Assalamualaikum w.h.t dan Salam Mesra
Malam semalam,tiba-tiba datang '
mood' rajin untuk mengemas, menyusun semula alat-alat solek yang agak sedikit berterabur.
Jadi, 'kotak hitam' yang saya maksudkan ialah......
|
Inilah 'kotak hitam' yang saya beli di Malaysia tiga tahun lepas. |
Oleh kerana kesemua kakak saya adalah model peragaan pada ketika dahulu,ini membuatkan saya sudah mula bersolek,berdandan,bergaya di depan kamera dan mengenakan kasut tumit tinggi sejak dari kecil lagi.Apabila umur saya sudah menginjak remaja,saya pula berjinak-jinak di dalam dunia peragaan(
modelling) sehingga dewasa.Pembabitan saya bukanlah secara serius,hanya sekadar sambilan tetapi ianya cukup memberikan saya pengalaman berharga dan dapat bekerjasama dengan jurumekap profesional,berjumpa dengan artis-artis terkenal malah wajah,gaya dan penampilan saya disiarkan di dada akhbar dan majalah.
Ketika saya bekerja dengan MAS sehingga ke hari ini, apabila saya bergambar seperti biasa sahaja tanpa gaya model dan walaupun hanya dengan senyuman atau tanpa senyuman pun ada yang menggelarkan saya 'macam model'.Hakikatnya memang 'ya',walaupun mereka tidak tahu latar belakang saya sebelum ini :-)
*Kepada mereka yang baru dengan Terjemahan Hati,anda boleh ke entri pada bulan Januari 2010 yang menceritakan mengenai gambar+kamera=fotografi
http://sharery.blogspot.com/2010/01/gambarkamerafotografi.html*
Berbalik kepada tajuk 'kotak hitam',seawal umur saya 21 tahun,saya sudah mula berkecimpung di dalam dunia solekan dan mengandam.Projek pertama ialah menyolek kakak saya yang bertunang pada tahun 2002.Saya tidak pernah menawarkan diri atau menjaja nama saya, tetapi mereka(pelanggan) dapat melihat sendiri melalui cara saya bersolek dan melihat gambar pertunangan kakak.Sebenarnya saya kurang yakin untuk menerima pelanggan baru kerana takut hasil saya tidak berjaya,tetapi dengan dorongan keluarga dan rakan rakan,saya mula menyolek untuk pelanggan yang inginkan solekan makan malam,bertunang,bernikah mahupun persandingan dan bagi mereka yang bertudung ataupun tidak,saya jugalah yang membantu mengenakan tudung serta hiasan di kepala mereka.
Saya bukanlah juruandam atau jurumekap profesional kerana saya tidak pernah mengambil kursus dalam bidang berkaitan yang diiktiraf.Saya hanya mempelajari teknik solekan melalui majalah dan televisyen serta banyak melakukan demonstrasi sendiri.
Saya pernah menghadiri beberapa bengkel dan kelas solekan di Malaysia tetapi hanya sekadar ingin memenuhi masa terluang.Apa yang di ajar hanyalah asas yang saya memang sudah tahu sebelumnya.Saya juga boleh melakukan rawatan muka(
facial) tetapi saya hanya lakukan kepada ahli keluarga sahaja.
Pencapaian peribadi lagi membanggakan ialah apabila menyolek wajah sendiri ketika hari pernikahan dua tahun yang lalu. :-)
|
Menyolek wajah sendiri |
Di sini,saya kongsikan bersama anda apa yang terkandung di dalam 'kotak hitam' kesayangan saya.
|
Bedak asas jenis krim,cecair dan span |
Sebelum mengenakan solekan,saya akan memastikan wajah di alas dengan pelembap.Saya mempunyai tiga jenis pelembap iaitu Olay,Sari Ayu Martha Tilaar dan penyegar dari jenama Aigner.
Penutup cela (
concealer) di oles untuk menutup lingkaran gelap bawah mata atau bekas jerawat dan selepas itu baru di tata dengan bedak asas.Saya menggunakan bedak asas cecair jenama Clarins dan Sari Ayu yang saya beli di Jakarta untuk siang hari dan jika saya mahu solekan sedikit tebal terutamanya solekan pada sebelah malam,saya menggunakan bedak asas jenis krim.
Sudah lama saya tidak membeli span untuk di oles dengan bedak asas kerana masih banyak lagi dalam simpanan yang saya beli di Hong Kong dan Malaysia.
|
Pembayang Mata |
Pembayang mata jenis palet yang mengandungi 80jenis warna itu saya beli di Dubai dan sangat sesuai untuk solekan malam,majlis bertunang ataupun bersanding.
