Assalamualaikum w.ht dan Salam Sejahtera
HARI KEDUA
10 SEPTEMBER 2010 ( KALGOORLIE - MUNDRABILLA 838 kilometer )
- Hari ini ialah Hari Raya Aidilfitri. Walaupun jauh beribu batu, tetapi ingatan saya tetap pada keluarga di Malaysia. Kami daftar keluar hotel pada jam 8.00 pagi dan suhu di luar ialah 10 darjah selsius. Sebaik memulakan perjalanan, saya bergegas menghantar beberapa khidmat pesanan ringkas kepada ahli keluarga. Saya perlu berbuat demikian secepat mungkin kerana sebentar sahaja lagi talian telekomunikasi amat terhad malah ada waktunya talian langsung tidak ada.
- Hentian rehat pertama yang kami singgah pada hari ini ialah di Norseman yang jaraknya
200 kilometer selatan dari Kalgoorlie.
Di sini kami memperolehi maklumat dari beberapa buah papan tanda yang dipacakkan di tepi jalanraya yang menceritakan mengenai sejarah kemasukan unta ke dalam Australia pada pertengahan tahun 1800. Replika unta yang diperbuat daripada zink juga tersergam di sebuah bulatan di pekan Norseman.
- Selepas ke pusat khidmat pelancongan untuk membeli cenderahati, kami singgah di stesen minyak berdekatan untuk mengisi minyak dan angin tayar. Norseman ialah pekan besar terakhir di Australia Barat dan juga titik permulaan kepada Eyre Highway/1 sebelum sampai ke sempadan selatan Australia Selatan dalam jarak 720 kilometer. Terdapat juga papan tanda di bahu jalan memberi peringatan kepada para pemandu supaya mendapatkan bekalan air secukupnya sebelum meneruskan perjalanan kerana selepas meninggalkan Norseman, bekalan air amat terhad.
- Meninggalkan Norseman pada jam 11.00 pagi dengan suhu 14 darjah selsius, atau lebih tepat lagi kami sudah memulakan perjalanan untuk merentas Nullabor Plain.
- Satu perkara yang menarik perhatian saya di sepanjang perjalanan ini ialah apabila melihat para pemandu lain yang datang dari arah bertentangan. Kami mahupun mereka akan melambaikan tangan ketika berselisih. Ada dua isyarat tangan berbeza,pertama jika pemandu melambaikan tangan bermakna mereka masih segar dan masih baru dlm perjalanan. Kedua, jika pemandu hanya mengangkat tangan tanpa melambaikannya bermaksud mereka sudah jauh dalam perjalanan dan sudah agak keletihan.
- Saya dengan rajinnya menangkap gambar kesemua kenderaan yang berselisih dengan kami dan di sini saya sertakan satu gambar di mana pemandu ini telah memberi isyarat tangan kepada kami.
- Selepas 191 kilometer perjalanan meninggalkan Norseman, kami berhenti seketika Balladonia pada jam 11.56 pagi. Balladonia sebenarnya ialah roadhouse atau rumah rehat yang menawarkan kemudahan serta keperluan asas kepada pengguna lebuhraya seperti contoh tempat penginapan, bar,tempat memakir karavan, restoran, stesen minyak dan tandas awam. Walaupun populasi penduduk hanya seramai 20 orang,tetapi di roadhouse ini terdapat muzium yang diberi nama
Sky Lab.
Sebab muzium Sky Lab dibina di sini ialah kerana, pada tahun 1979, dunia di gemparkan dengan berita bahawa serpihan makmal kapal angkasa Amerika Syarikat telah jatuh di kawasan Balladonia. Saya dan suami turut mengambil peluang menyentuh dan mengambil gambar bersama dengan serpihan tersebut.
Di dalam muzium ini juga terdapat maklumat mengenai sejarah kemasukan unta dan kedatangan umat Islam ke dalam Australia, sama seperti maklumat yang terdapat di pekan Norseman.
