Monday 22 April 2013

Kampong Glam, SINGAPURA

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Kampong Glam atau nama asalnya "Kampong Gelam" (Gelam ialah nama pokok) telah menjadi penempatan awal bagi umat Islam di Singapura yang terdiri dari pelbagai latar belakang, bangsa dan etnik seperti contoh Melayu dan Arab.
Terdapat beberapa lagi tempat tarikan pelancong di sekitar Kampong Glam iaitu seperti Masjid Sultan, Istana Kampong Glam dan Taman Warisan Melayu.
Semua tempat ini, yang bangunannya dibina ketika zaman pemerintahan British telah dibaik pulih oleh kerajaan Singapura dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB) selepas dikenalpasti menjadi potensi untuk menarik pelancong.

Kampong Glam

Malay Heritage Centre atau Taman Warisan Melayu adalah pusat kebudayaan yang mempamer dan mengetengahkan warisan, budaya dan sejarah Melayu Singapura

Rumah yang tersergam indah di dalam kawasan Taman Warisan Melayu ini pada asalnya ialah sebuah istana lama yang bernama Istana Kampong Glam. Ia dibina di atas tanah seluas 23 hektar  oleh Sultan Hussein Shah yang telah diberikan kepadanya oleh British East India Company.
Pada tahun 1999, setelah beberapa rundingan dibuat dengan kerajaan Singapura, akhirnya kesemua waris Sultan Hussein Shah yang tinggal di Istana Kampong Glam dengan berat hati terpaksa keluar dari aset atau khazanah terakhir yang menjadi lambang kesultanan Melayu di Singapura.



Gambar-gambar di atas adalah sumber dari Google. Istana Kampong Glam pada zaman dahulu kala. Gambar yang paling bawah pula dirakamkan pada tahun 2001 sebelum projek pemulihan dijalankan.

Di hadapan pintu masuk Istana Kampong Glam yang terletak di Sultan Gate

Inilah wajah Istana Kampong Glam pada hari ini
Satu lagi lokasi tarikan pelancong ialah rumah yang terletak bersebelahan dengan Istana Kampong Glam. Rumah ini digelar sebagai Gedung Kuning kerana mengikut warna asal dindingnya yang berwarna kuning. Gedung Kuning pada asalnya dimiliki oleh keluarga di raja. Pada tahun 1912, Haji Yusoff bin Haji Mohamed Noor telah membeli dan menetap di rumah ini sehingga  tahun 1999 sebelum rumah tersebut diserahkan kepada kerajaan Singapura. Selepas itu Gedung Kuning pun bertukar wajah dari sebuah kediaman biasa menjadi restoran yang menyajikan sajian tradisional melayu dan dijadikan lokasi bagi sesiapa yang berminat untuk melangsungkan majlis perkahwinan.

Kesemua gambar sumber dari Google

Gambar atas : Gedung Kuning pada tahun 1997

Gambar atas : Papan tanda tidak dibenarkan masuk telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah

Gambar bawah : Gambar pada tahun 2001 semasa kerja-kerja membaik pulih sedang dijalankan

Semasa saya berkunjung ke sini kira-kira lima tahun lalu, tempat ini diberi nama Tepak Sireh manakala kali ini telah bertukar nama kepada Mamanda. Ketika saya rakamkan gambar di atas, sebuah majlis perkahwinan sedang diadakan

Mamanda Restaurant
73 Sultan Gate
Singapore 198497
Tel: +65 6396 6646


Gambar atas : Masjid Sultan yang terletak di Muscat Street tidak jauh dengan Istana Kampong Glam dan Mamanda

Gambar bawah : Bussorah Street (di hadapan Masjid Sultan)
Bussorah Street tentunya menarik perhatian pelancong untuk mengambil gambar kerana senibina bangunan lama yang masih kekal dan dijaga dengan baik. Di sebelah kiri dan kanan jalan terdapat kedai-kedai menjual cenderamata dan restoran.
Dahulu kala Bussorah Street pada waktu malam sungguh sunyi sepi kerana kedai - kedai tutup awal. Justeru tiada orang yang lalu lalang di sini kecuali mereka yang datang untuk menunaikan solat di Masjid Sultan. Baru beberapa tahun lalu Bussorah Street sudah mula bertukar wajah. Kini terdapat restoran yang dibuka sehingga lewat malam malah persembahan kebudayaan turut diadakan demi untuk menarik perhatian pelancong luar mahupun penduduk tempatan.
Ketika berjalan di Bussorah Street, saya ternampak papan tanda larangan merokok

Muscat Street di mana terletaknya Masjid Sultan mempunyai sejarah tersendiri.

Muscat Street diberi nama pada tahun 1901 sempena nama ibu negara Oman dan dibuka semula secara rasmi pada tahun 2012 selepas projek pengubahsuaian jalan itu selesai. Di samping itu, dua buah pintu gerbang setinggi 8 meter telah dibina di penghujung Muscat Street.
Di salah satu pintu gerbang terdapat beberapa buah mural bermaksud tentang sejarah awal hubungan perdagangan antara Singapura dan Oman

Mural di atas jelas sekali memaparkan jejak pelayaran para pedagang yang berlayar dari Muscat ke Singapura

Selepas ini saya akan bercerita lanjut mengenai Masjid Sultan di Muscat Street.

2 comments:

  1. Terima kasih kerana berkongsi sejarah masyarakat Melayu dan masjid di Spura, sedikit sebanyak kita boleh belajar dari blog ni. Thanks for sharing.

    ~KC~

    ReplyDelete
  2. KC : Sama-sama.Rasa rugi kalau tak kongsikan sedikit sejarah ni kepada pembaca.Tambahan pulak bukan semua orang yang sudah menjejakkan kaki ke Singapura :)

    ReplyDelete