Monday, 31 December 2012

Imbasan 2012

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Tahun 2012 saya rasakan tahun yang paling cepat masa berlalu berbanding tahun-tahun sebelumnya walaupun dalam tahun ini saya pernah melalui fasa yang merumitkan sehingga saya merasa tempoh tiga bulan itu masa dan tarikhnya tidak bergerak- gerak ke hadapan (Januari hingga Mac) .
Dalam tempoh tiga bulan itu juga saya berjauhan dengan suami (beliau di Amerika Syarikat dan saya di Australia).Berjauhan sebenarnya tidak menjadi masalah bagi saya memandangkan kami sudah biasa berjauhan sejak dari belum berkahwin lagi.Yang menjadi tekanan ialah saya sedang menunggu kelulusan taraf penduduk tetap yang sudah dua tahun saya mohon.Jika keputusan tidak sampai ke tangan saya,maka sekaligus saya belum ada harapan untuk bertemu dengan suami.
Berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus selama dua tahun dan empat bulan serta tidak pernah keluar dari negara Australia,akhirnya pada 14hb Febuari saya dengan rasminya telah mendapat Taraf Penduduk Tetap (PR) Australia.
Selepas daripada itu, saya seorang diri telah menguruskan urusan visa Amerika Syarikat yang amat rumit prosesnya termasuklah menghadiri temuduga di Konsulat Jeneral Amerika Syarikat di Melbourne.

Setelah menetap dan tidak pernah keluar dari Australia selama dua tahun dan empat bulan (salah satu prosedur apabila memohon PR ialah Jabatan Imigresen menasihati dan tidak menggalakan pemohon supaya keluar negara) akhirnya sejarah dicipta pada 16hbMac apabila saya melangkah keluar negara dan terbang jauh ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan suami.
Dahulu saya membayangkan selepas mendapat PR,saya akan terus pulang ke Malaysia.Tidak di sangka suami perlu bertugas ke Amerika Syarikat dan tentunya saya harus ke sana bersama beliau.Itu yang utama.
Gambar atas : Pesawat komersial terbesar dunia iaitu A380 dengan nombor pesawat  QF 93 telah menerbangkan saya dari Melbourne ke Los Angeles

Gambar bawah : Dari Melbourne ke Los Angeles kemudian menyambung penerbangan ke Denver seterusnya penerbangan terakhir dari Denver ke Farmington.Keseluruhan jumlah masa penerbangan termasuk transit sudah mencapai 24jam
Baru satu penerbangan iaitu QF 93 dari Melbourne ke Los Angeles mengambil masa 13jam dan 31minit
Sepanjang berada di Amerika Syarikat, saya dan suami banyak melakukan "road trip" dengan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri di dalam negara ini.Dari situ kami mendapat banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang begitu berharga sekali.Saya juga telah mendapat beberapa rakan baru dan keluarga angkat.
Sebanyak 18 (berbintang merah) daripada keseluruhan 50 buah negeri di dalam Amerika Syarikat yang sudah saya lawati,Jika mengikut keluasan, saya sudah menjelajah separuh daripada Amerika Syarikat.

* Ini ialah rekod peribadi saya dan tidak termasuk suami kerana rekod beliau sudah melebihi dari saya :)

Inilah bukti saya sudah berada di 18 buah negeri di dalam Amerika Syarikat. Saya dan suami akan berhenti dan mengambil gambar setiap kali memasuki sempadan negeri.Ada beberapa sempadan negeri yang tidak dapat kami berhenti kerana papan tandanya betul-betul di dalam lebuhraya dan ada pula di tengah jalanraya
Jujur saya katakan,saya penduduk Australia yang datang ke Amerika Syarikat melihat apa juga barangan yang dijual termasuk harga makanan,hartanah dan lain lain seolah-olah sama seperti rakyat Malaysia yang pergi bercuti dan membeli belah di Indonesia.
Apa sahaja yang dijual di Amerika Syarikat harganya sangat murah berbanding di Australia.
Seperkara lagi,ingin saya ceritakan di sini kebanyakan penduduk tempatan ramah tamah dan menghormati rakyat dan pelancong yang berlainan bangsa dan agama.Alhamdulilah sepanjang di Amerika Syarikat , saya tidak pernah menghadapi isu diskriminasi kaum.
Satu contoh ialah semasa 11hb September yang lalu,pada hari itu,tidak ada isu rakyat tempatan membenci agama Islam yang dibangkitkan.Pemimpin negara dan rakyat lebih kepada memperingati mereka yang terkorban.Sehari selepas itu, saya berada di Chicago keluar berjalan-jalan dan memakai tudung seperti biasa.Tidak ada orang yang memandang sinis terhadap saya sebaliknya saya diberi layanan baik di pusat membeli belah dan restoran. Tetapi yang saya peliknya mengapa negara lain yang sering bangkitkan isu lama,sejarah lama dan tidak berputus asa melaga-lagakan umat Islam dengan penganut agama lain?

