Wednesday, 17 February 2016

Superfrends - Sekadar Amal Kecil

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Semasa di bangku persekolahan, saya dan rakan-rakan pernah berniat untuk melawat ke rumah orang-orang tua atau anak yatim di Ipoh tetapi entah mengapa niat kami tergendala begitu sahaja. Walau bagaimanapun niat itu masih belum pudar sehingga kini. Saya sering mengikuti perkembangan aktiviti Superfrends iaitu sebuah pertubuhan kebajikan sukarela melalui laman sesawang salah seorang pengasasnya, Kusyi Hirdan sejak dari tahun 2012 semasa saya tinggal Australia dan Amerika Syarikat. Hati seperti meronta-ronta untuk turun padang mengikuti program yang dijalankan tetapi apakan daya saya tinggal jauh dari Malaysia. Pernah beberapa kali saya menyatakan kepada Kusyi Hirdan yang saya berhasrat untuk turut menghulurkan tenaga di dalam apa sahaja program yang dianjurkan andainya saya bercuti ke Malaysia.

Pada bulan Disember tahun lalu, apabila di saat akhir (kurang dari satu minggu) saya mendapat maklumat yang Superfrends akan mengadakan satu program amal di Ipoh, saya bersetuju untuk menyertainya. Mana mungkin saya berfikir dua kali sedangkan pada waktu itu saya memang berada di rumah ibu saya di Ipoh dan tiada sebarang urusan pada sebelah siangnya. Pada hari Sabtu bersamaan 19hb Disember 2015, saya bersama anak saudara telah menghadirkan diri dalam program amal tersebut.

Gambar kiri : Pada awal pagi saya dan para sukarelawan Superfrends yang lain telah berkumpul di hadapan Stesen Keretapi Ipoh dan mendengar taklimat daripada Kusyi Hirdan sebelum bertolak ke Kuala Kangsar.

Gambar kanan : Kami ke Kuala Kangsar dengan menaiki beberapa buah kereta persendirian dan juga teksi bagi tujuan menjemput anak-anak Asnaf untuk dibawa ke Ipoh.


Seramai 30 orang anak-anak Asnaf hadir bersama penjaga mereka.


Gambar kiri : Anak-anak Asnaf dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan tersebut diketuai oleh satu atau dua orang sukarelawan Superfrends. Saya pula bertangungjawab menjaga Syamil, Alim dan Faiz di sepanjang program berlangsung.

Gambar kanan : Menaiki keretapi dari Kuala Kangsar ke Ipoh. Dua gerabak telah dipenuhi oleh kami dan anak-anak Asnaf sahaja.



Video di atas ialah semasa ketibaan keretapi Ekspress Rakyat.


Gambar kiri : Tren Ekspress Rakyat yang membawa kami ke Ipoh.

Gambar kanan : Melihat pemadangan kampung di Malaysia yang sudah lama saya rindui.

Superfrends turut menjemput pemuzik jalanan (busker) bagi menceriakan suasana di dalam keretapi. Dia buah video di bawah saya rakamkan semasa di dalam perjalanan menuju ke Ipoh.








Ketika pertama kali melihat sekumpulan anak-anak Asnaf, hati saya sayu dan sebak. Saya tidak dapat lari dari memikirkan yang kehidupana mereka serba kekurangan jauh bezanya dengan kehidupan saya semasa kecil yang cukup serba serbi malah sejak dari kecil hingga remaja saya sudah kerap dibawa melancong dalam dan luar negara oleh kedua ibu bapa saya. Bagi anak-anak Asnaf ini pula, majoriti dari mereka belum pernah menaiki keretapi dan belum pernah menjejakkan kaki ke bandar Ipoh walaupun jarak pemanduan antara Ipoh dan Kuala Kangsar ialah lebih kurang 35 minit sahaja.

Gambar kiri : Bergambar bersama Syamil dan pasangan penjaga di dalam kumpulan saya.

Gambar kanan : Kilang Tasek Cement.

Dari stesen keretapi Ipoh, anak-anak Asnaf dibawa ke AEON Kinta City dengan menaiki bas. Manakala kami sukarelawan pergi dengan menaiki kereta masing-masing. 

Melalui peruntukkan yang dikhaskan, mereka diberi peluang membeli baju sekolah sendiri.


Majlis penyampaian saguhati berlangsung di AEON Kinta City.


Saguhati disampaikan kepada anak-anak Asnaf oleh Pengurus Besar AEON Kinta City.


Bergambar beramai-ramai dengan anak-anak Asnaf, sukarelawan Superfrends dan juga Pengurus Besar AEON.


Tiba di Hotel Seri Malaysia untuk makan tengah hari. Di belakang saya ialah bas yang membawa anak-anak Asnaf manakala kereta ini merupakan kereta rasmi Superfrends.


Jamuan diadakan di Kafe Cempaka Sari, Hotel Seri Malaysia.


Pelbagai pilihan bagi juadah makan tengah hari yang dihidangkan secara buffet.


Gambar kiri : Anak-anak Asnaf sekali lagi menerima sumbangan dari beberapa pihak dan individu. Ibu-ibu serta penjaga mereka turut menerima wang zakat.

Gambar kanan : Bergambar sekali lagi bersama Faiz, Alim dan Syamil sebelum mereka pulang ke Kuala Kangsar. 

Bergambar bersama para sahabat saya yang juga tulang belakang serta pengasas bersama Superfrends iaitu Kusyi Hirdan, Kham dan Zul. Ribuan terima kasih kepada kalian semua kerana memberi peluang untuk saya menyertai kerja amal ini.


Rombongan anak-anak Asnaf bersedia untuk pulang ke Kuala Kangsar.


Majlis berakhir di Hotel Seri Malaysia.

Saya rasa bersyukur kerana dengan izin dan rezeki yang diberikan oleh Allah, akhirnya saya dapat juga menyertai kerja amal ini malah saya dan suami turut memberikan sedikit sumbangan peribadi kepada Superfrends pada hari tersebut. Tugasan ini nampak mudah tetapi sebenarnya ia memerlukan kecergasan fizikal dan displin yang tinggi. Mungkin atas faktor minat dan niat yang ikhlas, saya langsung tidak rasa tertekan atau penat. Jika di lain tahun saya mempunyai perancangan untuk bercuti di Malaysia, InsyaAllah saya ingin sekali lagi bergandingan bersama sukarelawan Superfrends dalam menjayakan program mereka.

Superfrends bergiat aktif di banyak tempat di seluruh Malaysia dan bagi yang berminat untuk menyertainya anda boleh menghubungi Superfrends melalui laman Facebook mereka.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


2 comments:

  1. Thanks a million sherry. I love uuuuuu :)

    Kak Kusyi Hirdan & Superfrends

    ReplyDelete
    Replies
    1. You're welcome Kak Kusyi. Love you tooo :)

      Delete