Tuesday, 24 November 2015

Restoran Mint Indian Bistro Las Vegas (Halal)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Restoran Mint Bistro merupakan salah satu restoran halal kegemaran saya di Las Vegas. Pertama kali saya suami dibawa datang ke sini oleh keluarga angkat kami ialah pada tahun 2012.  Apa yang membuatkan kami setia dan sering menjadi pelanggan tetap setiap kali datang ke Las Vegas ialah kerana lokasi restoran yang strategik dan berdekatan dengan hotel, kualiti makanan yang konsisten serta perkhidmatan para pekerja yang begitu mesra dan sering mengambil perhatian terhadap para pelanggan. Semasa kunjungan kami ke Mint Bistro yang terbaharu pada beberapa bulan lalu, kami berasa sungguh terharu dan berbesar hati apabila salah seorang pekerja senior masih mengingati kami walaupun kami agak lama tidak berkunjung ke Las Vegas.

Mint Bistro turut menawarkan hidangan buffet setiap hari bermula dari pukul 11:00 pagi hingga 3:00 petang. Kami begitu gemar menikmati buffet berbanding datang untuk makan malam. Antara beberapa pilihan makanan buffet boleh anda lihat melalui gambar-gambar di bawah ini.


















Mint Indian Bistro

730 E Flamingo Rd
Las Vegas, Nevada
89119
USA


http://www.mintbistro.com/

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.

Monday, 16 November 2015

Ulangtahun QANTAS Yang Ke- 95


Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Hari ini, bersamaan dengan 16 November genap 95 tahun kelahiran syarikat penerbangan QANTAS. Saya merupakan pelanggan dan penumpang kerap lagi setia QANTAS sejak dari tahun 2010 bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang menghubuungkan Australia dengan Amerika Syarikat. Bukan satu atau dua tahun tetapi setiap tahun QANTAS dinobatkan sebagai Penerbangan Paling Selamat Di Dunia berdasarkan rekod bersih kerana setakat ini (era penerbangan jet) tidak mempunyai sejarah kemalangan atau insiden yang menyebabkan kematian (fatal crash). Saya tidak dapat mengelak dari rasa bangga dengan pencapaian terbaik ini apatah lagi suami saya pernah menjadi ahli keluarga Qantas.

Saya tidak pernah gagal mengambil gambar setiap kali menaiki penerbangan QANTAS tetapi adalah mustahil untuk saya kongsikan kesemuanya di sini. Antara beberapa yang saya sertakan di bawah sedikit istimewa berbanding yang lain.

Gambar dirakamkan pada bulan Februari 2010. Ini merupakan penerbangan pertama saya bersama QANTAS dengan menaiki pesawat B738 dari Adelaide ke Melbourne.

Pada bulan Mac 2010 saya menaiki pesawat B767 buat pertama kali dari Perth ke Melbourne. Sepanjang kerjaya suami saya bersama QANTAS, beliau telah mengendalikan beberapa jenis pesawat yang berbeza. Pesawat atau model terakhir yang beliau kendalikan sehingga menjawat jawatan Kapten ialah B767. 

Pertama kali menaiki pesawat QANTAS Link model Dash-8 dari Melbourne ke Launceston, Tasmania pada Mei 2011.

 Gambar di atas dirakamkan pada Mac 2012 di Lapangan Terbang Melbourne. Pesawat komersial terbesar di dunia, A380 ini membawa saya buat pertama kalinya ke Amerika Syarikat. 

QANTAS bermaksud Queensland And Northern Territory Aerial Service. Ini merupakan kapal pertama QANTAS. Gambar saya rakamkan di Lapangan Terbang Sydney Terminal Domestik QANTAS pada tahun 2013.

Pemandangan awal pagi/ sesudah subuh di Australia pada musim panas 2014. Setiap kali menaiki penerbangan domestik pesawat A330, pasti saya akan mendengar lagu penyayi antarabangsa kelahiran Malaysia iaitu Yuna berkumandang di dalam kabin.

Kapal terbang B738 edisi terhad kerana ia dicat seperti era QANTAS 1960an . Gambar dirakamkan di Lapangan Terbang Melbourne pada tahun 2014.

Gambar terkini tahun 2015 di mana saya rakamkan semasa penerbangan dari Amerika Syarikat ke Australia.

Gambar atas : Kamera dari luar pesawat.

Gambar bawah : Di satu sudut di dalam kabin terdapat bahagian snek dan minuman ringan khusus untuk para penumpang yang diberikan secara percuma. Penumpang boleh mendapatkannya pada bila-bila masa di sepanjang penerbangan jarak jauh ini.

Gambar atas : Kapal terbang QANTAS yang diperbuat dari permainan LEGO dipamerkan di Qantas Club Lounge, Lapangan Terbang Melbourne Terminal Domestik. Gambar dirakamkan pada tahun 2015.

Gambar bawah : 
Kapal terbang komersial terbesar dunia A380 milik Qantas yang pertama diterima dari Airbus ialah pada tahun 2008 dan telah diberi nama 'Nancy Bird Walton' (sama seperti gambar di atas). Beliau merupakan juruterbang wanita muda pertama Australia. Penerbangan pertama beliau adalah pada tahun 1933. Bersempena dengan nama yang telah diberikan, Nancy menjadi tetamu kehormat di majlis perasmian serta penerimaan pesawat tersebut.


