Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera
Walaupun pekerjaan saya sebelum ini membawa ke pelbagai negara tetapi berhijrah dan memulakan kehidupan baru di negara luar pada awalnya bukanlah mudah. Tekanan emosi apabila berjauhan dan rindu keluarga di Malaysia dapat saya atasi selepas dua tahun pertama penghijrahan ke Australia. Selain daripada itu saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan kawasan kejiranan, mempelajari tentang sejarah negara, sistem pentadbiran kerajaan negeri dan pusat serta mengetahui undang-undang dan hak sebagai rakyat dan penduduk Australia.
Satu perkara yang memberi impak kesedaran pada diri saya ialah menghormati antara satu sama lain tidak kira perbezaan etnik, bangsa, agama dan warna kulit. Saya bersyukur kerana Australia memberikan perlindungan terhadap rakyat dengan adanya undang-undang anti-diskriminasi dan anti -perkauman (anti-discrimination, anti-racism).
Australia turut memberikan kebebasan beragama kepada rakyat (Freedom Of Religion) - asalkan mereka taat dengan undang-undang. Dalam erti kata lain, tidak boleh memaksa seseorang dari memeluk sesuatu agama.
Secara kesimpulannya, kita (rakyat, penduduk tetap dan pelancong) perlu menghormati undang-undang tersebut dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang mendatangkan unsur perkauman dan diskriminasi.
Walaupun hanya menyindir dan berjenaka dengan seseorang secara sengaja atau tidak, ia dikira menyalahi undang-undang. Inikan pula memburuk-burukkan mereka secara terbuka seperti di laman sosial. Padah akan menimpa.
|
Jewish Museum of Australia - St. Kilda, Victoria, Australia. |
Sama juga seperti di Malaysia atau Singapura, kita mengetahui sedikit sebanyak tentang adat, budaya serta cara hidup jiran yang berlainan bangsa dan agama. Lawatan saya dan suami ke muzium Yahudi dapat menambah ilmu pengetahuan demi untuk menghormati antara satu sama lain yang barangkali mereka mungkin akan menjadi jiran kami tidak kira samada di Australia atau Amerika Syarikat. Tambahan pula kami turut mempunyai sahabat yang bersuamikan bangsa Yahudi (telah memeluk Islam) termasuk rakan-rakan sekerja suami.
Lawatan saya ke muzium Yahudi boleh anda ikuti di sini ;
http://sharery.blogspot.com.au/2013/10/melawat-ke-muzium-yahudi-di-melbourne.html
Satu cerita yang ingin saya kongsikan di sini ialah peristiwa yang
terjadi lebih tiga tahun lalu di Melbourne. Setelah saya membeli
barangan dapur dan menunggu trem untuk pulang ke rumah, saya didatangi
sekumpulan keluarga berbangsa Yahudi. Salah seorang dari mereka
mendekati saya dengan senyuman lantas bertanyakan arah dan tunjuk jalan.
Mujurlah saya memahami selok belok bandar Melbourne, maka saya pun
membantu beliau. Semasa perjalanan pulang, tiba-tiba datang perasaan bangga kerana saya dapat membantu pelancong berbangsa Yahudi tersebut (bukan kali pertama saya di sapa oleh pelancong asing untuk meminta bantuan tunjuk jalan). Di dalam ramai orang (orang Inggeris) di stesen trem tadi, wanita bertudung juga yang disapa oleh beliau.
|
Menikmati hotdog halal di New York City dan tidak ada masalah duduk di sebelah pemuda berbangsa Yahudi. |
Saya bukan sarkastik atau menyindir sesiapa tetapi ini adalah kenyataan, fakta dan boleh dikatakan tip melancong. Jika sesiapa tidak suka, tidak mahu mendekati atau melihat mereka yang berbangsa Yahudi, saya tidak galakkan untuk datang ke New York kerana bangsa Yahudi mempunyai majoriti penduduk yang ramai di sana. Pendek kata (pengalaman sendiri), kiri kanan, depan belakang mereka ada di sekeliling kita.
Apa yang saya ceritakan di sini tiada kena mengena dengan isu semasa,
politik ataupun agama. Saya menekankan tentang kehidupan saya dalam
menyesuaikan diri dengan masyarakat berbilang budaya di Australia (juga Amerika Syarikat) dan
menghormati undang-undang negara.
Penduduk Islam yang tinggal di negara bukan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar iaitu cuba menaikkan martabat agama Islam di mata dunia akibat dicalar oleh umat Islam yang tidak berperikemanusiaan. Di luar negara contohnya Australia dan Amerika Syarikat terdapat banyak cara, aktiviti yang diadakan dengan pelbagai persatuan, badan kerajaan dan swasta demi untuk merapatkan jurang antara umat Islam dan agama lain. Saya juga tergolong antara yang perlu menggalas tanggungjawab tersebut. Kita tidak perlu riak, angkuh dan memaki hamun mereka. Jika kita menghormati mereka yang berlainan fahaman agama, nescaya mereka turut menghormati kita sekaligus Islam akan dihormati. :) .
Saya akan berkongsi pengalaman saya yang berbesar hati apabila dihormati oleh bangsa lain semasa berada di luar negara di dalam entri akan datang.