Wednesday, 28 April 2021

Regina, Saskatchewan (Bahagian 1)

Dari Winnipeg, Manitoba, pemanduan diteruskan menuju ke Regina, Saskatchewan yang jaraknya ialah 573 kilometer. Regina ialah ibu negeri (province) bagi Saskatchewan. Tempat pertama yang dituju ialah pusat bandar Regina. Keadaan sekeliling pada jam 11:00 pagi di pusat bandar agak sunyi kerana saya dan suami datang pada hari Ahad. Selepas membeli cenderamata wajib dari Starbucks, kami meninjau pusat membeli belah Cornwall Centre. Agak menarik apabila melihat sedikit struktur bangunan asal masih dikekalkan di dalam ini. Walaupun pusat membeli belah dua tingkat ini tidak besar, tetapi ia cukup memadai untuk keperluan penduduk di pusat bandar. Pada sebelah tengah hari, sudah kelihatan ramai orang yang bersiar-siar dan kami juga berjalan kaki di sekitar kawasan dan taman berdekatan sebelum menyambung pemanduan menuju ke lokasi seterusnya.

























Artikel bahagian 2 akan disiarkan tidak lama lagi. Kepada yang ingin mengikuti perkembangan saya, 
anda boleh terus ke laman sosial saya yang lain dengan klik nama (username) di bawah ini.
Instagram : 
blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN


Wednesday, 14 April 2021

Selamat Hari Ulang Tahun Ke-82, Ibu Ku Tercinta

Sebenarnya saya tidak bercadang untuk menyiarkan sebarang artikel pada hari ini. Akan tetapi fikiran saya asyik berkata-kata membuatkan saya untuk menulis pada waktu ini. Bermulanya Blog Terjemahan Hati pada tahun 2010 adalah kerana saya ingin meluahkan perasaan rindu saya terhadap bapa yang telah meninggal dunia pada tahun 2008. Lama kelamaan blog saya memaparkan pelbagai topik lain terutama sekali mengenai kembara. Hari ini, saya seperti mengundur kembali pada waktu di mana saya menulis mengenai bapa saya. Tidak pernah saya terlintas atau membayangkan untuk menggunakan sekali lagi blog Terjemahan Hati untuk meluahkan perasaan rindu saya terhadap
ibu tercinta pula yang pulang kepada penciptanya pada 9 Disember 2020.

Walaupun setiap hari saya tidak pernah lupa mengingati ibu, tetapi pada hari ini ingatan itu berbeza dari sebelumnya. Hari ini, iaitu 14 April ialah hari kelahiran ibu saya. Jika ibu masih ada, umur beliau ialah 82 tahun. 

Saya redha dengan pemergian ibu kerana hidup mati semuanya telah ditakdirkan. Tetapi sebagai manusia yang tidak sempurna, saya masih sedih dan pedih sehingga ke hari ini. Selain tidak percaya yang ibu sudah tiada, kadang kala saya masih mempersoalkan kenapa ibu pergi terlalu awal? Saya akui, seseorang yang hidup sehingga umur 81 tahun bukanlah terlalu awal untuk pulang menghadap ilahi, malah saya bersyukur yang sudah tiba masanya ibu berehat dan tidak lagi menanggung sebarang kesakitan. Sebelum ibu pergi, beliau sempat menyandang gelaran moyang dan mendapat dua orang cicit lelaki.

Selepas berkahwin dan berhijrah ke luar negara, saya tidak pernah pulang berhari raya di Malaysia. Entah mengapa tiba-tiba saya seperti ingin menyambut lebaran pada tahun 2019 iaitu bersamaan tahun ke-sepuluh saya berkahwin. Tetapi apabila mengingatkan ibu akan menyambut hari istimewa sempena memasuki umur 80 tahun, fikiran saya berbelah bahagi. Yang mana satu patut diutamakan? Saya juga pernah terfikir untuk membatalkan sahaja hasrat kerana saya sedang mengalami masalah kesihatan yang agak teruk. Memikirkan hari raya disambut sama setiap tahun, tetapi usia ibu memasuki 80 tahun hanya diraikan sekali sahaja, maka saya mengambil keputusan di minit-minit terakhir untuk pulang pada bulan April 2019 tanpa pengetahuan ibu dan keluarga yang lain.


Gambar di atas dirakamkan di majlis sambutan hari ulang tahun ibu yang ke-80 pada dua tahun lalu. Keputusan yang saya ambil untuk pulang meraikan hari istimewa ibu merupakan antara salah satu keputusan yang sangat bijak serta berbaloi yang pernah saya lakukan sepanjang hidup walaupun saya sedang mengalami dan merahsiakan masalah kesakitan saya dari semua orang termasuk suami saya sendiri.

