Hari ini, iaitu bersamaan dengan 30 November 2016 ialah hari terakhir beroperasinya restoran makanan segera McDonald's cawangan Pekan Baru Ipoh, Perak (Jalan Mustapha Al-Bakry).
Apakah keistimewaan restoran ini sehinggakan saya menyiarkan sebuah entri untuknya?
Restoran McDonald's Pekan Baru merupakan cawangan pertama dan tertua di negeri Perak yang dibuka pada lewat tahun 1980an. Saya akui rasa sedih apabila mendengar berita tentang bakal penutupannya lebih kurang 2 bulan lalu sebelum saya bercuti ke Malaysia dan ketika itu memang tidak mempunyai perancangan langsung untuk bercuti ke sana.
Pada 13 November lalu, saya mengambil kesempatan untuk singgah mengambil gambar kenangan di restoran McDonald's tertua di Perak yang juga membawa nostlagia bagi diri saya serta penduduk di Ipoh.
Cawangan McDonald's pertama dan tertua di negeri Perak. |
Restoran McDonald's yang beroperasi dengan menggunakan salah sebuah bangunan kolonial di Ipoh. Seni binanya tetap utuh sehingga ke hari ini. |
Tiada perubahan yang dilihat di dalam restoran. Reka bentuknya tetap sama cuma semasa kecil saya melihat restoran ini sangat luas dan besar tetapi hari ini saya melihatnya seakan 'kecil'. |
Notis penutupan restoran dilekatkan di hadapan pintu masuk. |
Membuat lawatan terakhir ke restoran McDonald's bersama anak saudara saya. |
Saya masih ingat ketika berumur 8 atau 9 tahun, kakak membawa saya menikmati hidangan di restoran McDonald's Pekan Baru dan saya cukup teruja bermain di dalam gelanggang permainan yang dipenuhi dengan bola-bola kecil. Pada zaman remaja, restoran ini juga merupakan lokasi terbaik untuk saya membuat temu janji bersama rakan-rakan malah tempat pilihan bagi mengadakan jamuan persekolahan akhir tahun (tingkatan tiga).
Selamat Tinggal McDonald's Pekan Baru Ipoh. |
Terima kasih McDonald's Malaysia kerana telah menyajikan hidangan di cawangan pertama Perak selama 30 tahun. Kenangan manis saya membesar di Ipoh dan melihat kejayaan McDonald's cawangan Pekan Baru Ipoh tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010