Sunday, 22 April 2012

Santa Fe, NEW MEXICO

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Pertemuan

Satu hari selepas tiba di Amerika Syarikat saya sudah mula "panjang langkah" meneroka ke tempat-tempat menarik di dalam negara Presiden Barack Hussein Obama ini. Menaiki kereta dari Farmington ke Santa Fe mengambil masa lebih kurang 3 jam dan 45 minit.


Seperti yang anda lihat dari gambar di atas, untuk sampai ke Santa Fe kami perlu menempuh jalan yang bergunung ganang sehingga pernah mencecah paras ketinggian 8000 kaki.
Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah, di sepanjang perjalanan ini juga dapat dilihat begitu banyak kasino yang terletak berdekatan dengan hentian rehat seperti stesen minyak, hotel dan restoran.

Santa Fe ialah ibu negeri New Mexico, salah satu negeri di dalam Amerika Syarikat. Jumlah populasi penduduk sehingga tahun 2010 ialah 67,947orang.
Sebaik tiba di sini, kami singgah di Lapangan Terbang Santa Fe dengan niat untuk melihat lebih dekat dan bergambar dengan jet pejuang Tentera Udara Di Raja Australia F-111 ( Royal Australian Air Force) yang sudah bersara 16 tahun lalu.




Kemudian barulah kami menuju ke pusat bandar yang terletak tidak jauh dari situ.
Kereta diletakkan berdekatan dengan gereja tertua di Amerika Syarikat iaitu gereja San Miguel yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1610-1626.

Gereja tertua di Amerika Syarikat.
Seterusnya kami menuju pula ke bangunan Parlimen bagi ibu negeri New Mexico  atau lebih dikenali sebagai New Mexico State Capitol. Lebih menarik perhatian, bangunan parlimen di Santa Fe ini adalah satu-satunya bangunan parlimen di dalam Amerika Syarikat yang tidak mempunyai kubah (dome) di atas bumbung.

Bangunan Parlimen New Mexico di Santa Fe.

Tugu peringatan perang.
Mengikut sejarah, bandar Santa Fe ini pada asalnya dipenuhi dengan perkampungan Pueblo Indian beribu-ribu tahun dahulu.

*Pueblo Indian = Red Indian/ Kaum Asli Amerika

Oleh kerana itulah hampir 100% bangunan dan rumah di bandar Santa Fe mempunyai ciri-ciri senibina masyarakat kaum asli Amerika.

Bangunan unik berusia ratusan tahun di Santa Fe.

Patung bercirikan kaum asli Amerika atau lebih dikenali sebagai Red Indian.
Saya bergambar berlatar belakangkan bangunan yang warnanya serba coklat serta menjamu mata melihat kraftangan untuk dijual hasil kerja masyarakat asli Amerika.

Separuh hari Sabtu dihabiskan di Santa Fe sebelum kami menuju ke destinasi seterusnya. Nantikan selepas ini.

Sunday, 15 April 2012

Dari Australia ke Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Setelah dua tahun lima bulan saya menetap dan tidak keluar dari Australia,akhirnya buat pertama kali saya terbang jauh meninggalkan bumi Kangaroo.
Saya berlepas dari Melbourne,Australia ke Amerika Syarikat seorang diri untuk bersama-sama menyertai suami yang sudah berada di sana beberapa bulan lalu atas urusan kerja.

Di Lapangan Terbang Melbourne - A380 milik Qantas Airways ,pesawat komersial/penumpang terbesar di dunia
Pesawat komersial/penumpang terbesar di dunia iaitu A380(seperti gambar di atas) yang nombor pesawatnya QF93 telah membawa saya ke Los Angeles.
Pas Masuk Pesawat (Boarding Pass)
Kedudukan tempat duduk saya ialah di tingkat atas (upper deck) di dalam kelas Premium Economy.Oleh kerana dahulu saya pernah bekerja sebagai pramugari maka saya tahu membezakan tahap perkhidmatan dan layanan anak kapal bagi setiap kelas penerbangan.
Boleh saya ulaskan di sini,75% mutu perkhidmatan kelas Premium Economy hampir menyamai mutu perkhidmatan kelas perniagaan (Business Class) dan jauh berbeza jika hendak disamakan dengan tahap serta mutu perkhidmatan kelas ekonomi biasa.