Satu lagi kenangan manis saya semasa di Amerika Syarikat ialah berpeluang menyaksikan persembahan dan berjumpa dengan penyanyi Malaysia iaitu Yuna pada bulan Jun lepas.Sebenarnya saya kurang meminati artis Malaysia,penyanyi pujaan pun boleh dikira dengan jari tetapi tidak bagi Yuna.Saya meminati beliau sejak beliau popular dengan lagu Dan Sebenarnya.Kami sanggup memandu berjam-jam lamanya untuk sampai ke Denver Colorado semata-mata mahu menyaksikan persembahan beliau.
Kenangan manis ditambah lagi apabila pada 26 hb Disember 2012 saya telah mendapat pujian dari Yuna mengenai blog Terjemahan Hati.Terima kasih Yuna kerana sudi singgah di sini.Saya terkejut dan dalam masa yang sama rasa sangat gembira dan menghargainya :)

Jika di Australia saya sudah manfaatkan dua tahun empat bulan tidak keluar negara dengan melancong dan mengembara di serata pelusuk bumi Kangaroo.Selepas ini,InsyaAllah saya dan suami akan menyambung lagi "road trip" bagi melengkapkan misi menakluki satu negara Amerika Syarikat pula. :-)

Tahun 2012 juga menjadi saksi usia perkahwinan saya dan suami menginjak ke tahun yang ke tiga.
Doa saya semoga rumahtangga kami kekal bahagia hingga akhir hayat.

Pernikahan pada 25hb September 2009

Sebelum tirai imbasan 2012 ini ditutup, saya sertakan gambar terakhir dan berkongsi cerita terakhir untuk pembaca semua.

Setelah tiga tahun berpisah, akhirnya pada bulan September lepas saya dapat juga bertemu,cium tangan dan memeluk ibu tersayang.
Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini,angan-angan saya selepas mendapat PR, saya akan pulang ke Malaysia dari Melbourne atau Perth.Tidak menyangka pula yang saya pulang ke Malaysia kali ini dari Amerika Syarikat dan Dubai.

Bersama ibu setelah tiga tahun berpisah.InsyaAllah panjang umur dan murah rezeki kita akan bertemu lagi
Beginilah sedikit sebanyak luahan hati / kenangan manis sepanjang 2012 yang saya simpulkan khas untuk para pembaca.Teruskan bersama Terjemahan Hati dan sehingga kita berjumpa lagi pada tahun hadapan , InsyaAllah. :-)

Sunday, 30 December 2012

Springfield, Ibu negeri ILLINOIS

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Jika sebut Chicago,pasti ramai yang tahu akan bandar ketiga terbesar di Amerika Syarikat ini. Tetapi tahukah anda di dalam negeri mana letaknya Chicago?
Chicago terletak di negeri Illinois yang kapasiti penduduknya seramai 2.7 juta orang, tetapi ia bukanlah ibu negeri bagi negeri tersebut.
Apa yang ingin saya ceritakan di sini ialah tentang ibu negeri bagi negeri Illinois iaitu Springfield.
Jarak Springfield dengan Chicago ialah 202 batu dan jika memandu ia mengambil masa lebih kurang 3 jam dan 33 minit.
Ibu negeri negeri ini sangat kecil dengan populasi penduduk hanya 116,250 orang sahaja (di kira sehingga tahun 2010).

Pada tahun lalu, Springfield dicatat sebagai bandar nombor tiga paling bahaya di Amerika Syarikat.

Memasuki bandaraya Springfield.
Gambar atas : Pemanduan kami menghala ke "Capitol Complex / Visitors Center"

Gambar bawah : Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Siapa yang tidak kenal dengan Abraham Lincoln, bekas Presiden Amerika Syarikat yang ke 16. Patung beliau tersergam di hadapan bangunan ini.