Saya pulang semula ke Kanada pada 16 April 2019 di mana itulah kali terakhir saya dapat peluk dan cium ibu tercinta. Sewaktu urusan pengkebumian, keluarga ada menghantar gambar serta video secara langsung kepada saya. Sedang keluarga mengambil peluang memeluk dan mencium ibu buat kali terakhir pada hari itu, saya berasa cemburu kerana saya pula hanya menangis dan hanya mencium ibu melalui skrin telefon sahaja. Sebagai anak yang paling bongsu dalam keluarga, saya ada terfikir seolah-olah saya hilang tempat bergantung setelah ibu pergi. Mengapa saya berfikir sedemikian sedangkan saya sudah lama berkahwin dan menetap di luar negara? Sebenarnya bukan hilang tempat bergantung tetapi lebih kepada hilangnya waktu serta teman berbual, bergurau senda dan bermesra antara ibu dan anak bongsu.


Keperitan dan kesedihan saya yang tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada ibu, akan terus dirasai sehingga bila-bila. "Selamat Hari Ulang Tahun Ke-82, mak! Semoga mak sentiasa tenang berehat di sana." Al-Fatihah.

Kepada yang ingin mengikuti perkembangan saya, anda boleh terus ke laman sosial saya yang lain dengan klik nama (username) di bawah ini.
Instagram : 
blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Tuesday, 13 April 2021

Yafa Cafe Di Winnipeg, Manitoba

Yafa Cafe di Winnipeg, Manitoba menyajikan hidangan makanan dari Timur Tengah. Saya menyukai rekaan luaran dan hiasan dalaman kafe ini. Perabot yang berwarna warni juga menampakkan keceriaan. Saya dan suami memesan Traditional Msakhan, Shish Taouk serta minuman pula ialah Manitoba Summer Soda dan  Triple Berry Soda. Menu penuh boleh anda rujuk di sini;
https://www.yafacafe.com/wp-content/uploads/2020/09/menu-2020-3-web.pdf
Kami sangat berpuas hati dengan hidangan yang dinikmati dan ia berbaloi dengan harga yang dibayar. 

















Anda boleh terus ke laman sosial saya yang lain dengan klik nama (username) di bawah ini.
Instagram : 
blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN

Monday, 5 April 2021

Winnipeg, Manitoba (Bahagian 2)

Artikel ini bersambung dari artikel bahagian 1 yang telah disiarkan pada 19 November 2020 ;
https://sharery.blogspot.com/2020/11/winnipeg-manitoba-bahagian-1.html

Gambar-gambar yang dikongsikan di bawah ini saya rakamkan sewaktu berada di Winnipeg pada hari-hari yang berbeza. Untuk memanfaatkan waktu yang ada, saya dan suami memandu di sekitar bandar untuk meninjau keadaan persekitaran. Saya suka melihat bangunan-bangunan lama kerana senibina yang tidak terdapat di bangunan baru lagi moden. Selain itu, saya tertarik dengan beberapa mural yang dilukiskan. Rancangan suami untuk meninjau kilang pembuatan jaket mewah dan terkenal Canada Goose akhirnya tercapai. Kilang ini menggunakan bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1916. Terdapat pengawal keselamatan yang kerap membuat rondaan di luar bangunan. Kami juga berpeluang singgah bergambar di hadapan bangunan perundangan negeri (Manitoba Legislature Building).

Satu perkara yang boleh saya gambarkan mengenai Winnipeg ialah, saya berasa sangat kasihan dengan bandar ini. Walaupun anda tidak dapat melihat melalui gambar-gambar di bawah, tetapi percayalah bahawa saya dan suami melihat terlalu ramai penduduk yang tidak berumah yang hidup merempat di sekitar bandar yang majoriti dari mereka ialah masyarakat kaum asli Kanada dan melihat dari mata kasar saya, ramai orang yang sudah berumur. Apabila bandar dipenuhi dengan orang yang tidak berumah, maka sekaligus persekitaran menjadi kotor dan terjadinya banyak kes jenayah. Salah satu tempat tinggal mereka ialah di sebuah kawasan yang berdekatan dengan tapak ujian COVID-19 yang sempat saya rakamkan gambarnya sewaktu pemanduan walaupun gambar itu agak kabur. Sekiranya kami datang lagi ke Winnipeg, kami tidak berhajat untuk berjalan kaki di dalam pusat bandar kerana nampak agak merbahaya.

Pada pendapat saya, Winnipeg ialah sebuah bandar yang agak membosankan. Terdapat tiga sahaja pusat membeli belah yang besar iaitu CF Polo Park, Outlet Collection Winnipeg dan IKEA itupun terletak jauh sedikit dari pusat bandar. Di kawasan berdekatan juga terdapat banyak kedai-kedai dan restoran yang nampak lebih tenang, bersih dan jauh beza dari tempat-tempat tinggal orang tidak berumah. Masih ada tempat menarik selamat dilawati yang boleh anda rujuk melalui artikel bahagian 1 yang alamatnya diletakkan di perenggan paling atas dan tempat paling wajib dilawati ialah Galeri Winnie The Pooh; http://sharery.blogspot.com/2021/03/menjejaki-sejarah-winnie-pooh-di.html











































Anda boleh terus ke laman sosial saya yang lain dengan klik nama (username) di bawah ini.
Instagram : blog_th2010
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN