Thursday, 18 August 2011

Kembara Di Jalanan Hari Keempat (Road Trip Day 4)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

HARI KEEMPAT
12 SEPTEMBER 2010 ( CEDUNA - ADELAIDE 797 kilometer)

- Sesudah waktu subuh,kami bergerak memulakan perjalanan hari keempat dengan suhu 11 darjah selsius. Selepas meninggalkan Ceduna, kami memasuki beberapa buah perkampungan kecil untuk membeli kopi panas.Bermula dari Wirulla,


Poochera,

Minnipa,

ketiga-tiga pekan kecil ini masih tidak memulakan perniagaan walaupun waktu sudah melebihi 8.00 pagi. Tiba di pekan yang ke empat iaitu Wudinna, barulah kami menjumpai stesen minyak dan kafe yang sudah memulakan perniagaan. 



- Niat di hati ingin membeli kopi jenis Capucino, tetapi malangnya kafe tersebut hanya menawarkan kopi jenis biasa sahaja. Alasan yang diberi oleh pembantu kedai ialah, lori dari bandar besar masih belum tiba untuk menghantar stok. Beginilah keadaan yang boleh digambarkan betapa pekan-pekan kecil ini begitu jauh nun di pendalaman malah mereka memulakan perniagaan agak lewat tidak seperti di bandar besar.

- Satu lagi tempat menarik yang kami lawati ialah di Kimba, 97 kilometer dari Wudinna. Kimba terletak pertengahan jalan untuk merentasi satu Australia. Populasi penduduk yang kurang dari 1000 orang ini popular dengan penanaman gandum.


- Apabila tiba di Iron Knob, kami merasa agak gerun melihat 'pekan mati'ini, ditambah pula dengan cuaca yang agak muram dan mendung tidak sama seperti hari-hari sebelumnya. Iron Knob yang jaraknya 90km dari timur Kimba pada satu masa dahulu (lebih satu ratus tahun yang lalu) sangat terkenal sebagai tempat perlombongan bijih besi. Di sekitar kawasan perlombongan itu, terdapat pekan kecil yang didiami oleh para pekerja dan ahli keluarga mereka.


Pada tahun 1998, penggalian bijih besi di Iron Knob telah berakhir, maka majoriti bekas pekerja perlombongan telah berpindah dari situ. Seperti apa yang saya ceritakan sebentar tadi, ketika kami di sana,banyak rumah tidak berpenghuni, kedai, motel dan stesen minyak sudah lama terbiar dan rosak teruk. Keadaannya sama seperti tempat peninggalan perang atau baru lepas menerima bencana alam. Hanya beberapa rumah sahaja yang dapat dilihat masih berpenghuni.


- Tidak mahu lebih lama di Iron Knob, kami meneruskan pemanduan menuju ke Port Augusta iaitu bandar ke lima paling ramai penduduk di Australia Selatan. Port Augusta, 68 kilometer dari utara Iron Knob dan 300 kilometer dari Adelaide terkenal dengan pelabuhan dan bandar persimpangan keretapi serta pembekal utama jana kuasa eletrik bagi Australia Selatan.


- Kali terakhir melihat restoran makanan segera seperti McDonald's dan KFC ialah di Kalgoorlie empat hari yang lalu. Hari ini barulah kami dapat melihat semula pelbagai rangkaian restoran makanan segera dan rangkaian pasaraya terkenal Australia.

-Baru sahaja menyambung perjalanan selepas makan tengah hari,mata pula mula mengantuk. Kami berhenti di Port Germein, lebih kurang 60 kilometer dari Port Augusta buat seketika untuk merehatkan mata.
- Port Germein juga seperti 'pekan mati' kerana penduduk yang agak kurang, malah balai polis juga ditutup.Terdapat nota di luar pintu mengatakan balai akan dibuka semula pada hari Rabu jam 3.00 petang, dan sekiranya berlaku kecemasan, mereka diminta untuk menelefon talian kecemasan 000.


- Perjalanan untuk menuju ke Adelaide diteruskan selepas 30 minit berehat di Port Germein. Jalanraya yang digunakan agak sibuk dengan kenderaan kerana kami melalui banyak pekan dan perkampungan kecil.
Semasa di dalam kereta, suami ada memberitahu,bahawa perjalanan ini nanti akan menempuh pekan kecil yang bernama Snowtown, terletak 145 kilometer utara dari Adelaide yang satu masa dahulu terkenal dengan kes jenayah. Kes pembunuhan bersiri menjadi topik hangat di Australia Selatan antara Ogos 1992 dan Mei 1999. Akhirnya pada tahun 1999, lapan mayat ditemui di dalam tong asid dan disorok di dalam sebuah bank yang sudah tidak beroperasi di dalam pekan Snowtown ini.

- Tertarik dengan cerita tersebut, saya meminta suami untuk masuk ke dalam pekan Snowtown untuk mencari dan melihat dengan lebih dekat lagi bank yang 'bersejarah' itu. Suami bersetuju dan berpatah balik ke pekan Snowtown walaupun pada ketika itu kami sudah melepasi beberapa kilometer darinya.

- Hampir 20 minit kami mencari bank tersebut, tetapi tidak nampak tanda-tanda sebuah bank terbiar kerana tidak ada sebarang papan tanda. Mahu bertanya dengan penduduk di situ, tetapi semua kedai tutup kecuali sebuah bar yang dipenuhi beberapa orang yang sedang minum bir, lalu kami membatalkan hasrat untuk bertanya. Ketika kami sudah bergerak keluar dari pekan Snowtown, tiba-tiba saya terfikir untuk mencari sedikit maklumat di dalam internet mengenai kes jenayah ini. Mujurlah tidak ada masalah dengan talian telekomunikasi di telefon bimbit pada ketika itu. Saya mendapat sedikit maklumat berserta gambar bank yang sudah tidak beroperasi, lalu kami berpatah balik menuju ke bank tersebut untuk menangkap gambar.


- Tidak ramai orang seperti kami yang sanggup untuk mencari dan bergambar di depan bank yang telah menyimpan lapan mayat selama bertahun-tahun itu,dan barangkali sudah berhantu. Pada pendapat saya, kes jenayah ini telah ditulis sebagai sejarah di dalam negara dan untuk belum pasti bila lagi saya dapat datang ke Snowtown lagi jika tanpa sebab. Oleh itu saya gunakan kesempatan yang ada.

- Pemandangan di sepanjang jalan menuju ke Adelaide sangat cantik apabila kami kerapkali dapat melihat ladang bunga Canola (yang dibuat minyak masak) yang menguning seperti jelapang padi.
Akhirnya pada lewat petang kami selamat sampai di Adelaide, iaitu ibu negeri bagi Australia Selatan.


- Setelah empat hari mengembara di jalanan, di Adelaide,barulah kami dapat menikmati makan malam yang sempurna di restoran A Taste Of Spice (halal) yang dimiliki oleh dua orang rakyat Malaysia sudah lama tinggal di sini.

Akan bersambung....

1 comment:

  1. Dah macam detective plak hari ni. Cari kopi tak jumpa sampai
    kena investigate tanya ramai kedai/orang reasonnya.

    Tak cukup tu sempat pergi Snowtown yang famous with
    Bodies in the Barrel Murder. Soon Ada movie about murder
    Ni to be released in cinema tau.

    Iron Knob memang menyeramkan. Pelik jugak rasanya bila
    drive masuk town kecik tu. Macam town cowboy yang ditinggalkan
    puluhan tahun. Yang mana masih tinggal free dirumah kosong
    plak tengok orang macam 10tahun tak pernah nampak manusia.
    Semua macam zombie je.

    ReplyDelete