Manakala pembayang mata yang biasa saya gunakan pada siang hari ialah dari jenama Elizabeth Arden,Maybelline,Clarins,Rimmel dan lain lain.
|
Celak,bedak halus dan penggelap wajah |
Untuk maklumat anda,wanita Asia sangat sesuai menggunakan celak kening bewarna coklat gelap.Saya mempunyai celak kening bewarna coklat gelap,coklat muda,hitam, hitam pekat dan menggunakannya mengikut keadaan berbeza.Kadang kala saya mencampurkan kedua warna(pekat dan cerah) sekaligus.
Walaupun mempunyai penggaris mata
(eyeliner)jenis pensel(warna hitam,coklat,putih) dan cecair,tetapi jenis cecair tetap menjadi kegemaran saya.
Tujuan penggelap wajah(
shading) adalah untuk menjadikan wajah pipi bulat nampak tirus dan hidung nampak tinggi,mancung serta boleh juga di jadikan pewarna pipi.Untuk membuang sisa-sisa solekan mata,saya menggunakan bedak halus(
loose powder).
|
Bulu mata palsu dan maskara |
Untuk mengenakan bulu mata palsu dan nampak cantik,maskara,pelentik bulu mata dan gam adalah sangat perlu digunakan.Saya membeli bulu mata palsu di Malaysia dan juga di Taiwan.
|
Gincu,pengilat,penggaris dan pelembap bibir |
Yang bewarna putih sebelah kiri adalah pelembap bibir.Satu batang saya tinggalkan di rumah,manakala satu batang lagi wajib saya bawa ketika keluar rumah.Masih ada beberapa batang gincu bibir tidak ada di dalam gambar kerana tercicir di dalam bag tangan saya.
|
Berus solekan,kanta lekap dan aksesori asas rambut |
Terdapat pelbagai jenis berus solekan dan yang biasa saya gunakan adalah untuk pewarna pipi dan menyapu bedak halus.Yang lain jarang saya gunakan lebih-lebih lagi saya selesa menggunakan jari ketika menyolek bahagian mata.
Beberapa kanta lekap bewarna saya letakkan di dalam kotak hitam ini dan aksesori asas penting untuk mendandan rambut seperti getah hitam dan penyepit rambut juga terdapat di dalamnya.Sebenarnya aksesori tersebut termasuklah penjaring rambut(
Nylon Net)adalah peralatan penting yang saya perlukan untuk mendandan rambut semasa bekerja dengan MAS.Masih banyak lagi yang belum di pakai oleh kerana itulah saya membawa kesemuanya ke Australia.
|
Beg kecil,beg sederhana dan 'kotak hitam' |
Kesemua barangan solekan milik saya dibahagikan kepada tiga bahagian seperti gambar di atas.
-Beg jalur bersaiz kecil mengandungi bedak padat,beberapa batang gincu,penggaris dan pelembap bibir,pembayang mata,penggaris mata,celak kening,penyegar mulut,dan minyak wangi mini.Beg kecil ini saya masukkan di dalam beg tangan dan wajib di bawa setiap kali keluar rumah.Kegunaannya bukan sahaja untuk menata rias solekan yang telah pudar selepas makan atau minum,malah ianya di jadikan beg 'kecemasan'.Andai kata saya bergegas mahu keluar rumah dan tidak sempat bersolek,beg 'kecemasan' ini dapat membantu saya bersolek di dalam kereta.Sekurang-kurangnya wajah pucat dapat di alas sedikit dengan solekan nipis.
-Beg jalur bersaiz sederhana saya letakkan alat-alat solek yang biasa digunakan terutamanya untuk solekan sebelah siang.Beg ini juga sering saya bawa ketika melancong.
Barangan solekan selebihnya saya letakkan di dalam kotak hitam yang jarang dibuka kecuali untuk solekan malam atau solekan tebal.
Masih ada beberapa alat solek yang tertinggal di Malaysia,antaranya pembayang mata palet 10warna kegemaran saya dari jenama Elianto.
Ramai sahabat,rakan,dan kenalan samada di Malaysia mahupun Australia,sering bertanya kepada saya mengenai tips solekan yang sesuai.Jika saya hendak ceritakan di sini memang agak panjang lebar.Sekiranya anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut,anda boleh berhubung dengan saya melalui e-mel.
Mungkin ada yang mengandaikan saya seorang yang tidak boleh keluar rumah tanpa solekan.Saya tidak bersolek setiap hari malah ada waktunya saya juga keluar rumah tanpa sebarang solekan.Anda harus ingat,kulit wajah kita juga perlu berehat.Saya bersyukur kerana sekarang ini kulit wajah saya berehat lebih lama berbanding dari waktu saya bekerja dahulu. :-)
Terima kasih di ucapkan kepada yang sudi membaca mengenai 'kotak hitam' saya.Di harap,entri kali ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dari segi susunan alat solek supaya lebih teratur.
*Untuk bersolek cantik,jenama yang mahal dan terkenal bukanlah penyelesaian.Tidak kira murah atau mahal,yang penting sesuai dengan kulit wajah anda dan perlu seiring dengan keyakinan diri dan penampilan yang kemas*
Sekian :-)