- Menyambung semula perjalanan yang kiri kanan saya hanya bertemankan hutan, pokok dan padang pasir, tiba-tiba saya dikejutkan dengan jalanraya yang dicat menyerupai landasan lapangan terbang. Menurut kata suami, lebuhraya ini (Eyre Highway) memang mempunyai beberapa landasan kapal terbang. Tujuannya ialah, sekiranya terjadi sebarang kecemasan atau kemalangan,ia memudahkan pasukan keselamatan, Royal Flying Doctor Services (RFDS) untuk mendarat. Seperti yang dimaklumkan, merentasi Nullabor Plain sejauh ini amat menguji ketahanan mental dan fizikal kerana tidak ada sebarang penempatan, oleh kerana itulah tidak ada cara lain untuk menyelamatkan mangsa dengan cepat melainkan dengan menggunakan laluan udara.
- Tiba pada satu tempat di tengah-tengah Nullabor Plain yang menarik perhatian saya mahupun kepada sesiapa sahaja yang melaluinya. Ya,saya sekarang berada di 90 Miles Australia's Longest Straight Road atau dalam bahasa Melayu, Jalanraya Terpanjang Lurus di Australia 90 Batu bersamaan 146.6 kilometer! Menurut maklumat dari wikipedia.org, jalanraya ini juga adalah salah satu yg terpanjang lurus di dunia! Saya amat berbangga dapat berada di sini kerana bukan semua oang mampu berbuat sebegini rupa, malah warga Australia sendiri majoriti tidak berminat dan tidak pernah melalui jalan ini.
Dalam waktu yang sama, saya dengan gembira telah mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri kelahiran saya, Perak tanda pencapaian peribadi saya. Sukar untuk melihat kenderaan lalu lalang, maka saya dan suami mengambil gambar pelbagai gaya seperti berdiri, melompat dan duduk di atas jalanraya yang terpanjang lurus di Australia ini.
- Semasa melalui Caiguna pada jam 3.30 petang,papan tanda memaklumkan bahawa waktu tempatan perlu dipercepatkan.
- Perjalanan yang agak panjang pada hari ini, bermula dari Kalgoorlie, seterusnya Kambalda-Norseman-Balladonia-Caiguna-Cocklebiddy-Madura dan sebaik matahari melabuhkan tirainya pada 1 Syawal, kami pun memberhentikan perjalanan dan tiba di Mundrabilla pada jam 6.00petang.
- Bilik motel yang kami menginap di Mundrabilla sememangnya memeranjatkan dan membuka mata kami. Apabila melihat keadaan sekeliling seperti bilik air, cerek radio, alat pemanas (heater), dan ditambah pula dengan ketiadaan talian telekomunikasi dari telefon bimbit dan internet, kami seolah-olah berada pada era tahun 60 atau 70an. Talian telefon hanya terdapat di pejabat kaunter daftar masuk motel serta pondok telefon di luar motel. Beginilah yang di namakan cabaran dalam mengembara, terutamanya apabila melakukan pengembaraan jalanraya (road trip). Kita tidak boleh merungut, sebaliknya kita perlu mengikut rentak kehidupan penduduk tempatan. Populasi penduduk yang tinggal di Mundrabilla ialah kurang dari 20 orang.
- Hari ini ialah hari yang panjang bagi kami berdua.Oleh kerana tidak ada kemudahan internet dan talian telefon bimbit, maka kami akhirnya tertidur ketika sedang menonton televisyen.
Akan bersambung....
salam sayang......
ReplyDeleteapa khabar? lamanya tak sembang ngan awak kan. Since awak off fb.
Rindunya kat awak. Camna ramadhan kat sana. Bila agaknya kita dpt jumpa kan.
Walaikumsalam Kak Nisa.Khabar baik.Puasa kat sini mcm biasa je.Akak bleh email sy or buzz sy kat YM.kita leh sembang2 k.miss u too kak :)
ReplyDelete2nd day. One of the longest & most interesting drive. An eye opener to be exact.
ReplyDelete