Sunday 21 February 2016

Penerbangan Ipoh - Singapura Bersama Malindo Air

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Ramai yang masih belum mengetahui bahawa terdapat dua buah syarikat penerbangan yang membawa penumpang dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah ke Lapangan Terbang Changi Singapura. Saya pernah menaiki pesawat Firefly pada tahun 2009 menuju ke Singapura dan sekali lagi pada tahun lalu saya terbang bersama Malindo Air dari Ipoh juga ke destinasi yang sama. Tarikh penerbangan saya ialah pada 31 Disember 2015 dan nombor pesawat OD 821.

Sewaktu kecil dan remaja, saya begitu gembira setiap kali ingin ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah untuk menghantar atau mengambil ahli keluarga saya. Lebih teruja apabila dapat naik ke anjung tinjau bagi melihat kapal terbang yang berlepas dan mendarat. Saya suka melihat pakaian seragam pramugari dan kapal terbang walaupun pada waktu itu saya belum berminat untuk bekerja seperti mereka.

Lapangan terbang ini sudah dibaik pulih dan berwajah baharu sejak beberapa tahun yang lalu.

Pesawat Firefly ini juga akan berlepas ke Singapura sedikit awal dari Malindo Air yang baharu sahaja mendarat pada ketika gambar ini dirakamkan.


Bagi penumpang kelas perniagaan, kami diberikan peluang untuk masuk ke pesawat lebih awal dari penumpang kelas ekonomi justeru kakitangan Malindo Air memberikan tempat duduk khas di sini.


Di hadapan kapal terbang Malindo Air B737-800 ialah Firefly ATR 72-500 yang akan berlepas ke Johor Bahru.


Minuman jus buah-buahan dihidangkan sebaik penumpang masuk ke dalam kabin.


Di penghujung landasan.

Dua buah klip video ini saya rakamkan semasa pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.







Bandar Ipoh yang sudah makin jauh ditinggalkan. Apabila melihat pemandangan sebegini saya tidak pernah menyangka yang saya bukan lagi warga Ipoh sebaliknya hanya pelancong. Pada tahun 2009 semasa saya menaiki pesawat Firefly dari Ipoh ke Singapura, ia adalah penerbangan yang membawa saya berhijrah ke luar negara.


Ruang kaki yang besar dan sangat selesa.

Hidangan ringan disediakan bagi penerbangan singkat (lebih kurang 1jam) ini.


Bagi kelas perniagaan Malindo Air, kabin ini hanya memuatkan 12 orang penumpang sahaja.


Hampir tiba di Singapura.


Klip video semasa mendarat di Lapangan Terbang Changi Singapura.






Di antara lapangan terbang yang pernah saya lawati di serata dunia, Lapangan Terbang Changi Singapura merupakan yang paling menjadi kegemaran saya. Saya tidak akan mengeluh sekiranya saya diperlukan untuk transit di sini selama 24 jam sekalipun. Kerana itu juga setiap tahun Lapangan Terbang Changi Singapura pasti merangkul anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia. 

Saya turut menggunakan Malindo Air dari Singapura ke Kuala Lumpur. Bagi penumpang kelas ekonomi, mereka diberi sepaket biskut dan air minuman percuma semasa penerbangan itu.

Kepada yang berminat untuk ke Singapura dari Ipoh, anda boleh layari laman sesawang Firefly dan Malindo Air.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

No comments:

Post a Comment