Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera
Wigwam Motel merupakan rangkaian motel di Amerika Syarikat yang dibina dari tahun 1930an sehingga tahun 1950an. Terdapat tujuh buah motel di seluruh negara dan salah satu cawangan yang telah saya lawati ialah di Holbrook, Arizona.
Keistimewaan Wigwam Motel adalah kerana reka bentuk bilik yang menyerupai seperti tipi/tepee/teepee. Tipi merupakan khemah tradisional yang diperbuat daripada kulit haiwan serta tiangnya dari batang kayu yang digunakan oleh masyarakat etnik asli Amerika Syarikat
(American Indians) dan Kanada dari zaman dahulu kala. Kini tipi yang sedia ada kebanyakannya diperbuat daripada kain kanvas sahaja.
Di antara tujuh buah Wigwam Motel, cawangan di Holbrook yang sering menjadi tumpuan berbanding dengan yang lain. Ini kerana lokasinya yang terletak di jalan raya bersejarah
Route 66 serta berdekatan dengan beberapa daerah milik etnik asli Amerika Syarikat iaitu
Navajo, Hopi dan White Mountain Apache Reservations.
Oleh kerana saya dan suami tidak pernah jemu dengan
Route 66, maka perjalanan awal pagi yang bermula dari Las Vegas kami singgah sebentar di Holbrook sebelum mengakhiri perjalanan pada hari tersebut di Farmington, New Mexico.
|
Saya dan suami tiba di Wigwam Motel pada waktu petang. Ini adalah pemandangan sekitar kawasan yang saya rakamkan gambarnya dari seberang jalan di tempat kami meletak kereta. |
|
Gambar kiri : Pejabat untuk tetamu daftar masuk.
Gambar kanan : Salah sebuah tipi di Wigwam Motel. |
|
Gambar atas : Terdapat beberapa kereta lama yang sengaja dipamerkan dan diletakkan di dalam kawasan Wigwam Motel.
Gambar bawah : Pada tahun 2002, Wigwam Motel telah disenaraikan sebagai lokasi bersejarah oleh kerajaan negeri. |
|
Kereta-kereta lama yang dapat menaikkan mood pengunjung seperti berada di era tahun 1950an. |
|
Kereta-kereta lama yang dapat menaikkan mood pengunjung seperti berada di era tahun 1950an. |
|
Gambar atas : Berehat sebentar di hadapan sebuah tipi.
Gambar bawah : Walaupun kereta berkarat tetapi ia tetap menarik perhatian pengunjung. |
|
Dapat melihat dari jauh pemadangan dalam sebuah bilik kerana pintu tipi yang terbuka. |
Saya berkenalan secara tidak sengaja dengan gadis dari Jepun hampir dua tahun lalu melalui Instagram. Minat dan cinta kami dengan sejarah Route 66 serta adat, budaya dan cara kehidupan masyarakat etnik asli Amerika Syarikat membuatkan kami menjalin persahabatan berterusan.
Buat pertama kali tanpa dirancang (walaupun kami sudah mengetahui yang kami akan berada di beberapa tempat yang sama di dalam tempoh beberapa hari) saya dan Lisa Kamimoto bertemu di Wigwam Motel. Sebaik sahaja melangkah masuk di kawasan motel saya sudah dapat melihat sekumpulan gadis Jepun dan saya pasti Lisa berada sama di dalam kumpulan tersebut. Beberapa minit setelah mencari kelibat gadis yang saya kenali akhirnya saya menegur Lisa.
|
Gambar kiri : Pertemuan pertama kali saya dengan Lisa.
Gambar kanan : Lisa memperkenalkan beberapa sahabat beliau kepada saya. |
|
Bergambar bersama Lisa dan sahabat beliau. Pada hari tersebut mereka berlima bermalam di Wigwam Motel. |
|
Dua gambar terakhir di Wigwam Motel pada lewat petang sebelum saya dan suami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. |
Walaupun persinggahan kami di Wigwam Motel agak singkat tetapi ia merupakan satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan apatah lagi dapat berjumpa dengan sahabat saya.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terbaru saya melalui akaun Instagram,
blog_th2010.