Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera
Pertama kali saya datang ke Seoul, Korea Selatan ialah pada April 2006. Walaupun pada waktu itu sudah masuk musim bunga tetapi suhu masih rendah dan dingin. Saya ialah peminat tegar drama dan filem Korea sejak dari awal tahun 2000. Winter Sonata dan Autumn In My Heart merupakan drama yang menjadi kegemaran sehinggakan saya boleh menghafal lirik lagu untuk drama tersebut. Kedatangan saya ke sini sekurang-kurangnya dapat merasai dan melihat dengan lebih dekat gaya kehidupan rakyat tempatan yang pada waktu dahulu hanya saya lihat melalui drama di kaca televisyen sahaja.
Penerbangan dari Kuala Lumpur berlepas pada sebelah malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada waktu pagi keesokan harinya. Masih segar di dalam ingatan saya semasa berada di lobi hotel, keadaan agak sesak dengan anak-anak kapal Malaysia Airlines dan Singapore Airlines yang baru sahaja tiba untuk daftar masuk. Itulah pertama kali saya berjumpa dan melihat kru kabin Singapore Airlines yang berkongsi hotel yang sama.
Semasa artikel ini ditaip, saya masih ingat hotel yang kami menginap ialah Hilton tetapi di Seoul terdapat banyak cawangannya. Walaupun sudah saya google tetapi petunjuk masih samar. Tiba-tiba baru saya terfikir untuk mencari alamatnya di dalam kotak simpanan saya. Di dalam kotak itu saya kumpulkan semua kertas nota, sampul surat dan poskad di setiap hotel yang pernah saya menginap. Syukur, akhirnya saya jumpa juga apa yang hendak dicari.
Tidak dinafikan Millennium Seoul Hotel adalah paling strategik kedudukannya. Ia terletak berhampiran dengan kaki Gunung Namsan yang di atas puncaknya terdapat
N Seoul Tower. Jarak hotel ini dengan pusat bandar Seoul pula ialah lebih kurang 2.4 kilometer.
|
Gambar sedikit bergoyang kerana dirakamkan dari dalam bas. |
Selepas berehat seketika, saya dan rakan sekerja menaiki
hotel shuttle (percuma) ke Itaewon.
|
Menempah tag nama dan logo MAS untuk diletakkan di luar beg kerja. |
|
Daerah Itaewon begitu terkenal di kalangan para pelancong terutama sekali bagi mereka yang suka membeli belah. |
|
Di Itaewon saya sekadar membeli sedikit cenderamata dan menikmati makan tengah hari. Para penjual juga ramai yang tidak peramah jauh bezanya dengan penduduk Jepun. Ada penjual yang berkeras tidak mahu menurunkan harga walaupun mereka hanya berjualan di tepi jalan sahaja. Saya lihat mereka tidak kisah apabila pembeli tidak jadi membeli dan beralih ke tempat penjual lain. |
|
Gambar atas : Stesen keretapi di Itaewon.
Gambar bawah : Bergambar bersama remaja Korea. |
|
Gambar atas : Rakan sekerja yang iras seperti pelakon Fasha Sandha.
Gambar bawah : Pada waktu pagi hari berikutnya, saya bergambar di dalam bilik hotel sebelum bergerak ke lapangan terbang. |
|
Gunung Namsan yang dilihat dari tingkap bilik hotel saya. |
|
N Seoul Tower yang tersergam indah di atas puncak Gunung Namsan. Gambar dirakamkan dari tingkap bilik hotel. |
Inilah pertama kali dan terakhir saya berpeluang menginap di Millennium Seoul Hotel kerana selepas daripada itu kami anak-anak kapal MAS menginap di hotel Best Western Premier yang berdekatan dengan lapangan terbang.
Pada hari untuk pulang ke Kuala Lumpur, di dalam bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sekali lagi ingatan saya mengimbau adegan di dalam drama Winter Sonata. Hati saya tidak boleh lari dari berkata 'akhirnya aku dapat juga menjejakkan kaki di lokasi drama Winter Sonata' (salah satu adegan dirakamkan di dalam bangunan terminal).