Wednesday, 17 August 2011

Kembara Di Jalanan Hari Ketiga (Road Trip Day3)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

HARI KETIGA
11 SEPTEMBER 2010 ( MUNDRABILLA - CEDUNA 563 kilometer)

- Setelah mendapatkan rehat dan tidur yang cukup, pada jam 5.30 pagi dengan suhu 8 darjah selsius, kami sudah bersedia untuk memulakan perjalanan pada hari ketiga. Selepas memulangkan kunci bilik di kaunter, saya menandatangani buku pelawat. Di dalam buku tersebut saya ada membaca beberapa komen dari pelancong yang mengatakan mereka pernah nampak cahaya seperti UFO di langit. Kami kemudiannya bergambar di sekitar kawasan motel.

- Dalam kedudukan kami yang berada di sebuah kawasan di tengah-tengah Australia yang kosong itu, saya terpaku apabila dapat melihat langit di sebelah timur mulai terang manakala di sebelah barat masih gelap.Ia adalah dua tona warna dalam proses matahari ingin memancarkan sinarannya pada hari itu.


- Tepat jam 6.10 pagi, perjalanan kami diteruskan sehinggalah kami berhenti seketika di Eucla yang jauhnya 60 kilometer dari Mundrabilla. Datang perasaan teruja apabila kami sudah mengetahui bahawa untuk sampai ke sempadan selatan Australia Selatan, hanya akan mengambil lebih kurang 12 kilometer sahaja dari Eucla.

- Masuk hari ke tiga perjalanan,pada jam 8.00pagi, akhirnya kami tiba di sempadan yang memisahkan Australia Barat (Western Australia/WA) dan Australia Selatan (South Australia/SA). Berada di sempadan negeri ini mengingatkan saya akan sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah. Walaupun kami hanya menempuh dua buah negeri di Australia, iaitu WA dan SA, tetapi pusat kuarantin yang besar dan kawalan yang sangat ketat sama sahaja seperti sempadan di kedua buah negara yang berbeza.

- Keluar sahaja kereta, kami terpaksa menghidu bau yang agak kurang menyenangkan. Ini kerana banyak trak panjang (road train) yang membawa ribuan ekor kambing sedang berhenti untuk pemeriksaan sebelum meneruskan perjalanan masuk ke Australia Barat.


- Kami juga turut mendapat maklumat dan petunjuk dari seorang petugas di situ dan beliau menggalakkan kami untuk pergi ke belukar kecil di seberang jalan untuk melihat rangka tulang dingo yang berusia ratusan tahun yang berada di dalam sebuah lubang. Dipercayai dingo tersebut telah terjatuh ke dalam lubang dan tidak dapat sebarang bantuan sehinggalah mati di dalam lubang itu. Untuk maklumat anda, dingo ialah anjing liar yang hanya terdapat di Australia.



- Satu jam berada di sempadan untuk bergambar dan melihat rangka dingo,maka pada jam 9.00 pagi perjalanan diteruskan sehingga lah kami berhenti di Great Australia Bight.
Great Australia Bight sangat popular dengan keindahan teluk yang terletak paling selatan di dalam peta Australia.

- Pada jam 11.40 pagi, kami berhenti di Nullabor Roadhouse untuk berehat dan mengalas perut sebelum meneruskan perjalanan. Ia terletak di 1625 kilometer dari Perth, Australia Barat dan 1069 kilometer dari Adelaide, Australia Selatan.
Walaupun hanya sekejap, saya cukup senang berada di sini kerana dapat melihat pemandangan yang indah di Nullabor Plain ini.









Basikal tua ini merupakan basikal pertama yang dikayuh untuk merentas Nullabor Plain pada tahun 1962.









Saya rasa bangga kerana dapat bergambar di hadapan King Of The Outback Roads atau road train (trak bersaiz  50 meter panjang atau lebih dan berat boleh mencecah 200 tan) yang terkenal di Australia apatah lagi ia banyak digunakan di daerah pedalaman. Road train merupakan salah satu tunjang kepada Australia kerana pengangkutan ini memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Masyarakat di pendalaman juga bergantung kepada perkhidmatan tetap road train untuk menerima barangan keperluan harian, bahan ternakan, bahan api dan bijih mineral. Bak kata pepatah dalam bahasa Inggeris yang biasa didengar di Australia, "Without Road Train Australia Stops".

- Nullabor Plain yang saya maksudkan ialah daerah yang kosong tanpa pokok yang terletak di selatan Australia,bersebelahan Great Australia Bight di sebelah selatan dan Great Victoria Desert di sebelah utara.


- Panjang Nullabor Plain di antara Australia Barat dan Australia Selatan ialah 1,100 kilometer dan di sini juga terdapat ketulan batu kapur yang terbesar di dunia.


- Apabila sudah melepasi sempadan, bererti kami sudah masuk ke negeri Australia Selatan. Perbezaan dari segi jalanraya sudah nampak ketaranya. Perjalanan dari sempadan ke Nullabor Roadhouse agak mencabar kerana memerlukan kosentrasi pemanduan. Sepanjang perjalanan tidak ada kawasan rehat ataupun tandas awam, tidak seperti di dalam Australia Barat yang mempunyai kemudahan sedemikian.

- Kami tiba di Ceduna Quarantine Inspection Station, iaitu Pusat Kuarantin dan Penyeliaan Ceduna, Australia Selatan (SA) pada jam 3.40petang.


- Penyelia yang bertugas memeriksa kereta dan bertanya jika kami ada membawa makanan terlarang contohnya buah-buahan. Segalanya berjalan lancar kerana beliau juga tidaklah begitu cerewet.


- 15 minit kemudian, kami tiba di pekan Ceduna. Setelah lebih 48 jam iaitu dua hari, akhirnya pada hari ini kami 'kembali' ke dunia sebenar apabila dapat melihat pekan kecil yang berpenduduk, pusat khidmat pelancongan, restoran, pasaraya dan sebagainya. Walau baagaimanapun, pekan ini tetap di anggap 'kampung' kerana tidak terdapat restoran makanan segera yang biasa ada di pekan atau bandar besar seperti contoh McDonald's dan KFC.
Antara tempat tarikan bagi pelancong yang datang ke Ceduna ialah di Ceduna Foreshore, di mana di sini mempunyai jeti dan dapat melihat keindahan sekeliling. Tidak ada kedai makanan halal di sini, maka kami menikmati makanan laut sahaja pada malam itu.


- Jarak dan waktu pemanduan pada hari ini agak pendek berbanding pada hari pertama dan kedua. Oleh itu, kami pun dapatlah berehat lebih lama sedikit dan boleh meneruskan perjalanan pada keesokan harinya dalam keadaan segar.



Akan bersambung....

1 comment:

  1. Goodbye WA Hello SA.
    Shortest day on the road.
    One of the educational encounter with a fossilised Dingo.

    Tak boleh lupa Mundrabilla. It's lebih Dari back to basics.
    Back home pun tak sekunoh tempat tu but it's good for
    All appreciate the silence & flashback to the 60/70s era.

    "Bukit Kay Hitam" pun another good educational encounter
    tak ramai yang pandang food/bio security/safety as a great
    importance but crossing the border is an eye opener as
    Authority betul betul jaga integrity to prevent disease & pest.

    ReplyDelete