediakan bilik mandi untuk kesegaran penumpang. Kedua, walaupun pelbagai pilihan makanan dihidangkan tetapi kesedapan dan kualitinya tidak mencapai tahap yang memuaskan seperti mana hidangan makanan dari ruang rehat yang pernah dan biasa saya masuk contohnya syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Qantas dan American Airlines.

Pujian harus juga diberikan kerana dengan usia Malindo Air yang setahun jagung, syarikat penerbangan ini tetap mempunyai ruang rehat sendiri semata-mata untuk memberikan keselesaan kepada penumpang walaupun tahapnya belum dapat menyamai apatah lagi setanding dengan ruang rehat syarikat penerbangan antarabangsa yang lain.

Operasi penerbangan Malindo Air akan berpindah sepenuhnya dari KLIA 2 ke KLIA bermula dari 15 Mac 2016. Kepada yang berminat untuk masuk ke Malido Executive Lounge (selepas 15 Mac), sila dapatkan maklumat terkini melalui laman sesawangnya iaitu http://www.malindoair.com/ .

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment