Thursday, 31 July 2014

Dubai, UAE (2006)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Sebaik sahaja melihat jadual bulan Julai dan saya perlu bertugas terbang ke Dubai, hati terus melonjak girang. Apa yang berada di dalam kepala saya ialah mahu melihat dengan lebih dekat lagi hotel tujuh bintang yang terkenal iaitu Burj Al Arab.

Trip ke Dubai biasanya mengambil masa yang panjang iaitu lebih kurang satu minggu sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur dan biasanya di pertengahan minggu kami perlu membuat penerbangan shuttle ke Bahrain, Kuwait (mengikut musim) atau Beirut.

Selepas berehat satu malam di Dubai, saya berkeinginan untuk mengikuti lawatan dalam bandar (City Tour). Tidak ada seorang pun rakan sekerja yang berminat (mungkin juga kerana harganya agak mahal). Saya mempunyai prinsip iaitu 'peluang tidak akan datang dua kali'. Jika saya tidak mengikuti lawatan ini, mungkin saya akan meyesal atau barangkali mungkin ini adalah lawatan saya yang pertama dan terakhir. Tambahan pula saya ialah seorang yang sukakan cabaran (adventurous person), maka saya bertekad untuk pergi seorang diri. Tidak ada istilah takut kerana lawatan ini bergabung beramai-ramai dengan pelancong lain. Saya lupa di mana saya menempah lawatan dan membuat bayaran tetapi yang pasti van pelancong datang menjemput dan menghantar saya pulang ke hotel. Semasa lawatan tersebut, saya berjumpa dengan dua orang pramugari dan pramugara MAS yang saya tidak kenal semestinya bukan dari set crew saya. Mungkin mereka sampai Dubai sebelum atau
selepas ketibaan saya. Mereka memilih untuk menyertai separuh sahaja lawatan pada hari tersebut.

Jika tidak silap, pemandu pelancong adalah berbangsa Arab berasal dari Iran. Saya masih ingat beliau pernah berkata bahawa penduduk tempatan (orang Arab UAE) tidak bekerja kerana terlalu kaya. Mereka mempunyai syarikat-syarikat besar tetapi pekerja bawahan ialah bangsa asing atau rakyat dari negara luar. Jika ada orang Arab yang bekerja sekalipun, mereka bukan berasal dari UAE. Pemandu pelancong merujuk kepada diri sendiri kerana beliau juga ialah seorang berbangsa Arab tetapi rakyat Iran.


Gambar atas : Menyusuri bandar Dubai.

Gambar bawah : Pemandu pelancong memberitahu kami bahawa Dubai bakal mempunyai bangunan tertinggi di dunia. Dalam nada gurauan pramugara MAS berkata 'tetapi Malaysia mempunyai dua buah bangunan tertinggi di dunia (Menara Berkembar KLCC)', lalu semua orang di dalam van ketawa. Di sini anda dapat lihat bangunan Burj Khalifa/ Burj Dubai yang masih di dalam proses pembinaan.

Akhirnya impian menjadi kenyataan. Saya dapat juga melihat dengan jarak yang dekat hotel 7 bintang Burj Al Arab yang biasa saya lihat di dalam televisyen dan majalah. Kami berpeluang mengambil gambar di dua buah lokasi berbeza iaitu di tepi jalan dan juga di tepi pantai.

Jumeirah Beach.

 Gambar kiri :  Masjid Jumeirah.

Gambar bawah : Sheikh Mohammed Centre for Cultural Understanding merupakan badan yang bertanggungjawab menganjurkan lawatan kepada pengunjung mahupun yang bukan beragama Islam. Pelawat

berpeluang belajar tentang budaya rakyat tempatan UAE dan agama Islam dalam suasana yang santai dan kasual. Masjid Jumeirah adalah satu-satunya masjid yang dibuka untuk orang awam (membuat lawatan).

Gambar-gambar ini dirakamkan dari dalam van.

Gambar atas : Van kami singgah dan membuat pusingan U di hadapan Istana Sheikh Maktoum. Kami dilarang megambil gambar tetapi saya tetap 'berdegil' dan telah mengambil gambar curi dari jauh.

Gambar bawah : Merak di kawasan istana.

Gambar atas : Sebuah lagi masjid yang terdapat di Dubai.

Gambar bawah : Di Muzium Dubai.

Muzium Dubai (Dubai Museum) adalah muzium utama di Dubai, UAE. Ia terletak di dalam Al Fahidi Fort (kubu), yang dibina pada tahun 1787 dan merupakan bangunan yang tertua di Dubai. Muzium ini telah dibuka pada tahun 1971 dengan tujuan untuk mengetengahkan cara tradisional kehidupan rakyat tempatan. Barangan antik dan juga artifak lama turut dipamerkan.

Lelaki berbaju belang ialah pemandu pelancong yang saya sebutkan sebelum ini.

Menyeberangi sungai (Dubai Creek) dengan menaiki teksi atas air (Dubai Water Taxi). Teksi yang saya naik sama seperti di dalam gambar di atas.

Kami juga dibawa ke Dubai Spice Souk (menjual rempah ratus, herba dan kekacang) dan Dubai Gold Souk (menjual barang kemas) yang terletak di pusat bandar di daerah Deira.

Bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada awal pagi sebaik sahaja tiba dari Bahrain.

Berbaki satu hari lagi di Dubai sebelum pulang ke Kuala Lumpur, saya dan rakan sekerja menghabiskan masa berjalan-jalan di Deira City Centre dan Naif. Hotel penginapan kami memberikan bas percuma (shuttle) pergi dan balik ke tempat-tempat berkenaan.

