Tahun ini merupakan antara tahun paling sibuk bagi saya. Banyak kenangan manis yang saya lalui sepanjang tahun 2015 tetapi hanya beberapa sahaja yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca.
Setiap tahun saya dan suami pasti memperuntukkan masa untuk melakukan kembara merentas negara tidak kira di Australia atau Amerika Syarikat. Untuk tahun 2015, kami berjaya melakukan kembara (road trip) selama hampir dua bulan tanpa henti dan sekali lagi kami merentasi negara Amerika Syarikat dengan menggunakan laluan baharu serta laluan yang sudah biasa kami lalui. Di sini saya hanya menyenarai pendek beberapa destinasi kegemaran saya di sepanjang kembara tersebut.
Lincoln Home National Historic Site - Springfield, Illinois
Rasa bangga dan gembira kerana berpeluang melawat ke kediaman bekas Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 iaitu Abraham Lincoln di Springfield, Illinois. Memasuki kediaman beliau serta mendengar taklimat dari ranjer membuatkan saya seperti berada pada zaman kehidupan Abraham Lincoln.
http://sharery.blogspot.my/2015/05/rumah-kediaman-presiden-amerika.html
Di hadapan kediaman Abraham Lincoln. |
Caterpillar Visitor Center - Peoria, Illinois
Peoria yang jaraknya kira-kira 267km dari Chicago bertempatnya ibu pejabat dunia bagi syarikat pengeluaran jentera pembinaan, trak dan mesin terkenal iaitu Caterpillar (CAT). Selain ibu pejabat, di sini juga terletaknya Caterpillar Visitors Center di mana para pengunjung dapat mengetahui tentang sejarah penubuhan Caterpillar serta dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai jentera pelbagai guna dan saiz.
Caterpillar Visitors Center di Peoria, Illinois. |
Mount Rushmore National Memorial - Keystone, South Dakota
Keajaiban ukiran kepala empat bekas Presiden Amerika Syarikat tidak asing lagi bagi kalangan pelancong. Ia merupakan salah satu ikon bagi negara.
http://sharery.blogspot.my/2015/06/mount-rushmore-south-dakota-mercu-tanda.html
Cuaca yang begitu baik pada hari tersebut membuatkan gambar-gambar yang saya rakamkan di sini bertambah cantik. |
Grand Canyon National Park - Arizona.
Walaupun cuaca pada ketika saya berkunjung ke Grand Canyon adalah hujan dan mendung tetapi keindahannya tidak perlu disangkal lagi.
Monument Valley Navajo Tribal Park - Utah/ Arizona
Monument Valley telah disenaraikan sebagai antara lokasi terkenal tumpuan jurugambar dari serata dunia. Kecantikan dan keindahan semulajadi Monument Valley bukan sahaja menarik perhatian jurugambar dan pelancong malah produser serta pengarah untuk filem Hollywood. Salah satu filem yang menjalankan pengambaran di tempat yang sama seperti gambar yang saya rakamkan di bawah ini ialah filem Forrest Gump lakonan Tom Hanks.
http://sharery.blogspot.my/2015/10/monument-valley-lembah-berbatu-terkenal.html
Aztec Ruins National Memorial - Aztec, New Mexico.
Sebelum ini saya pernah tinggal di negeri New Mexico tetapi tidak berkesempatan untuk melawat ke Aztec Ruins National Memorial. Ini merupakan kunjugan pertama kali buat saya dan beberapa kali bagi suami.
Wigwam Motel - Holbrook, Arizona
Kenangan manis di Wigwam Motel ialah apabila saya berjumpa dengan sahabat saya dari Jepun. Kami berkenalan secara tidak sengaja melalui Instagram lebih kurang satu tahun setengah sebelum pertemuan kami di Holbrook.
http://sharery.blogspot.my/2015/09/wigwam-motel-ikon-route-66-di-arizona.html
Bersama sahabat saya yang bernama Lisa. |
Konsert Backstreet Boys Di Australia
Saya adalah peminat setia kumpulan Backstreet Boys sejak dari awal penubuhannya. Bermula dari tahun 1996 semasa berada di sekolah menengah saya berangan-angan ingin menghadiri konsert atau bertemu dengan mereka. Angan-angan kosong akhirnya menjadi kenyataan apabila saya berpeluang menonton konsert Backstreet Boys pada bulan Mei lalu. Walaupun saya hadir seorang diri tanpa teman, tetapi saya tetap terhibur dan penantian selama 19 tahun adalah amat berbaloi sama sekali.
Malaysia
Kali terakhir saya menyambut hari jadi di Malaysia ialah pada tahun 2008. Saya bersyukur kepada Allah kerana pada tahun ini sekali lagi saya dapat menyambut hari istimewa bersama ibu tercinta.
Kedatangan saya ke Malaysia turut dirahsiakan tanpa pengetahuan ahli keluarga sehinggalah saya melawat ibu di Ipoh, Perak pada 26 November yang lalu.
Menyambut hari jadi saya bersama ibu pada 26 November lalu. |
Kerja Amal
Bukan satu atau dua tahun tetapi sudah begitu lama saya berniat untuk menyertai kerja amal dan kebajikan tetapi mungkin sebelum ini rezeki tidak memihak kepada saya. Sementelah saya berada di Malaysia, saya berpeluang membabitkan diri menyertai kerja amal selama satu hari di Ipoh, Perak.
Bersama 3 daripada 30 orang kanak-kanak Asnaf yang diraikan di dalam satu majlis kecil lagi sederhana di Hotel Seri Malaysia, Ipoh. |
Saya masih lagi di dalam tempoh percutian dan waktu untuk mengemaskini entri adalah tidak mengizinkan. Saya akan cuba sedaya upaya untuk menyiapkan entri yang tertangguh pada tahun 2015 secara berperingkat.
Sempena tirai 2015 bakal melabuhkan tirainya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca blog Terjemahan Hati serta pengikut Instagram kerana masih setia bersama saya sepanjang tahun. Anda merupakan kekuatan bagi saya untuk terus menulis di dalam blog ini.
Jaga diri, kesihatan dan temui saya lagi di sini pada tahun 2016, Insya Allah.