Saya berdoa dan berharap agar QANTAS akan terus maju jaya dan sentiasa memegang rekod bersih sebagai Penerbangan Paling Selamat Di Dunia sampai bila-bila.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


Friday, 13 November 2015

Batu Berkepala Anjing Di Albany, Australia Barat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Albany terletak di bahagian selatan Australia Barat. Jarak antara Albany dengan ibu negeri iaitu Perth adalah lebih kurang 418 kilometer. Salah satu tempat tarikan pelancong yang terkenal di sini ialah "Dog Rock". Ia merupakan sebuah batu besar yang berbentuk seperti kepala seekor anjing. Penduduk tempatan telah mengecat batu ini dengan warna putih dan hitam seakan memberi kolar kepada anjing tersebut.
Ini bukanlah kunjungan kali pertama saya ke Albany. Oleh kerana cuaca pada kunjungan saya sebelum ini agak tidak memuaskan, maka untuk kunjungan terbaharu saya berkongsi sekali lagi gambar bersama para pembaca.
Dog Rock juga telah disenaraikan sebagai tempat menarik yang patut dikunjungi di dalam majalah pelancongan Lonely Planet.








Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.




Wednesday, 4 November 2015

Cawangan Krispy Kreme Pertama Di Australia Barat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Donat jenama Krispy Kreme bukanlah sesuatu yang baharu bagi saya. Pada tahun 2008 saya dan suami menjadi pelanggan kelima terawal semasa hari pembukaannya di pusat membeli belah Mid Valley Megamall di Malaysia dan kami telah menerima 2 helai baju-t percuma. Semasa pernah tinggal di Melbourne, kami juga telah membuat lawatan ke kilangnya.

Apa yang menarik tentang entri kali ini ialah pada minggu lalu saya berpeluang berkunjung ke cawangan Krispy Kreme pertama di Australia Barat yang terletak di Westfield Whitford City, Hillarys kira-kira 25 kilometer dari bandar Perth. Tidak mungkin saya akan melupakan tarikh pembukaan iaitu pada 26 November 2014 bersamaan dengan hari lahir saya. Lebih istimewa lagi, penjualan donat pada hari pertama pembukaan adalah yang tertinggi di dunia. Ia merupakan sejarah kejayaan Krispy Kreme buat julung kalinya sejak ia mula beroperasi di Amerika Syarikat pada 77 tahun lalu.

Melalui berita yang saya baca pada tahun lalu, seorang remaja bermalam di hadapan kedai semata-mata ingin menjadi pelanggan pertama pada hari pembukaan. Pada pendapat peribadi, adalah sudah tiba dan bersesuaian masanya Krispy Kreme 'datang' ke Australia Barat. Sebelum ini penduduk tempatan hanya berpeluang membeli donat Krispy Kreme apabila mereka bercuti di Melbourne atau Sydney. Ketika itu (semasa saya pernah tinggal di Perth dan bercuti di Melbourne) saya sering kali melihat mereka membawa pulang donat dan tempat penyimpanan beg di dalam kabin pesawat dipenuhi dengan plastik donat Krispy Kreme.

Gambar atas : Cawangan Krispy Kreme Pertama Di Australia Barat.

Gambar bawah : Saya berdiri di hadapan pintu masuk.

Gambar atas : Pelanggan bukan sahaja boleh membeli donat untuk dibawa pulang malah boleh menikmatinya di sini kerana terdapat beberapa buah meja dan kerusi. Wifi percuma turut disediakan.

Gambar bawah : Bilik mesyuarat untuk pekerja dan ia juga boleh disewa untuk mereka yang ingin mengadakan majlis.

Gambar kiri : Bilik mesyuarat dihias sempena hari Halloween.

Gambar kanan : Di kaunter pembelian turut diletakkan patung bagi memeriahkan hari Halloween yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Gambar kiri : Topi kertas Krispy Kreme.

Gambar kanan : Poster besar diletakkan di satu sudut di dalam kedai. Di sebelah kiri poster terdapat dua bilik tandas dan bilik mesyuarat manakala di sebelah kanan poster terletaknya dapur atau kilang membuat donat. Platform disediakan khusus untuk pelanggan yang rendah terutamanya kanak-kanak bagi menyenangkan mereka melihat proses pembuatan donat.

Di sini saya sertakan bersama sebuah video di mana anda dapat melihat proses pembuatan donat.



Gambar kiri dan kanan : Kilang pembuatan donat yang dapat dilihat oleh para pelanggan melalui cermin kaca.

Gambar kanan : Saya membeli donat sebanyak 12 biji (satu dozen).

Gambar kanan : Donat berbentuk tengkorak merupakan salah satu daripada empat donat edisi terhad sempena hari Halloween.

Selain donat, pelanggan boleh membeli minuman panas seperti kopi atau susu berperisa (milkshakes). Kaunter pandu lalu turut terdapat di cawangan ini.
Waktu perniagaan pada hari Isnin hingga Ahad ialah dari 5:00 pagi hingga 11:00 malam dan waktu perniagaan untuk kaunter pandu lalu ialah 24 jam/ 7 hari seminggu.

Sebuah lagi cawangan di Australia Barat telah dibuka di Myaree pada bulan Mac 2015. Waktu perniagaan kedai dan kaunter pandu lalu pada hari Isnin hingga Ahad ialah 6:00 pagi hingga 11:00 malam. Cawangan ini tidak mempunyai kilang seperti di cawangan pertama.

Krispy Kreme Australia disahkan Halal oleh AFIC (Australian Federation Of Islamic Council).

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaharu saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.