Gambar bawah kiri : Bendera negara dan negeri berkibar di atas bumbung bangunan.
Pintu masuk utama.

Sekitar perkarangan Illinois State Capitol.

Bangunan Mahkamah di Springfield, Illinois.
Gambar atas : Bendera negara dan negeri Illinois berkibar serentak.

Gambar tengah : Jalan di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan.

Gambar bawah : "Welcome To Historic Business District".

Walaupun ibu negeri, tetapi bandaraya ini tidaklah sesak dan sibuk seperti Chicago.

Gambar atas : Saya berdiri di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri yang lama. Jarak antara bangunan pentadbiran negeri yang baru dan lama hanya mengambil masa 2 minit sahaja (jika memandu).

Gambar bawah : Old State Capitol yang digunakan dari tahun 1839 sehingga 1876.
Walaupun bangunan ini sudah berusia ratusan tahun, tetapi ia tetap utuh dan dijaga dengan baik.
Di kawasan sekitar terutamanya di dalam pusat bandaraya, kerajaan negeri lebih memfokuskan tentang kisah Abraham Lincoln.
 Terdapat juga jejak cerita mengenai "Looking For Lincoln". Cerita ini bukan sahaja mengisahkan tentang diri beliau tetapi berhubung kait juga dengan komuniti tempatan. Di dalam Springfield sahaja terdapat 48 cerita dengan jumlah keseluruhan 215 cerita di dalam 52 komuniti berbeza. Kesemua cerita ini dibuat rapi dengan bingkainya sekali seperti gambar-gambar di bawah.

 
Gambar atas kiri : The Lincoln Boys in 1854.

Gambar atas kiri : Streetscape 1859.

Gambar bawah kiri : The Bath & Barber Shop.

Gambar bawah kanan : The American House.
Gambar atas kiri : Lincoln - Era Fire Companies.

Gambar atas kanan : Lincoln's Dentist.

Gambar bawah kiri : The Bath & Barber Shop.

Gambar bawah kanan : Curran's Jewelry Shop.

Bandaraya Springfield - Ibu negeri Illinois.

Beberapa jam berada di Springfield tidak cukup untuk kami apatah lagi tidak sempat melawat beberapa lagi tempat sejarah yang ada kena mengena dengan Abraham Lincoln terutamanya rumah dan monumen/makam beliau yang terletak berdekatan dengan pusat bandar. Jika ada rezeki, InsyaAllah kami akan datang ke sini lagi dan ingin menjejaki "Looking For Lincoln" di daerah lain pula.

Friday, 28 December 2012

St Louis, Bandar Ketiga Paling Bahaya di Amerika Syarikat

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Hujung Minggu

Melalui sumber dari FBI (Federal Bureau of Investigation), St Louis ialah bandar ketiga paling bahaya di dalam Amerika Syarikat!
Ya, saya dan suami sudah lama mengetahui akan perkara ini. Oleh kerana kami masih di dalam tempoh road trip dan memerlukan waktu rehat yang secukupnya, maka kami mengambil risiko untuk berada di St Louis selama tiga hari dua malam.

Sekadar berkongsi cerita lama,semasa suami datang ke St Louis pada awal tahun,beliau yang berdiri di hadapan pintu masuk Marriott Hotel Union Station telah menyaksikan kes rompakan di mana si perompak (lebih kurang 10orang) telah memukul dengan teruk dan merompak seorang mangsa. Suami ditarik oleh pekerja hotel supaya masuk ke dalam. Di bandar merbahaya ini penduduk atau pelancong dilarang dari membantu mangsa rompakan takut kita pula yang menjadi mangsa seterusnya. Kata suami lagi, patutlah semasa kejadian itu orang ramai yang melintas jalan langsung tidak menolong.
Polis tiba di tempat kejadian 30 minit selepas kejadian. Memang benarlah St Louis ini antara bandar paling bahaya di Amerika Syarikat.Kadar jenayah semakin meningkat dan mereka berani melakukannya pada siang hari walaupun di tempat itu ramai orang.

Di hadapan bangunan Union Station yang berusia ratusan tahun di dalamnya juga ialah hotel tempat kami menginap iaitu di Marriott Hotel & Resort.
Gambar atas dan tengah : Polis sedang melakukan pemeriksaan di dalam padang yang berhadapan dengan Union Station. Saya mengambil gambar ini dari jarak jauh iaitu dari pintu masuk hotel.

