Pada awal tahun 2020 ramai yang menyambut tahun baharu dengan teruja dan mengharapkan tuah serta kegembiraan tambahan pula dengan nombor yang nampak cantik iaitu '2020'. Pada akhir tahun seperti hari ini pula, saya pasti ramai akan mengatakan bahawa tahun 2020 adalah tahun yang malang dan tidak membawa tuah. Gara-gara Coronavirus, dunia seperti tonggang langgang dan kucar kacir. Norma baharu sudah nampak sebati dengan diri kita. Itulah yang dinamakan kehidupan seperti roda kerana kita tidak akan sentiasa berada di atas. Pahit manis merupakan rencah kehidupan.
Sedang dunia membenci tahun 2020, saya pula secara jujurnya berasa tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Ini merujuk kepada tahap kesihatan saya yang banyak melalaui perubahan positif walaupun perjalanan untuk sembuh itu berliku-liku dan mencabar mental serta fizikal. Dengan semangat yang ada, saya juga dapat menanganinya jauh beza jika hendak dibandingkan dengan tahun 2019.
Pada 7 Januari, laman blog Terjemahan Hati kesayangan saya melangkau ke usia 10 tahun. Untuk mengekalkan laman blog yang aktif bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan keseimbangan minat dan komitmen terutamanya dari segi masa. Blog ini juga tidak akan kekal hingga ke hari ini tanpa sokongan dari para pembaca.
Rezeki menyebelahi saya pada musim panas beberapa bulan lalu kerana saya dapat mengikut suami yang bekerja di luar kawasan selama beberapa minggu. Kami berpeluang mengembara dengan kereta dari pantai barat sehingga ke pantai timur Kanada. Sepanjang kembara pada pandemik COVID-19, kami telah mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Banyak tempat-tempat baharu yang menarik yang telah dilawati. Anda boleh ikuti artikel kembara saya yang mula disiarkan pada 7 Oktober
http://sharery.blogspot.com/2020/10/pemanduan-dari-vancouver-ke-calgary.html sehingga yang terkini ialah artikel bertarikh 29 Disember.
Tidak habis di situ sahaja, artikel seterusnya akan bersambung pada tahun hadapan (Januari 2021).
26 November ialah hari ulang tahun saya yang ke-39. Setiap tahun saya pasti akan menelefon insan yang melahirkan saya. Begitu juga dengan tahun ini di mana dengan panggilan video dapat saya tunjukkan kepada ibu hadiah-hadiah saya dan beliau memuji loket rantai saya.
Saya berasa 12 bulan berlalu dengan pantas. Adakah anda juga merasainya seperti saya?
Di dalam kestabilan menjejak langkah untuk mengakhiri bulan Disember dan membuka lembaran tahun baharu, saya 'tersungkur' dek kerana ujian dan dugaan yang diterima secara mengejut. Pada 9 Disember (waktu Malaysia), ibu saya telah pergi buat selama-lamanya.
Di bawah ini saya sertakan luahan hati yang ditulis dan dikongsikan di Instagram dan Facebook.
"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian ibu saya beberapa hari lalu. Lebih dari itu ada yang berhubung terus dengan saya melalui mesej dan panggilan telefon malah ada yang memeriksa keadaan saya setiap hari.
Melihat secara langsung proses pengkebumian ibu jauh beribu batu melalui panggilan video membuatkan hati saya luluh. Melihat keluarga dapat memegang, memeluk dan mencium ibu buat kali terakhir membuatkan saya rasa cemburu. Apa yang boleh saya lakukan pada waktu itu ialah mencium skrin telefon tanda ciuman selamat tinggal untuk ibu tercinta dengan tangisan yang mengalir. Kehilangan kedua ibu bapa adalah sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah mengalaminya yang boleh merasai perasaan saya pada waktu ini.
Di dalam gambar di bawah saya memakai baju kurung milik ibu saya yang disimpan sejak dari 2012. Manakala dua keping gambar polaroid ini telah lama saya letakkan di dalam beg duit saya. Terima kasih sekali lagi kepada anda yang memanjatkan doa dan memberi kata-kata semangat kepada saya. InsyaAllah saya akan terus kuat dan tabah kerana saya tidak mahu mengabaikan kesihatan mental serta fizikal saya."
Shery NN
12 Disember 2020
❤️❤️
Nampaknya perbualan video dan mata bertentang mata antara kami pada hari ulang tahun saya merupakan yang terakhir. Saya tahu tidak ada sesiapa yang kekal di dunia ini. Tetapi kehilangan ibu tercinta adalah sangat pahit untuk ditelan. Selamat tinggal 2020, selamat tinggal ibunda Fatimah. Berehat dan damailah di sana.
AL FATIHAH
Facebook : blog_th2010
You Tube : Shery NN