Saya berdiri di galley (dapur) bahagian Zon C pesawat A330.

Gambar-gambar Dubai untuk tahun berikutnya akan saya kongsikan di sini tidak lama lagi.

Tuesday, 29 July 2014

Salam Syawal 2014

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca blog Terjemahan Hati.


1 Syawal 2014

Monday, 14 July 2014

Kisah Di Sebalik Koleksi Novel Saya

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Saya jarang membaca novel tetapi itu tidak bermakna saya tidak minat membaca. Barangkali faktor waktu yang selalu membataskan. Empat buah novel seperti gambar di bawah dihadiahkan oleh penulis itu sendiri kepada saya. Oleh kerana masa tidak mengizinkan, hanya satu sahaja saya habiskan bacaan di rumah dan selebihnya di dalam kapal terbang.


JET JONAH
Jet Jonah telah saya bawa mengelilingi Australia secara roadtrip/outbackroadtrip pada tahun 2011 dan terbang ke beberapa buah negeri di Amerika Syarikat pada tahun 2012. Oleh kerana penulis pernah menetap di Kota London, maka jalan ceritanya nampak lebih 'hidup' kerana novel ini banyak berkisar tentang kehidupan masyarakat Melayu di sana. Walaupun banyak adegan menceriakan, namun terselit juga bahagian sedihnya di mana secara tidak sedar saya mengalirkan air mata mengenangkan arwah bapa saya sendiri. Mujur ketika itu saya di dalam penerbangan sebelah malam (Los Angeles - Melbourne) dan tiada siapa yang nampak mata saya yang merah. Jet Jonah saya habiskan bacaan di dalam beberapa buah penerbangan antarabangsa. Jet Jonah masih boleh dapat dibeli di www.jemariseni.com


DAPUR WAWA
Novel bertajuk Dapur Wawa (2012) tidak dibawa terbang bersama kerana saya habis membacanya dalam satu hari sahaja. Penulis Ika Madera banyak mendapatkan maklumat tentang pekerjaan juruterbang dari suami saya demi untuk menjayakan watak Encik Abu di dalam novel ini. Sifat peribadi Encik Abu tiada kena mengena dengan suami saya cuma persamaannya mungkin 1% sahaja iaitu tentang driver. (Suami saya pernah beberapa kali menjawap beliau ialah bus driver apabila diajukan soalan tentang pekerjaan. Selepas mendengar pekerjaan itu, ada di antara mereka yang tidak minat menyambung perbualan). Berbalik tentang Dapur Wawa, watak Encik Abu terus menjadi kegemaran ramai pembaca sehingga ke hari ini. Barangkali sifat beliau yang sangat merendah diri. Sesuai dengan tajuk Dapur Wawa, terdapat resepi masakan yang dikongsi oleh penulis. Novel ini masih boleh dibeli di www.jemariseni.com



LELAKI TIDAK BERSALAH
Saya menerima hadiah novel Lelaki Tidak Bersalah pada tahun 2012 oleh penulis senior, wartawan yang juga telah merangkul beberapa anugerah berprestij iaitu Kusyi Hirdan. Kerana terlalu sibuk dan masa yang terhad, saya 'berhempas pulas' untuk menghabiskan bacaan novel ini di dalam beberapa penerbangan antarabangsa dan domestik selama satu tahun.
Cerita ini adalah mengenai seorang lelaki yang mahu mendalami ilmu agama malangnya beliau ditipu, diperdaya dan terus disabitkan kesalahan kerana memasuki kumpulan ajaran sesat. Hubungan antara anak dan ibu yang kuat menjadikan novel ini sangat menyentuh perasaan. Lelaki Tidak Bersalah merupakan gabungan cerita benar dan rekaan. Anak kelahiran Perak iaitu Kusyi Hirdan adalah idola saya di dalam penulisan. Kehebatan beliau yang telah menghasilkan berpuluh buku dan novel tidak boleh disangkal lagi dan buktinya ialah Lelaki Tidak Bersalah sudah mendapat tempat di perpustakaan di Singapura (National Library Board).




SEMUSIM DI DIVONNE
Semusim Di Divonne merupakan hasil terbaru penulis dari Singapura iaitu Ika Madera. Jika dua buah novel sebelum ini saya menerima secara pos, tetapi kali ini kami terus bertemu.
Ramai antara sahabat menganggap kami seperti 'biskut' kerana sering 'tenggelam timbul'. Ika Madera turut memberi gelaran saya dan suami sebagai 'The Biscuits Travel Couple'. Terasa sungguh terharu kerana nama kami dimasukkan di dalam bahagian penghargaan dari penulis. Ika Madera tahu yang novel-novel beliau sebelum ini telah kami bawa menjelajah bersama, maka kerana itulah beliau ingin tahu kemanakah destinasi Semusim Di Divonne selepas ini.




Dari Singapura novel Semusim Di Divonne terbang dan pulang sebentar mengikut pemilik barunya (sebelum ke destinasi seterusnya). Oleh kerana jalan cerita ini digambarkan pada musim luruh, maka saya mengambil 'mood' musim luruh di Australia. Penulis Ika Madera begitu teruja melihat gambar-gambar di bawah setelah saya memberikan kejutan kepada beliau. Salah satu gambar turut dijadikan sebagai gambar profil untuk Facebook Ika Madera.






Novel Semusim Di Divonne beralih ke destinasi seterusnya..


Pada masa akan datang saya akan berkongsi bersama anda tetang koleksi buku dalam bidang penerbangan pula (dalam bahasa Inggeris).