Tuesday, 23 August 2011

Kembara Di Jalanan Hari Ketujuh (Road Trip Day7)

HARI KETUJUH
14 SEPTEMBER 2010 ( ADELAIDE - MELBOURNE 725 kilometer)

- Lebih kurang 8.00pagi, perjalanan hari ketujuh pun bermula.

- Meninggalkan Adelaide untuk menuju ke Melbourne, kami bakal menempuh banyak pekan dan perkampungan. Melalui terowong ini (Heysen Tunnels) mengingatkan saya akan terowong di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Karak di Malaysia.



Antara yang pertama kami singgah pada pagi itu ialah di Hanhdof yang mengambil masa 30 minit perjalanan dari Adelaide.


Hanhdof ialah sebuah pekan kecil yang sejarahnya telah diduduki oleh rakyat Jerman yang telah berpindah ke Australia. Oleh kerana itulah pekan ini sangat unik kerana ianya berunsurkan negara Jerman baik dari segi seni bina rumah, bangunan malah terdapat beberapa kafe dan restoran yang menyajikan makanan dari negara tersebut. 


- Pendek kata, apabila berada di Hanhdof saya merasa seperti menjejakkan kaki di negara Jerman.

- Semasa hendak membeli cenderahati, barulah saya mendapat tahu bahawa sebuah ladang terkenal iaitu Beerenberg hanya terletak bersebelahan dari Handorf. Walaupun tidak sempat melawat ladang Beerenberg, namum saya sempat membeli jem strawberi kegemaran. Jem jenama Beerenberg tidak asing bagi saya kerana jem buah-buahan dan madunya boleh didapati di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).


- Ketika bersiar-siar di sini, kami disapa oleh pemilik sebuah restoran. Beliau mempelawa kami untuk masuk melihat dan meninjau keadaan dalam restoran. Di kesempatan itu, kami mengambil peluang mengelilingi restoran dan bergambar di sana.


- Lebih kurang 1 jam dan 20 minit kami menghabiskan masa di Hanhdof sememangnya masih tidak puas. Faktor cuaca yang sekejap terik dan kadangkala mendung membuatkan saya tidak berpuas hati dengan kualiti gambar yang diambil. InsyaAllah saya akan kembali lagi ke Hanhdof di lain waktu.

- Pada jam 11.05pagi,kami berhenti seketika di Tailem Bend, 100kilometer selatan timur dari Adelaide. Pekan kecil ini terletak tidak jauh dari Sungai Murray (Murray River). Tailem Bend mempunyai dua persimpangan bagi landasan keretapi dan lebuhraya yang menghubungkan Adelaide dan Melbourne. Di pusat khidmat pelancongan Tailem Bend, saya ada membeli beberapa tiket keretapi zaman dahulu untuk dibuat kenangan.



- Perjalanan diteruskan dan berhenti berehat buat kali ketiga di Tintinara, 200kilometer selatan timur dari Adelaide. Industri perladangan dan penternakan adalah pengeluaran utama bagi Tintinara mahupun Tailem Bend.


- Seterusnya,kami singgah di Bordertown iaitu pekan kecil yang sudah hampir dengan sempadan negeri Victoria. Bordertown juga terkenal kerana di sini ialah tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Australia yang ke 23, iaitu Robert James Lee Hawke atau popular dengan gelaran Bob Hawke.




- Kami melepasi sempadan negeri Austalia Selatan - Victoria pada jam 4.40 petang (waktu Victoria, dua jam melebihi waktu Malaysia).

- Matahari pada hari ini seperti bermain dengan kami,cerah dan mendung bagaikan berselang seli. Oleh kerana hari sudah mula melewati petang, ada beberapa gambar yang sempat saya ambil semasa dalam perjalanan dan sebelum matahari terbenam antaranya ialah  ladang bunga Canola yang begitu menguning berlatarbelakang keindahan pelangi  dan silo (tempat penyimpanan gandum).



- Setelah tujuh hari perjalanan yang bermula dari Perth, Australia Barat, syukur Alhamdulilah akhirnya kami selamat tiba di Melbourne pada lewat malam.




No comments:

Post a Comment