Gambar bawah : Bangunan mahkamah.
Boleh di katakan bandar ini cantik dan bersih tetapi saya hanya merakamkan gambar dari dalam kereta sahaja.
Perjalanan untuk keluar dari St Louis.
Gambar atas dan tengah : Sungai yang memisahkan negeri Missouri dengan negeri Illinois.

Gambar bawah : Mula memasuki lebuh raya.
Tidak serik berada di bandar ketiga paling bahaya di Amerika Syarikat (statistik tahun 2012), seterusnya kami menyambung perjalanan menuju ke salah satu bandar yang pernah tersenarai antara bandar paling bahaya di Amerika Syarikat (statistik tahun 2011). Teruskan bersama Terjemahan Hati selepas ini.


Restoran Halal di St Louis, MISSOURI

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Jarak dari hotel kami di bandar St Louis dengan restoran ini lebih kurang hampir 20 batu dan masa pemanduan sekitar 25minit.

Sijil halal yang tertera di luar dan di dalam restoran
Menu yang pelbagai sehingga sukar untuk membuat pilihan
Empat jenis lauk termasuk sup untuk hidangan makan malam kami berdua



Thursday, 27 December 2012

Gateway Arch di St Louis (Bahagian 2)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

(Sambungan dari bahagian 1)
http://sharery.blogspot.com.au/2012/12/gateway-arch-di-st-louis-bahagian-1.html


Gambar atas : Lagi gambar di dalam trem yang sempit ini

Gambar tengah dan bawah : Kedai cenderamata
Muzium

Sejarah Amerika Syarikat banyak diceritakan di dalam muzium ini
Sejarah orang asli Amerika (Native American) juga diceritakan di sini.
Peta negara Amerika ini menunjukkan populasi penduduk orang asli Amerika (Native American/Indian).Jika dilihat dengan mata kasar,majoriti dari mereka tinggal di bahagian barat.Boleh saya katakan di sini, kesemua negeri di sebelah barat yang mempunyai penduduk asli Amerika (Native American/Indian) telah saya dan suami jelajahi
Patung-patung di atas bergerak dan bercakap seolah-olah mereka sedang memberikan ucapan. Ucapan mereka adalah kisah yang benar berlaku

Gambar atas kiri : Charles Barber

Gambar atas kanan : Sergeant Robert Banks

Gambar bawah kiri : Red Cloud - Berketurunan asli Amerika yang pernah mengetuai peperangan

Gambar bawah kanan : William Clark - Penjelajah
Gambar atas : Tugu pengiktirafan Gateway Arch

Gambar dua dari atas : Pemandangan puncak gerbang dari bawah (luar pintu masuk)

Gambar tiga dari atas & gambar bawah : Saya mengambil gambar tingkap puncak gerbang ini dari bawah
(luar pintu  masuk)

Sekitar kawasan berhampiran pintu masuk

Gambar atas kiri : Pengawal berbasikal sentiasa memantau kawasan persekitaran demi untuk menjaga keselamatan para pengunjung dan pelancong
Lagi gambar-gambar Gateway Arch dari sudut yang berbeza
Menyeberangi jalan raya besar semata-mata untuk mengambil gambar dengan latar belakang Gateway Arch
Kawasan taman ini seperti tidak selamat walaupun kami berada pada waktu puncak sekitar jam
1 .00 tengah hari.Demi untuk mendapatkan gambar yang cantik,kami mengambil gambar dalam keadaan kelam kabut.
Gambar terakhir kami sebelum beredar dari monumen tertinggi di Amerika Syarikat iaitu Gateway Arch

Wednesday, 26 December 2012

Gateway Arch di St Louis (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Melalui sumber dari FBI (Federal Bureau of Investigation)  ,statistik terbaru yang dikeluarkan memberi keputusan bahawa St Louis ialah bandar ketiga paling merbahaya di dalam Amerika Syarikat!
Ya, saya dan suami sudah mengetahui akan perkara ini.Oleh kerana kami masih di dalam tempoh "road trip" dan memerlukan waktu rehat yang secukupnya, maka kami mengambil risiko untuk berada di St Louis selama tiga hari dua malam.Sementelah berehat dari memandu,di St Louis kami banyak menghabiskan masa di dalam kawasan hotel sahaja.Tempat lain yang kami kunjungi dan tempat tarikan utama  pelancong ialah Gateway Arch.
Ketika suami datang berkunjung ke sini pada musim sejuk,beliau tidak dapat naik ke atas Gateway Arch kerana kesuntukan masa.Kali ini, kami tidak akan melepaskan peluang untuk menaiki puncak Gateway Arch ini.