*Untuk maklumat tambahan,kedudukan penumpang kelas pertama(First Class)dan Ekonomi  (Economy) adalah di tingkat bawah (main deck).Manakala penumpang kelas perniagaan (Business Class) dan Premium Economy di tingkat atas (upper deck)

Sebaik sahaja mengambil tempat duduk,saya dihidangkan dengan minuman selamat datang dan diberi comfort kit (sarung kaki,ubat/berus gigi serta penutup mata dan telinga) oleh pramugari dan tidak lupa juga sudah menjadi kebiasaan,saya pasti akan membaca kad maklumat keselamatan.

Sebelum berlepas
Di sebelah kiri ialah kad menu,manakala di sebelah kanan ialah hidangan makan tengah hari dan sarapan pagi
Salah satu yang canggih di dalam pesawat A380 ini ialah kamera di luar ekor pesawat dapat membawa kami melihat secara langsung apa yang terjadi di luar kapal terbang di sepanjang penerbangan
Selepas menikmati ais krim sebagai pencuci mulut (gambar lupa untuk diambil),saya memilih minuman teh o panas sebelum menyambung tidur

LOS ANGELES,CALIFORNIA
Penerbangan yang mengambil masa selama 14jam dan 30minit ini akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Los Angeles, California Amerika Syarikat.Setelah melepasi kastam dan imigresen,saya menukar terminal dan dapat berehat beberapa jam (waktu transit) sebelum menyambung penerbangan ke Denver, Colorado dengan menaiki pesawat American Airlines.
Waktu penerbangan dari Los Angeles ke Denver mengambil masa kira-kira hampir 2jam.Walaupun saya berasa sangat letih dan mengantuk,tetapi saya menahan mata kerana merasa sangat rugi jika tidak melihat dan mengambil gambar gunung ganang yang diselaputi salji di negeri Colorado.(seperti gambar di bawah)

Pesawat CRJ American Airlines membawa saya ke Denver dan ditemani dengan pemandangan Rocky Mountain di sepanjang penerbangan

DENVER, COLORADO
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver,saya mengambil bagasi dan melakukan daftar masuk untuk penerbangan seterusnya (penerbangan ketiga dan terakhir untuk hari tersebut) iaitu ke Farmington,New Mexico yang akan mengambil masa lebih kurang 1jam dan 20minit.
Great Lakes Airlines ialah pesawat ringan/kecil yang saya naiki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver
FARMINGTON, NEW MEXICO
Jika dikira jumlah keseluruhan waktu penerbangan serta waktu transit bermula dari Melbourne, saya mengambil masa lebih dari 24jam untuk sampai ke destinasi terakhir.Syukur Alhamdulilah akhirnya saya selamat mendarat di Farmington,New Mexico pada jam 8.40malam.

Farmington, New Mexico
Bak kata pepatah,sambil menyelam sambil minum air.Semasa berada di Amerika Syarikat,saya mengambil kesempatan mengikuti suami kemana sahaja beliau diterbangkan untuk bertugas atau bermesyuarat.Malah ketika waktu cuti (off day),kami pasti akan memanfaatkan masa tersebut dengan melakukan road trip dan melancong.
Pastikan anda bersama Terjemahan Hati untuk catatan perjalanan dan gambar seterusnya. :-)

Friday, 13 April 2012

Selamat Hari Ulangtahun Ibu

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Tanggal 14hb April tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat .Tarikh tersebut yang juga jatuh pada hari ini ialah hari kelahiran ibu tercinta,Fatimah Mohamed Hassan.
Doa saya setiap hari semoga ibu dipanjangkan umur serta diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki.Apabila dihitung,sudah tiga tahun saya tidak dapat menyambut hari ulangtahun ibu di Ipoh Perak.
Rindu untuk memeluk dan menjamah lauk pauk,kuih muih yang dimasak oleh beliau.



InsyaAllah apabila segala urusan saya di sini dapat diselesaikan,saya akan pulang juga ke Malaysia.

Thursday, 5 April 2012

Tapai

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sejak dari kecil saya memang gemar makan tapai.Baru baru ini seorang sahabat telah baik hati berkongsi sedikit tapai hasil air tangan beliau kepada saya.
Saya sendiri telah lupa bila kali terakhir menjamah tapai pulut dan ubi,barangkali 4 atau 5tahun yang lalu.Inilah yang dinamakan rezeki :-)

Terima kasih kepada Kak Fir