Gateway Arch atau Gateway To The West terletak di dalam Jefferson National Expansion Memorial di bina pada tahun 1963 dan berakhir pada tahun 1965.Ketinggian gerbang ini ialah 630 kaki ( 192 meter) dan diikitraf sebagai monumen tertinggi di dalam Amerika Syarikat.

Gambar atas kiri : Gateway Arch dari arah jauh

Gambar atas kanan : Pintu masuk

Gambar bawah kiri : Kawalan keselamatan diperketatkan sebelum masuk dan naik ke puncak gerbang

Gambar bawah kanan : Masa operasi turut di letakkan di luar pintu masuk
Gambar atas : Kawalan keselamatan begitu ketat sama seprti berada di lapangan terbang

Gambar tengah : Menghala ke ruang legar utama

Gambar bawah : Ucapan selamat datang kepada para pengunjung
Gambar atas :Memasuki barisan yang berlainan kerana kami sudah membeli tiket secara online.Datang ke sini hanya untuk mengambil tiket sahaja

Gambar tengah : Masa lawatan seterusnya ialah seperti yang tertera di dalam skrin

Gambar bawah : Ada sesi mengambil gambar sebelum naik ke puncak gerbang.Pas ini perlu disimpan untuk menebus gambar yang akan siap selepas pengunjung turun dari puncak
Gambar atas : Menghala ke arah South Tram

Gambar tengah dan bawah : Sebelum naik ke puncak,pengunjung di arah oleh pihak pengurusan supaya berkumpul di satu tempat seperti mini muzium menceritakan mengenai sejarah Gateway Arch
Dari mini muzium, kami di bawa ke sebuah lagi kawasan yang gelap dan memerlukan pengunjung naik dan turun tangga.Dari mula selepas mendapatkan tiket sehingga lah sampai di kawasan gelap ini, hati saya tidak berhenti bertanya "di manakah lif untuk naik puncak?!"
Tidak sangka pula ada tayangan video (skrin terletak di setiap panel bernombor) selama beberapa minit menceritakan mengenai sejarah Gateway Arch
Jujur saya katakan,saya tidak menumpukan perhatian dengan tayangan video tersebut.Tangan sibuk mengambil gambar dengan menggunakan kamera digital dan kamera telefon bimbit dan dalam waktu yang sama saya masih memikirkan di mana letaknya lif untuk naik ke puncak gerbang.
Jawapan bagi soalan yang berlegar di fikiran saya akhirnya terjawap juga.....
Panel- panel bernombor yang saya nampak melekat di dinding itu adalah lif! Ya, ini lah lif yang bakal menaikkan pengunjung ke puncak Gateway Arch.Melihat kerusi putih itu mengingatkan saya akan kapsul masa di dalam drama bersiri kegemaran saya semasa zaman kanak-kanak  iaitu The Girl from Tomorrow
Setiap trem (lif) dapat memuatkan maksimum lima orang.Saiz nya lebih kecil dari sebuah buaian pusing (ferris wheels) yang anda pernah naik di Malaysia (fun fair).Lima pasang lutut pasti akan bertemu antara satu sama lain.Begitulah dapat saya huraikan betapa sempitnya trem ini.
Trem ini akan bergoyang dengan drastik apabila perjalanan sudah hampir sampai ke puncak
Akhirnya kami sudah berada di atas pincak Gateway Arch.Saya rakamkan juga pemandangan bandar St Louis melalui tingkap kecil di atas puncak ini
Empat gambar di atas di ambil menghala ke arah timur.Turut kelihatan ialah Sungai Mississippi yang memisahkan negeri Missouri dan Illinois.Di seberang sungai itu sudah memasuki negeri Illinois

Gambar atas : Gateway Arch yang tinggi nya 630 kaki

Gambar tengah : Di atas puncak Gateway Arch

Gambar bawah : Trem bahagian utara (North Tram) ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan
Gambar atas kiri : Barisan sudah mula panjang dan semua sudah bersedia untuk menaiki trem

Gambar atas kanan : Trem bernombor 4

Gambar bawah kiri : Barisan sudah mula panjang

Gambar bawah kanan : Amaran supaya tidak merosakkan cermin trem
Akan bersambung